Kehadiran anak dalam hidup setiap pasangan yang berkahwin merupakan pengikat kasih sayang yang paling ditunggu-tunggu. Ada juga pasangan yang dah banyak kali mencuba tapi masih belum dikurnia rezeki. Namun setelah beberapa kali mencuba, doktor pasti akan mencadangkan supaya mama papa melakukan rawatan kesuburan.
Untuk pengetahuan mama papa, secara puratanya, rawatan kesuburan seperti IVF mempunyai lebih daripada 70% untuk berhasil. Rawatan kesuburan sememangnya mempunyai peratusan berjaya yang tinggi tapi mama papa mesti risau tentang kos pembiayaan yang mungkin akan mencecah berpuluh-puluh ribu kan?
Ha..lepas ni Mama papa tak perlu risau lagi tentang kos pembiayaan rawatan ni kerana kini pasangan boleh keluarkan wang KWSP di bawah kategori kesihatan. Pembiayaan rawatan kesuburan ni hanya layak diterima oleh pemohon sendiri atau pasangan pemohon saja.
Siapakah yang layak untuk memohon pembiayaan rawatan kesuburan?
Mereka yang layak untuk memohon pembiayaan rawatan kesuburan KWSP hanyalah:
- Pasangan warganegara atau bukan warganegara.
- Pasangan yang berumur 55 tahun ke bawah.
- Mempunyai simpanan dalam Akaun 2.
- Pasangan suami isteri yang telah sah berkahwin di sisi undang-undang.
- Kos perubatan tak dibayai sepenuhnya oleh majikan.
- Penyakit/peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh KWSP.
- Tak mendapatkan rawatan alternatif.
- Jenis-jenis rawatan kesuburan yang dibenarkan adalah Intrauterine Insemination (IUI), In-Vitro Fertilisation (IVF) dan Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI).
Dua kategori pengeluaran KWSP yang dibenarkan untuk rawatan kesuburan
1. Pengeluaran individu
- Jumlah kos rawatan sebenar
- Keseluruhan simpanan dalam Akaun 2 (mana yang lebih rendah)
2. Pengeluaran bersama
- Jumlah yang dipohon
- Simpanan Akaun 2 pemohon masing-masing
- Baki kos rawatan setelah ditolak amaun pengeluaran pemohon terdahulu (mana yang lebih rendah)
Jika kos perubatan telah dibiayai sebahagiannya oleh majikan ahli/pesakit, pemohon hanya boleh mengeluarkan baki kos perubatan yang belum dilangsaikan.
Pemohon juga boleh memilih cara bayaran
- Bayaran terus kepada ahli jika pembayaran telah dilangsaikan terlebih dahulu.
- Bayaran kepada institusi kesihatan di dalam negara jika kos perubatan tertunggak atau masih belum diselesaikan.
Untuk memastikan permohonan mama papa lulus, mama papa perlu menyediakan beberapa dokumen.
Antaranya adalah:
- Borang KWSP 9D (AHL) dan Senarai Semak Dokumen
- Salinan dokumen pengenalan diri bersama yang asal untuk tujuan pengesahan (untuk bukan pemegang MyKad sahaja)
- Buku bank/Penyata akaun simpanan/penyata akaun semasa/surat pengesahan maklumat pemegang akaun dari bank/maklumat pemegang akaun
- Surat pengesahan daripada majikan ahli dan/atau ahli keluarga yang mengesahkan tanggungan pembiayaan kos perubatan (jika berkenaan)
- Borang KWSP 3 (Pindaan) – untuk penghantaran melalui pos/pengesahan cop ibu jari gagal
- Laporan Perubatan – Rawatan Kesuburan LPP-2
Pihak KWSP juga memerlukan dokumen daripada Institusi Perubatan dalam Negara iaitu:
- Bukti rawatan kesuburan
- Bukti bayaran
- Bukti identiti
- Surat pengesahan majikan
- Bukti pertalian dengan pasangan seperti sijil perkahwinan
- Lampiran bil/invois dan resit bayaran
- Surat Pengesahan Pembayaran Kos Rawatan dan Kebenaran
Kalau mama nak tahu lebih lanjut tentang pembiayaan rawatan kesuburan ini, mama papa boleh melayari portal rasmi KWSP .
Semoga bermanfaat!
BACA JUGA CARA UNTUK MENGANDUNG : 5 TIPS ANDA BOLEH CUBA
Pesanan Mama Siti
Mama Siti doakan semoga usaha mama dan pasangan untuk mendapatkan zuriat dipermudahkan. Tak perlu ‘rushing’ untuk dapatkan zuriat hanya kerana kita tengok orang lain berlumba-lumba tambah anak. Percayalah, rezeki ‘zuriat’ akan datang pada waktu yang tepat. Kita hanya perlu berdoa, berusaha & selebihnya bertawakal padaNYA.