Mungkin ramai ibu muda hari ini kurang faham kenapa orang Asia, khususnya orang Melayu begitu cerewet perihal berpantang lepas pantang. Malah ada juga yang tidak percaya keperluan berpantang dan tidak bercadang untuk mengamalkannya langsung.
Teringat pengalaman Mama Siti waktu melahirkan anak sulung, suami Mama Siti bercerita kepada Mama Siti, “Mak Ngah Chah pesan suruh pastikan sayang betul-betul jaga pantang, pakai stokin, ikat rambut ketat, jangan jalan banyak-banyak, jangan naik tangga. Takut nanti, kalau tak jaga akan bentan. Bentan tu apa?”
Terpinga-pinga kami suami isteri yang baru pertama kali bergelar mama abah waktu itu.
Apakah itu Bentan?
Proses melahirkan anak bukanlah sesuatu yang mudah. Seorang ibu bertarung nyawa sepanjang kehamilan, ketika melahirkan, dan juga sewaktu selepas melahirkan si anak. Banyak urat-urat otot dan salur darah yang putus dan pecah akibat proses melahirkan dan memerlukan waktu untuk disembuhkan secara semulajadi. Ibu yang melahirkan secara pembedahan Czer pula memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh dan pulih seperti kebiasaannya.
Maka, orang kita mengamalkan adat berpantang untuk membantu ibu pulih seperti sediakala dengan segera, dan untuk mengelakkan bentan. Bentan sering dikaitkan dengan komplikasi yang dialami oleh ibu yang sedang dalam waktu berpantang.
Ibu yang menghadapi bentan akan berasa tidak selesa, lenguh-lenguh badan, sakit urat, kebas kaki tangan, dan juga keluar darah yang banyak dari sepatutnya semasa berpantang. Emosi ibu sewaktu ini juga mudah terganggu kerana ketidakstabilan hormon dan tidak mustahil boleh mengganggu penghasilan susu badan ibu.
Jenis-jenis Bentan
Secara umumnya, ada tiga jenis bentan yang selalu menjadi kerisauan ibu-ibu yang sedang berpantang.
1. Bentan Urat
Sakit sendi-sendi dan urat-urat tulang sehinggakan si ibu boleh demam sehingga menggigil kesejukan walaupun di dalam cuaca yang panas. Ibu berasa terlalu lemah untuk melakukan aktiviti harian dan akan menghadapi kesukaran walaupun untuk bangun kerana badan terlalu lemah.
2. Bentan Urat Pinggang
Bagi ibu-ibu yang melahirkan bayi melalui pembedahan / caesarean, penjagaan semasa berpantang akan menjadi lebih ketat berbanding dengan ibu yang melahirkan bayi secara normal. Ini kerana proses pembedahan itu sendiri memerlukan masa yang lama untuk pulih. Bentan urat pinggang ialah komplikasi yang sering dialami oleh ibu-ibu yang melahirkan secara Czer ini. Bentan sebegini membuatkan ibu rasa sakit di bahagian pinggang seperti satu bebanan yang menusuk-nusuk menyebabkan pergerakan ibu agak terbatas.
3. Bentan Urat Rahim
Bagi ibu-ibu yang sudah biasa melakukan kerja berat di rumah, waktu berpantang berehatlah seadanya. Mengangkat barang-barang berat, turun-naik tangga dengan kerap dan laju serta melakukan tugas-tugasan mengalih barang semasa berpantang boleh membuatkan organ peranakan atau rahim ibu menghidapi bentan urat rahim. Rahim ibu yang baru sahaja melahirkan itu perlu berehat dan waktu berpantang sangat kritikal untuk ia kembali pulih seperti sediakala.
Cara-cara Mengelakkan Bentan
Sentiasalah berpegang pada kata-kata mencegah lebih baik daripada merawati. Walaupun zaman berubah dan kehidupan moden kini dapat memberi banyak solusi rawatan selepas melahirkan anak, tidak menjadi kerugian untuk kita berhati-hati sebelum dijangkiti penyakit bentan.
1. Patuh pada amalan berpantang
Seperti yang sering ditekankan, ibu-ibu cubalah patuh dalam berpantang, sekurang-kurangnya 40 hari, atau paling tidakpun sementasa masih bernifas (darah yang keluar selepas melahirkan)
Antara amalan-amalan berpantang yang boleh mengelakkan bentan termasuklah
- Melakukan amalan berurut untuk membuang angin dan melumur badan dengan minyak panas
- Sentiasa memakai stokin kerana saraf hujung kaki sangat sensitif dengan perubahan suhu sekeliling
- Bertungku dan berbengkung untuk mengeluarkan angin yang terperangkap di dalam badan
2. Tidur yang mencukupi
Bagi ibu-ibu yang berniat untuk menyusu badan, tahniah Mama Siti ucapkan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula buat mereka yang baru pertama kali bergelar ibu. Kadang-kala, menjaga bayi di dalam pantang boleh menjadi sesuatu yang meletihkan dan boleh menyebabkan ibu tidak dapat cukup rehat dan tidur. Dapatkanlah bantuan dari suami dan orang sekeliling jika perlu. Carilah waktu untuk berehat supaya kesihatan ibu juga terjaga.
3. Sokongan suami tercinta
Proses kehamilan dan melahirkan anak bukanlah hanya melibatkan si ibu dan anak. Ayah juga harus aktif memainkan peranan sebagai pasangan yang sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada isteri tercinta. Mudahkanlah apa yang boleh, usah dibiarkan isteri rungsing memikirkan apa yang perlu dihidang untuk makan malam, rumah tak berkemas, atau baju tak berbasuh. Walaupun sibuk dengan tugasan harian di pejabat, seorang suami harus faham waktu ini adalah waktu kritikal, baik dari segi fizikal dan emosi isteri untuk kembali seperti sebelumnya. Jangan letakkan bebanan dan harapan yang tinggi, dan cukuplah sekadar memudahkan kerja dan menyokong isteri tercinta.
Berpantang bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi percayalah, menghidap bentan lebih memudaratkan dan jika boleh dielakkan, berusahalah untuk mengelakkannya. Benar kata orang dulu-dulu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang di tepian; Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Mama Siti doakan agar proses berpantang ibu-ibu sekalian dipermudahkan dan dijauhi dari segala mudarat.