Punca berak berdarah bukan sesuatu yang boleh diabaikan, lebih-lebih lagi kalau ia berlaku berulang kali. Kadang-kadang, ia mungkin cuma masalah kecil, tapi ada juga kes yang boleh jadi tanda kepada sesuatu yang lebih serius.
Pendarahan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau sedikit demi sedikit tanpa disedari.
Warna dan jumlah darah yang keluar juga boleh bagi petunjuk tentang apa yang sedang berlaku dalam tubuh kita. Ada yang nampak darah merah terang pada underwear atau tisu tandas, ada juga yang perasan najis jadi lebih gelap atau bercampur darah.
Walaupun sesetengah kes tidak membimbangkan, perubahan ini tetap perlu diberi perhatian. Kadang-kadang, ia datang bersama rasa tidak selesa seperti perut memulas atau najis berubah tekstur.
Punca Berak Berdarah dan Bagaimana Ia Berlaku?
1. Buasir

Buasir atau hemorrhoids berlaku apabila salur darah di sekitar dubur membengkak akibat tekanan, seperti meneran kuat semasa membuang air besar. Ia sering dikaitkan dengan sembelit, kurang serat dalam diet, atau duduk terlalu lama di tandas.
Pendarahan akibat buasir biasanya berwarna merah terang dan boleh kelihatan pada tisu tandas atau najis. Selain itu, ia boleh menyebabkan gatal, sakit, atau bengkak di kawasan dubur.
Untuk mengelakkan buasir, amalkan pemakanan kaya serat, banyakkan minum air, dan elakkan meneran ketika membuang air besar.
2. Fisur Dubur (Luka pada Dubur)

Fisur dubur ialah rekahan kecil di sekitar dubur yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, terutama ketika membuang air besar.
Ia biasanya berpunca daripada sembelit, najis keras, atau meneran terlalu kuat. Dalam sesetengah kes, cirit-birit berterusan atau proses kelahiran juga boleh mencetuskan fisur ani.
Pendarahan akibat fisur ani selalunya sedikit tetapi disertai dengan rasa pedih dan sakit yang boleh berpanjangan.
Jika tidak dirawat, luka ini mungkin mengambil masa lebih lama untuk sembuh dan boleh menyebabkan ketidakselesaan berterusan.
Untuk mengelakkan fisur ani, penting untuk mengamalkan pemakanan tinggi serat, minum air secukupnya, dan mengelakkan tabiat meneran.
3. Jangkitan Usus

Jangkitan usus boleh berlaku akibat bakteria seperti Salmonella, E. coli, atau Shigella, yang menyerang sistem pencernaan dan menyebabkan keradangan.
Keadaan ini sering dikaitkan dengan pengambilan makanan atau minuman yang sudah tercemar.
Selain cirit-birit berdarah, jangkitan usus biasanya disertai dengan gejala lain seperti demam, muntah, sakit perut berpanjangan, dan kadangkala dehidrasi.
Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada komplikasi serius, terutamanya bagi kanak-kanak dan individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Bagi mencegah jangkitan usus, pastikan kebersihan makanan terjaga, elakkan makanan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna, dan sentiasa amalkan kebersihan tangan.
4. Divertikulosis

Divertikulosis berlaku apabila kantung-kantung kecil (divertikula) terbentuk pada dinding usus besar, biasanya akibat tekanan yang tinggi dalam usus.
Keadaan ini lebih kerap dialami oleh individu yang berusia atau mereka yang kurang mengamalkan diet tinggi serat. Dalam kebanyakan kes, divertikulosis tidak menunjukkan gejala.
Tetapi, jika salah satu kantung ini mengalami jangkitan atau pecah (divertikulitis), ia boleh menyebabkan sakit perut, demam, dan pendarahan dalam najis. Pendarahan yang berlaku mungkin banyak dan berwarna merah terang atau maroon.
Bagi mencegah divertikulosis, pengambilan serat yang mencukupi, minum air secukupnya, dan mengekalkan gaya hidup aktif amat penting.
5. Penyakit Radang Usus (IBD)

