KENAPA GIGI PERLU DIBERSIH?
Membersihkan gigi boleh menghilangkan sisa makanan dan plak dari permukaan gigi. Ia juga merupakan salah satu cara untuk gigi mendapat fluoride (jika memberus menggunakan ubat gigi) yang membantu menguatkan gigi. Penjagaan awal memastikan anak anda mempunyai kesihatan mulut yang baik sepanjang hayat.
BILA ANAK SAYA SEPATUTNYA MULA DIBERSIHKAN GIGI?
Ibu bapa dinasihatkan membersihkan gigi anak mereka sebaik sahaja gigi tumbuh. Tanamkan tabiat penjagaan dari kecil lagi untuk mendapatkan kesihatan mulut yang baik.
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENJAGA KEBERSIHAN GIGI?
- Bayi
Gunakan tuala lembab atau basah untuk membersihkan mulut dan gusi selepas setiap kali penyusuan.
- Kanak-kanak
Berdiri atau duduk di belakang kanak-kanak dan dongakkan kepalanya ke atas supaya semua permukaan gigi dapat dibersihkan. Untuk ibu bapa yang mempunyai anak berumur 2 tahun ke bawah, beruslah gigi anak anda sekurang-kurangnya dua kali sehari, terutama selepas makan dan malam sebelum tidur. Ubat gigi berfluorida tidak perlu digunakan. Cukup sekadar memberus. Namun untuk ibu bapa yang mempunyai anak berumur 2 tahun ke atas :
Selia atau bantu anak anda memberus gigi sehingga mereka berumur 6 hingga 7 tahun. Gunakan ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak sebesar biji kacang soya sahaja. Berkumur dan berludah selepas memberus gigi.
KENAPA PENJAGAAN KESIHATAN PERGIGIAN PENTING?
Penjagaan kesihatan pergigian penting untuk mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi di kalangan kanak-kanak. Kesihatan pergigian yang baik membolehkan mereka mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.
BAGAIMANAKAH CARA MENJAGA KESIHATAN PERGIGIAN YANG BAIK?
Amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik merangkumi 3 langkah pencegahan utama seperti berikut:
- Penjagaaan kebersihan gigi yang baik :
- Berus gigi sehingga bersih setiap hari terutama selepas makan dan sebelum tidur malam.
- Guna ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak semasa memberus gigi. Picitkan ubat gigi sebesar biji kacang soya ( 5 mm ) sahaja untuk anak yang berumur 2 tahun ke atas.
- Selia atau bantu anak anda memberus gigi sehingga mereka berumur 6 hingga 7 tahun.
- Berkumur-kumur dengan segera selepas makan atau minum jika tidak berkesempatan memberus gigi.
- Jangan berkongsi berus gigi.
- Tukar berus gigi jika bulu berusnya mula kembang.
- Makan secara sihat :
- Makan makanan yang seimbang. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
- Elakkan menambah gula ke dalam minuman kanak-kanak. Sekiranya menggunakan botol susu, pastikan minuman tersebut tidak mengandungi gula.
- Jangan sekali-kali mencelup puting botol susu ke dalam gula atau manisan.
- Elakkan minum minuman berkarbonat kerana kandungan gulanya tinggi.
- Pemeriksaan pergigian secara berkala :
- Bawalah anak anda berjumpa doktor pergigian atau jururawat untuk pemeriksaan seawal usia untuk membiasakan mereka dengan suasana klinik pergigian.
- Dapatkan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun tetapi bagi mereka yang berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi ( karies gigi ), pemeriksaan lebih kerap mungkin diperlukan.
- Segera dapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor pergigian jika berlaku kecederaan gigi atau mengalami masalah pergigian.
PEMERIKSAAN PERGIGIAN BERKALA
Pemeriksaan pergigian awal membolehkan pengamal pergigian dan penjaga berbincang cara penjagaan kesihatan gigi yang baik sebelum sebarang masalah berlaku.
MENGAPA PERLU MELAKUKAN PEMERIKSAAN PERGIGIAN SECARA BERKALA?
- Pemeriksaan pergigian secara berkala perlu untuk :
- Mengawasi pertumbuhan gigi dan perkembangan tulang rahang
- Mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi
- Menyelia penjagaan gigi sendiri
BILAKAH PEMERIKSAAN PERGIGIAN PERLU DILAKUKAN?
Mulakan pemeriksaan pergigian setelah gigi susu pertama tumbuh ( berumur lebih kurang 6 bulan). Ikuti nasihat doktor pergigian untuk pemeriksaan seterusnya.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KARIES AWAL DI KALANGAN KANAK-KANAK?
Karies awal di kalangan kanak-kanak ialah kerosakan gigi susu yang berlaku dalam kadar yang cepat yang disebabkan oleh amalan penyusuan yang tidak baik dan diburukkan lagi oleh tabiat pemakanan yang tertentu. Ia juga dikenali dengan nama karies botol susu.
APAKAH YANG MENYEBABKAN KEROSAKAN GIGI ANAK?
Menghisap susu atau minuman manis secara berterusan terutama semasa tidur adalah penyebab utama kerosakan gigi berlaku. Semasa tidur, aktiviti menelan air liur akan berkurangan. Ia akan menghalang proses pembersihan cecair dalam mulut. Susu atau minuman manis bertakung di dalam mulut dan ia menggalak pembiakan bakteria yang akan menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi.
BAGAIMANA SAYA BOLEH MENGETAHUI ANAKSAYA MENGALAMI KEROSAKAN GIGI?
- Sakit gigi atau gusi
- Kerosakan gigi kacip di rahang atas
- Kerosakan gigi geraham di rahang atas dan bawah
- Kebiasaannya, kerosakan gigi jarang berlaku pada gigi hadapan rahang bawah.
APAKAH MASALAH BERKAITAN YANG TIMBUL?
Kerosakan gigi yang tidak dirawat akan menyebabkan :
- Sakit gigi
- Bengkak gusi
- Kehilangan gigi
BAGAIMANAKAH GIGI YANG ROSAK DIRAWAT?
Dapatkan pemeriksaan daripada doktor pergigian seawal mungkin untuk mengelak kerosakan gigi yang teruk atau berterusan. Gigi tersebut mungkin perlu dibersihkan dan ditampal atau menjalani lain-lain rawatan yang diperlukan.
APAKAH YANG BOLEH SAYAA LAKUKAN UNTUK MENCEGAH KEROSAKAN GIGI AWAL DI KALANGAN KANAK-KANAK?
- Pangku anak anda semasa menyusu botol dan keluarkan botol daripada mulutnya sebaik sahaja dia tidur.
- Sekiranya anak anda enggan tidur tanpa botol di dalam mulutnya, isikan botol dengan air masak kosong.
- Bersihkan mulut anak selepas memberi makan atau minum dengan tuala bersih yang basah. Jadikan kebiasaan untuk memberus gigi nya dua kali sehari apabila lebih banyak gigi tumbuh.
- Elakkan memberi minuman yang manis atau mencampur gula ke dalam minuman botol anak anda.
- Usahakan agar anak anda tidak lagi mengguna botol susu apabila sudah berumur 1 tahun. Latih anak anda minum susu dengan mengguna cawan.
- Bawa anak anda ke klinik seawal mungkin untuk mendapatkan pemeriksaan pergigian.
Sumber: myhealth.gov.my