Ramai di kalangan kita membincangkan isteri derhaka pada suaminya, tetapi jarang orang membincangkan derhaka suami kepada isterinya. Kenapa keadaan ini berlaku? Bukankah nampak macam tidak adil di pihak isteri? Mungkin juga isteri menjadi derhaka kerana suaminya yang tidak pandai mendidik isteri yang menjadi amanah yang diterimanya melalui akad yang sah. Sebuah keluarga yang bahagia terbentuk dengan kesefahaman, toleransi, bantu membantu dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Bahagialah sebuah rumahtangga yang diketuai oleh suami atau si ayah yang memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah dalam rumah. Tetapi apabila suami gagal memahami tugasnya selaku ketua rumahtangga akan berlaku ketidakstabilan pengurusan dalam rumahtangga.
INGAT TANGGUNGJAWAB SUAMI ITU SANGAT BESAR!
- Suami perlu diperbetulkan supaya mereka yang di bawah jagaannya terdidik. Suami bertanggungjawab mengemudi bahtera rumahtangga. Suami umpama kepala gerabak kereta api, kalau sesat kepala kereta api itu sesatlah seluruh penumpangnya.
- Lelaki sebagai ketua rumah tangga perlu tunjukkan teladan yang baik terhadap anggota keluarga.
- Hari ini, ramai ketua keluarga yang tidak memainkan peranan yang baik dengan menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak dengan melakukan solat wajib lima kali sehari. Senario memalukan ini bukan perkara pelik. Lihat saja sekeliling anda, boleh dikira lelaki yang rajin menunaikan solat, tidak kira lima waktu atau solat Jumaat. Malah, masih ada jejaka yang tanpa rasa malu ‘menyertai’ wanita membeli-belah, dan yang paling menyakitkan mata apabila dengan pasangan masing-masing menjamu selera waktu azan berkumandang tengahari Jumaat tanpa merasakan ia satu kesalahan yang besar.
- Mungkin ada yang menyelar topik ini dengan menyatakan bahawa solat isu sensitif dan hak peribadi sehinggakan ada kalanya apabila ingin mengajak seseorang bersolat pun menjadi perkara yang paling sukar dilafazkan. Tidak keterlaluan kita pula yang malu untuk bertanya soalan berkenaan lantas menjadikan insan yang tidak bersolat bangga dengan perbuatan berkenaan. Hakikatnya lelaki yang tidak menunaikan solat walaupun apa alasannya tidak layak bergelar pemimpin dan ketua keluarga.
…………………………………………………
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata lelaki yang ‘liat’ bersolat, berkait rapat dengan pendedahan ketika peringkat awal dan kanak-kanaknya dulu, yang mana mungkin bapanya juga tidak bersolat atau keluarga tidak mengambil berat perihal solat. Selain itu, katanya, dari segi psikologi pula pelbagai agensi pembentuk nilai sosial turut mempengaruhi termasuk terlalu banyak paparan hiburan di dalam media massa dan kekurangan tempat kemudahan beribadat turut mempengaruhi solat.
“Apapun alasan, solat adalah perkara yang wajib dilakukan, walaupun anda berada dalam keadaan sakit kerana ia adalah asas kepada agama dan sekiranya tidak bersolat maka orang itu ternafilah agama, lainlah kalau tidak sempat, tetapi sampai bila tidak sempat, kalau setiap hari bagaimana pula keadaannya? Secara praktikal seseorang yang meninggalkan solat bukan Muslim, tetapi Islam masih memandang baik orang yang mengakui keislaman. Dalam hal ini nasihat adalah elemen paling penting dalam mengajak seseorang itu mengerjakan solat, malah ada kemanisan sekiranya seseorang itu berubah untuk kembali bersolat,” katanya.
…………………………………………………
PERANAN ISTERI YANG BAIK
Namun demikian bersyukur apabila isteri mengambil alih tugasan memberi peringatan mengenai solat. Sepatutnya suami yang mengingatkan, tidak salah jika isteri yang ingatkan. Tetapi bila isteri yang suruh atau isteri yang mengajak kepada kebaikan suaminya tak berapa nak buat. Kerana dia hanya dilihat sebagai seorang wanita. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah keburukan adalah tugas bersama. Jika si suami melihat isterinya melakukan sesuatu yang salah atau melanggar perintah Allah maka si suami berkewajipan menegur dan membetulkan dan jika sebaliknya suami yang melakukan kesalahan maka si isteri berkewajipan membetulkannya. Ini termasuklah mengajak suami solat. Seorang isteri tidak memikul dosa suami yang tidak sembahyang. Selagi mengingat dan mengajak suami tidak mendatangkan mudarat pada fizikal, maka selagi itulah puan berkewajipan mengingatkannya. Namun dosa dia tinggalkan solat dia sendirilah yang tanggung.
- Isteri berperanan besar mengubah tabiat buruk suami itu dan ia boleh dilakukan dengan memberikan nasihat, tetapi pada masa sama isteri perlu bersikap serius dengan meneruskan amalan solat dan bukannya mengikut tabiat buruk suami.
- Isteri perlu bertegas terhadap hal ini apabila ‘tegur pun tidak jalan’ seorang isteri boleh mendapatkan khidmat pihak ketiga memberikan nasihat. Mungkin ada yang menyatakan suami perlu dihormati, tetapi isteri perlu tahu bahawa dia perlu mentaati suami yang tidak melakukan dosa.
- Kalau suami bersikap buruk tidak patut ditaati. Malah, ada pendapat mengatakan isteri boleh mengugut untuk minta cerai, tetapi ia bukan tindakan bijaksana. Sebaliknya ia mengambil satu sikap tegas dan kalau berlarutan ingatkan kepadanya bahawa bersolat menjadi perkara yang boleh disanjung anak-anak.
PERANAN SI ANAK
Dalam hubungan ini, anak juga boleh menegur tetapi dilakukan secara bijaksana dengan tidak mengguris hati bapa. Soal sembahyang sangat penting dititikberatkan kerana ia memberi penilaian yang asas dalam beragama. Kalau puasa dan zakat senang diubah, tetapi sekiranya tidak bersolat, ia menggambarkan pegangan yang tidak elok. Tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada keperluan untuk menyedari dia akan mati, jadi tanamkan rasa keinsafan itu dalam diri kita bersama.
Sumber: rahsiaperkahwinan.com