Penyakit Radang Usus (IBD) merangkumi dua keadaan utama, iaitu Kolitis Ulseratif dan Penyakit Crohn. Kedua-duanya menyebabkan keradangan kronik di dalam usus, yang boleh mengakibatkan luka serta pendarahan dalam najis.
Pendarahan akibat IBD biasanya berlaku secara berulang dan sering disertai dengan gejala lain seperti cirit-birit kronik, sakit perut, keletihan, dan penurunan berat badan.
Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak dikawal dengan baik. Walaupun punca sebenar IBD masih belum diketahui, faktor genetik, sistem imun yang terlalu aktif, dan gaya hidup boleh memainkan peranan.
Rawatannya pula bergantung pada tahap keterukan penyakit dan boleh merangkumi ubat-ubatan anti-radang, perubahan diet, atau dalam kes yang lebih serius, pembedahan.
6. Polip atau Kanser Usus

Walaupun jarang berlaku, polip atau ketumbuhan dalam usus boleh menjadi punca pendarahan dalam najis.
Polip ialah ketumbuhan kecil yang biasanya tidak berbahaya, tetapi dalam sesetengah kes, ia boleh berkembang menjadi kanser usus kalau tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Pendarahan akibat polip atau kanser usus sering berlaku secara perlahan dan mungkin tidak disedari.
Tanda-tanda amaran termasuk perubahan warna najis menjadi lebih gelap atau kehitaman, perubahan tabiat buang air besar, sakit perut yang berterusan, keletihan tanpa sebab, serta penurunan berat badan yang tidak dijangka.
Memandangkan kanser usus boleh berkembang tanpa simptom yang jelas pada peringkat awal, pemeriksaan berkala seperti ujian najis dan kolonoskopi amat digalakkan, terutamanya bagi individu berisiko tinggi.
7. Hemangioma Usus
Hemangioma usus ialah ketumbuhan salur darah abnormal dalam dinding usus yang boleh pecah secara tiba-tiba dan menyebabkan pendarahan.
Walaupun keadaan ini jarang berlaku, ia boleh menjadi punca kehilangan darah secara perlahan tanpa disedari.
Pendarahan akibat hemangioma usus selalunya tidak disertai rasa sakit, tetapi dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan anemia akibat kekurangan darah.
Gejala seperti keletihan, pucat, atau pening mungkin muncul jika kehilangan darah berterusan.
Diagnosis hemangioma usus biasanya memerlukan ujian lanjut seperti endoskopi atau imbasan khas. Jika pendarahan berlaku secara berulang, rawatan seperti terapi laser atau pembedahan mungkin diperlukan untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Apa yang Boleh Dilakukan untuk Mengurangkannya?

Sementara menunggu pemeriksaan doktor, ada beberapa langkah yang Mama Papa boleh lakukan untuk mengurangkan masalah ini:
- Minum air secukupnya – Membantu melembutkan najis dan mengelakkan sembelit.
- Lebihkan serat dalam diet – Makan lebih banyak buah, sayur dan bijirin penuh untuk melancarkan sistem pencernaan.
- Kurangkan makanan pedas dan berlemak – Boleh menyebabkan kerengsaan usus dan memperburuk keadaan.
- Bersenam secara berkala – Aktiviti fizikal membantu melancarkan pergerakan usus.
- Gunakan tisu basah atau air – Jika mengalami buasir, elakkan penggunaan tisu kasar dan gunakan air suam untuk mencuci selepas membuang air besar.
Berak berdarah memang boleh menyebabkan panik, tetapi ia tidak selalu bermakna sesuatu yang serius. Tetapi dengan memahami punca berak berdarah, kita dapat mengambil langkah yang lebih baik untuk menjaga kesihatan diri.
Jika berak berdarah berlaku secara berulang atau disertai tanda-tanda lain yang mencurigakan, sebaiknya dapatkan pemeriksaan segera bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Jaga kesihatan usus, amalkan gaya hidup sihat dan jangan malu untuk berjumpa doktor jika ada sebarang kebimbangan. Kesihatan kita, kesejahteraan keluarga!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa tanda-tanda kolesterol tinggi dalam badan? Klik di SINI.