KelabMama

BILA KETUA KELUARGA TIDAK SOLAT. ISTERI & ANAK PERLU MAIN PERANAN

Ramai di kalangan kita membincangkan isteri derhaka pada suaminya, tetapi jarang orang membincangkan derhaka suami kepada isterinya. Kenapa keadaan ini berlaku? Bukankah nampak macam tidak adil di pihak isteri? Mungkin juga isteri menjadi derhaka kerana suaminya yang tidak pandai mendidik isteri yang menjadi amanah yang diterimanya melalui akad yang sah. Sebuah keluarga yang bahagia terbentuk dengan kesefahaman, toleransi, bantu membantu dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Bahagialah sebuah rumahtangga yang diketuai oleh suami atau si ayah yang memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah dalam rumah. Tetapi apabila suami gagal memahami tugasnya selaku ketua rumahtangga akan berlaku ketidakstabilan pengurusan dalam rumahtangga.

 

INGAT TANGGUNGJAWAB SUAMI ITU SANGAT BESAR!

 

…………………………………………………

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata lelaki yang ‘liat’ bersolat, berkait rapat dengan pendedahan ketika peringkat awal dan kanak-kanaknya dulu, yang mana mungkin bapanya juga tidak bersolat atau keluarga tidak mengambil berat perihal solat. Selain itu, katanya, dari segi psikologi pula pelbagai agensi pembentuk nilai sosial turut mempengaruhi termasuk terlalu banyak paparan hiburan di dalam media massa dan kekurangan tempat kemudahan beribadat turut mempengaruhi solat.

 “Apapun alasan, solat adalah perkara yang wajib dilakukan, walaupun anda berada dalam keadaan sakit kerana ia adalah asas kepada agama dan sekiranya tidak bersolat maka orang itu ternafilah agama, lainlah kalau tidak sempat, tetapi sampai bila tidak sempat, kalau setiap hari bagaimana pula keadaannya? Secara praktikal seseorang yang meninggalkan solat bukan Muslim, tetapi Islam masih memandang baik orang yang mengakui keislaman. Dalam hal ini nasihat adalah elemen paling penting dalam mengajak seseorang itu mengerjakan solat, malah ada kemanisan sekiranya seseorang itu berubah untuk kembali bersolat,” katanya.

…………………………………………………

 

PERANAN ISTERI YANG BAIK

Namun demikian bersyukur apabila isteri mengambil alih tugasan memberi peringatan mengenai solat. Sepatutnya suami yang mengingatkan, tidak salah jika isteri yang ingatkan. Tetapi bila isteri yang suruh atau isteri yang mengajak kepada kebaikan suaminya tak berapa nak buat. Kerana dia hanya dilihat sebagai seorang wanita. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah keburukan adalah tugas bersama. Jika si suami melihat isterinya melakukan sesuatu yang salah atau melanggar perintah Allah maka si suami berkewajipan menegur dan membetulkan dan jika sebaliknya suami yang melakukan kesalahan maka si isteri berkewajipan membetulkannya. Ini termasuklah mengajak suami solat. Seorang isteri tidak memikul dosa suami yang tidak sembahyang. Selagi mengingat dan mengajak suami tidak mendatangkan mudarat pada fizikal, maka selagi itulah puan berkewajipan mengingatkannya. Namun dosa dia tinggalkan solat dia sendirilah yang tanggung.

 

PERANAN SI ANAK

Dalam hubungan ini, anak juga boleh menegur tetapi dilakukan secara bijaksana dengan tidak mengguris hati bapa. Soal sembahyang sangat penting dititikberatkan kerana ia memberi penilaian yang asas dalam beragama. Kalau puasa dan zakat senang diubah, tetapi sekiranya tidak bersolat, ia menggambarkan pegangan yang tidak elok. Tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada keperluan untuk menyedari dia akan mati, jadi tanamkan rasa keinsafan itu dalam diri kita bersama.

 

 

 

 

Sumber: rahsiaperkahwinan.com