KelabMama

Bengkak Susu Menyebabkan Demam!

Bengkak susu merupakan komplikasi yang tidak diingini berlaku kepada ibu yang menyusukan bayi. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang proses menyusukan bayi.

Secara umumnya 10 peratus ibu yang menyusu badan mengalami komplikasi ini.

Pada minggu pertama selepas bersalin, anda mungkin dapati payudara sangat membengkak, sakit, berdenyut, membonjol serta terasa penuh dan tidak selesa. Kadangkala bengkak itu dirasai hingga ke bawah ketiak.

Ada pula yang mengalami demam akibat tidak dapat menahan kesakitan payudara yang membengkak atau lebih dikenali sebagai bengkak susu.

Namun, bukan semua ibu mengalami bengkak payudara. Sesetengah wanita mendapati payudara mereka hanya menjadi lebih penuh sedikit dan ada juga yang berasa ia membesar daripada biasa serta keras.

PUNCA BENGKAK SUSU

Kebanyakannya bermula beberapa minggu selepas bersalin terutamanya bulan pertama dan kedua ataupun selepas bayi mula tumbuh gigi.

Ia disebabkan gangguan pengaliran susu daripada sel buah dada ke puting susu menyebabkan berlaku radang seterusnya membengkak.

Gambar: stock.adobe

Selain itu ia boleh disebabkah jangkitan kuman berpunca daripada luka atau rekahan kulit pada payudara ibu yang menyusu.

Kedudukan mulut bayi dan juga puting susu payudara yang salah juga menyebabkan sakit ketika menyusu bayi seterusnya merencatkan rembesan hormon penghasilan susu selain mengganggu pergerakan susu untuk keluar.

Selain itu, penggunaan baju dalam yang ketat dan tidak sesuai mengganggu pergerakan susu dan ada kalanya menyebabkan luka atau rekahan pada payudara.

Rekahan atau luka payudara akibat kecederaan, penggunaan baju dalam yang tidak sesuai atau luka akibat digigit oleh bayi yang menyusu boleh menyebabkan jangkitan kulit dan kawasan berhampiran memasuki tisu payudara seterusnya menyebabkan jangkitan berlaku.

RAWATAN

Tiada ujian khas untuk mengesahkan radang atau bengkak susu badan ini. Simptom dan pemeriksaan klinikal sudah mencukupi.

Akan tetapi, ujian darah boleh dijalankan untuk menentukan rawatan sama ada pesakit memerlukan pengambilan antibiotik atau tidak. Ini kerana tidak semua radang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Ujian ultrasound payudara dapat membantu sama ada pembentukan nanah sudah berlaku ataupun tidak akibat komplikasi radang itu.

ADA KAEDAH MUDAH YANG BOLEH DILAKUKAN DALAM KEADAAN TENANG!

Gambar: stock.adobe

(KAEDAH 1)

Apabila ibu mula sedar payudara membesar atau membengkak dalam situasi kurang selesa, ambil ibu jari tekan secara lembut pada sekitar payudara yang mempunyai ketulan kecil.

Buat tekanan lembut secara putaran mengikut arah lawan pusingan jam. Lakukan berulang kali sehingga ibu berasa selesa dan ketulan susu semakin mengecil atau berkurangan.

Kaedah ini boleh membantu menyelesaikan masalah bengkak susu pada peringkat awal jika dilakukan berulang kali dan tidak berputus asa.

(KAEDAH 2)

Letakkan lima jari di bahagian payudara berwarna coklat dan cuba tekan dengan kuat secara cepat sebelum dilepaskan. Sekurang-kurangnya, ulang sebanyak lima kali.

Jika ibu rasa sakit, berhentilah seketika dan ulang semula kaedah berkenaan. Biasanya, jika kaedah berkenaan dilakukan, susu akan keluar dengan perlahan dan boleh simpan di dalam bekas yang bersih.

Selepas berasa selesa dan kurang sakit, barulah ibu boleh memerah menggunakan tangan atau pam susu. Susu yang diperah boleh diberi terus kepada bayi atau disimpan ke dalam peti sejuk.

Namun, sebelum melakukan sebarang kaedah yang disarankan anda diingatkan supaya tangan perlu dibersihkan terlebih dulu bagi mengelak kotoran melekat pada payudara.

CEGAH SEBELUM TERKENA

Gunakan pam susu jika di pejabat atau ketika bayi tidak menyusu terutamanya bagi mereka yang mempunyai bayi bermasalah yang tidak dapat menyusu badan.

Ini dapat mengelakkan susu daripada berkumpul dan menyebabkan saluran tersumbat. Komplikasi tidak diingini yang boleh berlaku ialah pembentukan nanah. Ini terutamanya bagi mastitis yang disebabkan rekahan atau kulit payudara terluka.

Gambar: stock.adobe

Sakit menjadi semakin teruk, payudara membengkak dan pesakit mula mengalami demam panas. Rawatan pemberian suntikan antibiotik perlu dimulakan segera. Adakalanya pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan nanah itu.

Sila kunjungi laman web kelabmama.com untuk mengetahui banyak lagi isu-isu mengenai kehamilan, keluarga dan kepentingan mama.

Sumber: Harian Metro

  1. Berapa Lamakah Bengkak Susu akan Berlanjut?

    Mujurlah, masalah payudara bengkak selalunya berlalu dengan agak cepat. Anda boleh menjangkakan ia akan berakhir dalam masa 24 hingga 48 jam, dan menyusukan bayi anda dengan kerap dan efisien patut membantu lagi.

  2. Adakah Bengkak Susu akan Memberi Kesan pada Bayi Saya?

    Tidak. Tetapi ia mungkin membuatkan anda mahu menyusukannya sebanyak dan sekerap yang boleh.

  3. Apakah sebabnya payudara bengkak dan sakit?

    Antara dua hingga enam hari selepas bersalin, susu badan terhasil dengan banyaknya untuk memenuhi keperluan bayi anda. Pada masa yang sama, lebih banyak darah mengalir ke buah dada dan sesetengah tisu disekelilingnya akan membengkak. Akibatnya? Payudara yang penuh dan bengkak.