KelabMama

BERENANG BUAT BAYI TENANG DI HIPPOPO BABY SPA & WELLNESS

Dapat menyaksikan bayi-bayi comel tersenyum dan ketawa riang bermain air di dalam tab mandi di Hippopo Baby Spa & Wellness, pasti mengujakan. Gelagat mereka menendang-nendang kaki sambil tangan kecil cuba mengapai bola-bola kecil di permukaan air, membuatkan ibu bapa yang berada di sekeliling mereka pasti tersenyum bangga dan puas. Di satu sudut lain pula, kelihatan beberapa orang fisioterapi profesional sedang melakukan urutan manja pada beberapa bayi yang telah selesai sesi mandian. Kemudian di sudut paling hujung, kelihatan pula seorang bayi yang berusia dalam lingkungan enam bulan sedang nyenyak tidur di atas tilam, selepas selesai melakukan sesi memanjakan diri.

            Pengasas Hippopo Baby Spa and Wellness, Nick Goo, berkata, idea asal beliau bersama isteri menubuhkan spa tersebut bermula hasil pengalaman sendiri membawa bayi mereka berusia tiga bulan di spa bayi di Singapura. Menurutnya, di Singapura terdapat lebih daripada 10 spa untuk bayi yang menyediakan pakej mandian kolam dan urutan.

            Daripada pengalaman tersebutlah dia dan isteri bersepakat membuka sebuah spa yang menawarkan pakej mandian dan urutan bayi, iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini. Spa bayi tersebut beroperasi di Centrepoint Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor. Sebelum bayi melalui proses memanjakan diri, mereka akan melakukan sesi regangan selama lima minit sambil dibantu oleh fisioterapi. Kemudian mereka akan dipakaikan dengan lampin mandian khusus. Terdapat dua saiz tab mandi disediakan di sini untuk keselesaan bayi. Tab mandi kecil dikhususkan untuk bayi berusia satu hingga enam bulan, sementara tab lebih besar digunakan untuk bayi berusia tujuh bulan hingga tiga tahun. Jumlah berat minimum bayi untuk mandi dalam kolam ini pula bermula dari 4.5 kilogram.

            Ibu bapa juga tidak perlu risau tentang tahap kebersihan tab mandi. Bagi memastikan kualiti air yang digunakan bersih dan selamat, air akan ditukar setiap hari bagi tab mandi besar air dan bagi tab mandi lebih kecil air akan ditukar setiap kali selepas digunakan. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan penapis air dan kandungan ioniser bagi mengelakkan bau dan bakteria. Kebiasaannya mereka menggunakan air suam daripada 33 hingga 37 darjah celcius. Begitupun ibu bapa diberi pilihan sama ada untuk memilih air mandian sejuk atau suam untuk bayi mereka. Tidak cukup dengan itu, sebelum memasukkan bayi ke dalam tab mandi, mereka akan meminta keluarga menyentuh dahulu air tersebut.

           

Teknik Urutan Kepada Bayi

Selepas sesi mandian bayi-bayi tersebut akan dimanjakan dengan urutan yang dilakukan oleh fisioterapi berpengalaman dengan menggunakan teknik-teknik urutan yang lembut dan santai. Urutan tersebut menggunakan minyak biji anggur, minyak premium centella dan minyak musk yang diimport dari Taiwan. Minyak tersebut sangat baik untuk urutan bayi yang lahir pramatang kerana ia dikatakan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan tumbesaran bayi. Tempoh urutan adalah 30 minit, namun ia juga bergantung kepada keadaan serta mood bayi kerana tidak semua bayi suka disentuh dan diurut dalam masa yang lama.