Bulan Ramadan ini sudah menjadi satu kebiasaan dengan isu pembaziran makanan. Sepatutnya dalam bulan yang mulia ini, kita mendekatkan diri dengan Allah dengan melakukan amal ibadah serta mengingati tujuan asal kenapa kita berpuasa.
Surah Al-Isra:27 menegaskan “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah Al–A’raf Ayat 31 yang bermaksud “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang–orang yang melampaui batas”.
Perintah dari Allah SWT ini jelas menunjukkan kepada kita semua mengenai peringatan dan larangan keras dari Allah SWT supaya kita tidak mengamalkan budaya atau sikap pembaziran serta tidak melakukan sebarang perkara secara melampau–lampau.
Tips Untuk Mengelakkan Diri Daripada Menjadi ‘Gelojoh’ Ramadan
Ini Mama Siti kongsikan beberapa tips yang boleh Mama semua latih diri untuk mengelakkan diri daripada menjadi gelojoh:
1. Mengawal Hawa Nafsu Membeli
Ketika di bazar ramadan cukuplah dengan hanya membeli satu atau dua juadah sahaja kalau Mama sudah memasak di rumah. Mama Siti faham apabila puasa ini nafsu makan tinggi, tengok apa sahaja semuanya mahu makan.
Tetapi Mama perlulah kawal nafsu membeli, esok-esok masih ada lagi masa untuk Mama membeli juadah makanan yang lain. Nak senang, Mama limit sendiri nilai wang yang ingin dibelanjakan di bazar.
Walaupun sekarang cashless, tetapi lebih baik Mama membawa tunai je. Boleh elakkan daripada terlebih membeli juadah yang ‘tiba-tiba’ nak kan?
2. Beli Pelbagai Jenis Kuih, Dalam Kuantiti Yang Sikit
Kalau nak beli kuih, Mama Siti cadangkan Mama campur kuih-muih yang ingin dibeli, dan pastikan setiap satunya dalam kuantiti yang sedikit.
Campurkan pelbagai jenis, barulah dapat merasa semua jenis kuih yang Mama mahu makan. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran, malah Mama juga dapat berjimat.
Dan kuih-muih selalunya cepat basi, jadi Mama tak boleh nak simpan sehingga sahur. Lagipun jarang anak-anak makan kuih kecuali kuih itu favourite mereka. Jadi Mama beli cukup-cukup sahaja kuih untuk Mama Papa.
3. Elakkan Membeli Minuman
Mama perlu elak atau kurangkan membeli air minuman ketika di bazar. Air yang dibeli di bazar dua tiga jam sebelum waktu berbuka berpotensi untuk menjadi lebih tawar apabila tiba waktu berbuka nanti.
Bila air dah tawar, maka kuranglah ‘peminat’ air tersebut. Tapi kalau Mama nak juga beli, belilah air yang susah untuk dibuat di rumah.
Dan Mama jangan lupa untuk request yang tiada ais, biasanya kalau yang tiada ais ini air akan kekal rasa manis. Tambah je ais di rumah nanti. Senang dan jimat bukan?
4. Rancang Juadah Berbuka
Kalau ikutkan nafsu, itu ini nak makan! Gelojoh tak terkata! Tapi, bila dah berbuka, alahaiii, nasi pun cukup satu pinggan tu je.
Betul ke betul?
Untuk mengelakkan pembaziran, Mama dinasihatkan untuk merancang kuantiti makanan yang akan Mama hidangkan mengikut jumlah ahli keluarga yang akan berbuka sama pada hari tersebut.
Sebab tak semua makanan yang dihidangkan akan dihabiskan semua sewaktu berbuka bukan? Jadi, rancang untuk juadah makanan yang perlu sahaja.
Sama juga kalau Mama memasak di rumah, anggarkan kuantiti makanan mengikut bilangan ahli keluarga yang akan berbuka bersama. Kalau Mama sudah memasak di rumah, jadi tak perlulah membeli juadah berbuka di bazar kecuali pencuci mulut.
Lagipun kebanyakan makanan yang dibeli di bazar tak sesuai untuk reheat untuk sahur. Dan waktu sahur juga selalunya variasi makanan tidak banyak seperti waktu berbuka.
5. Iktibar daripada Keluarga Kurang Berkemampuan
Mama perlu belajar terapkan dalam diri Mama untuk mengamalkan berbuka secara sederhana. Jauhkan diri Mama daripada makan terlalu banyak, ibarat mahu melepaskan geram selepas sehari suntuk tidak menjamah makanan dan minuman.
Kita berpuasa supaya rasa lapar sepanjang hari itu membuatkan kita lebih bersyukur kepada Allah setelah mendapat makanan ketika berbuka puasa. Dalam erti kata lain, seseorang itu akan lebih bersyukur dengan kesenangan hidupnya dan tidak akan bersifat lokek untuk membantu insan yang dalam kekurangan ini.
Secara tak langsung, berpuasa melatih kita untuk turut merasai bagaimana kehidupan insan yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan. Ambil iktibar bagaimana gembira dan bersyukurnya mereka apabila mendapat makanan yang menyelerakan walaupun dalam kuantiti yang sedikit.
Mama Siti faham Mama mestilah mahu hidangkan makanan yang lazat untuk keluarga selepas seharian berpuasa. Tetapi pada masa yang sama juga Mama perlulah berwaspada untuk mengelakkan berlakunya pembaziran makanan. Sebab tu jangan ‘gelojoh’ nak beli itu ini semasa Ramadan ini.
Bersederhana dalam setiap perkara itu dituntut kerana sungguhnya Islam itu adalah agama yang sederhana, tidak lebih dan tidak kurang.
Mama Papa mahu koleksi doa untuk diamalkan bulan ramadan ini? Klik SINI.