KelabMama

Bermain Dengan Bayi Mengikut Perkembangan Usia (0-12 Bulan)

perkembangan bayi

Beri perhatian kepada bayi anda dengan mengajaknya bermain. Tak perlu tunggu lama, bayi berusia 1 bulan juga sudah pandai bermain. Luar biasa bukan? Jom lihat beberapa kaedah bermain yang boleh dipraktikan oleh mama sekalian kepada anak anda mengikut peringkat umur tertentu.  Bayi anda pasti sukakan permainan-permainan mudah berikut yang turut membantu dalam perkembangannya.

(0 HINGGA 3 BULAN)

Tiru Perbuatan

Pegang rapat bayi anda. Bayi dalam usia ini boleh fokus paling baik pada kira-kira 20 ke 35 cm dan apabila dia melihat ke dalam mata anda, perlahan-lahan jelirkan lidah. Buat ini setiap kira-kira 20 saat. Ia mungkin mengambil masa seminit dua tetapi selepas seketika anda akan perasan dia menjelirkan lidahnya kembali kepada anda. Dia akan cuba meniru ekspresi muka yang lain juga seperti senyuman lebar atau mulut yang ternganga. Permainan ini akan membantu menajamkan kemahiran penglihatannya.

Lagu Geletek

Apabila bayi anda sudah besar sedikit letakkannya di riba anda dan dengan perlahan buka gulungan jari kaki atau jari tangannya sambil anda menyanyi dan mengusap lembut. Ulangi lagu itu bebebrapa kali sehingga dia mula ketawa kerana teruja dengan jangkaan akan digeletek pada akhir lagu di jari kaki atau tangan. Lagu-lagu mudah dan berulang-ulang bagus untuk meningkatkan daya ingatan bayi anda.

Golek  & Regang

Bagi bayi yang sudah boleh mengangkat kepalanya selama satu atau dua saat semasa meniarap sesuai untuk permainan jenis ini. Jika dia gembira dalam posisi ini, golekkan sebji bola yang berwarna terang melintasi garis penglihatannya kira-kira 2 kaki daripada badannya. Sebagai permulaan, dia akan menumpukan perhatian melihat bola tetapi tidak lama kemudian dia akan cuba untuk mencapainya. Ini akan membantu menguatkan otot-otot leher, lengan dan kakinya.

(3 HINGGA  6 BULAN)

Tangkap saya

Gabungkan satu mainan lembut yang kecil di reben berwarna cerah. Letakkan di hadapan bayi anda dan buatkan ia berayun. Biar bayi anda cuba menyentuh atau mengambilnya, jangan lupakan berikan kata-kata pujian. Ini akan membantu bayi melatih koordinasi tangan dan mata.

Berbual Mesra

Selain bermain, bayi suka berinteraksi dengan ibunya. Jika bayi sudah pandai membuat pelbagai bunyi, berikan respon seperti mengagahnya supaya membantu perkembangan bertuturnya.

Buih Sabun

Letak bayi di atas kerusi enjut dan tiup buih sabun disekelilingnya. Lihat bagaimana dia menjejaki buih-buih itu dengan matanya apabila ia terapung ke bawah. Jika dia menangkap satu buih, dia akan belajar mengenai sebab dan akibat menyentuh, iaitu buih pasti meletup! Tetapi hati-hati jangan sampai buih sabun terkena mata si comel anda.

(6 HINGGA 9 BULAN)

•Boneka Mini

Buat beberapa boneka jari berwarna-warni yang mudah daripada guntingan sarung tangan. Tunjukkan kepada bayi anda bagaimana anda boleh membuat boneka itu menyanyi, menari, menggeletek dan mencium! Dia pasti suka melihat boneka itu ‘hidup’ secara tidak langsung mengembangkan daya imaginasinya.

Punggah Barang

Bayi sangat suka memunggah barang. Jadi tukarkan satu aktiviti yang sama seperti itu. Penuhkan satu bekas plastik besar dengan objek-objek yang menarik dan selamat seperti blok, mainan lembut yang kecil, mainan bergetar atau cawan pengukur. Bantu bayi anda mengangkat bekas itu dan menterbalikkannya, kemudian bersama-sama penuhkan bekas itu semula. Menangani objek-objek berlainan akan membantunya belajar mengenai saiz, bentuk dan berat, di samping memperkenalkan konsep matematik awal seperti besar dan kecil, kosong dan penuh.

Kubu Aktiviti

Jika bayi anda sudah semakin lasak, binalah kubu aktiviti daripada kusyen. Permainan yang menyeronokkan ini akan membantu memperkembangkan kekuatan, keseimbangan dan koordinasi badan si comel.

(9 HINGGA 12 BULAN)

•Tendang Bola

Letakkan sebji bola ringan yang bersaiz sederhana di hadapan anda, pegang bayi anda, angkat dan hayunkan dia ke hadapan supaya kakinya menyentuh bola. Bantu dia menendangnya di lantai atau taman. Menghayun kakinya membantu bayi anda menguatkan otot-otot perut dan kaki.

Bina & Musnah

Kumpulkan beberapa kotak bijirin sarapan, buku-buku ringan, mangkuk plastik, bekas yogurt dan blok mainan bayi, kemudian binalah sebuah menara bersama-sama. Apabila sudah siap, ambil giliran untuk meruntuhkannya. Bayi anda pasti suka melihat menara itu runtuh, sambil belajar mengenai saiz dan bentuk.

Tiru Mama!

Bayi anda suka meniru perbuatan anda. Jika dia lihat anda sibuk menyikat rambut dia akan cuba meniru apa yang anda lakukan. Fikirkan satu aktiviti menarik dan positif yang boleh mengajar anak anda meniru. Seperti melipat baju bersama, menari, atau sekadar menepuk tangan. Meniru ialah satu daripada langkah pertama ke arah permainan khayalan.

Sumber: Internet