Kaedah rawatan bekam, yang wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun, semakin diyakini terutama di negara-negara Islam sebagai kaedah perubatan yang dikatakan dapat membantu menyembuhkan penyakit terutama yang kronik. Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit. Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya. Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.
TOKSIN PUNCA PENYAKIT?
- Daripada kajian-kajian perubatan, penyakit yang singgah dalam tubuh individu itu berpunca daripada toksin. Ia diumpamakan seperti sampah yang menyebabkan tiga pembuluh darah iaitu ateri, vena dan kapilari menjadi sempit dan lemah hingga tidak mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna. Ketiga-tiga pembuluh darah ini jika disambungkan akan menjadi sepanjang 96 kilometer. Perlu dibersihkan bagi membolehkan ia mengalir dengan lancar. Apabila darah tidak dapat mengalir dengan sempurna, ia tidak dapat menghantar oksigen dan pemakanan yang diperlukan ke seluruh organ-organ tubuh.
- Semakin banyak toksin dalam badan, oksigen akan bertambah kurang. Ini menyebabkan orang yang sakit akan bertambah-tambah sakit sekiranya sel-sel dalam badan tidak mendapat nutrien dan oksigen yang cukup. Apa yang membezakan setiap pesakit ialah tempat-tempat toksin itu berkumpul hingga menyebabkan pelbagai penyakit datang seperti gout, kencing manis, jantung, darah tinggi dan buah pinggang. Jika toksin banyak berkumpul di kepala, sakit kepala mudah datang, akan cepat mengantuk, tumpuan akan hilang, susah untuk tidur dan pelupa hingga menyebabkan darah tinggi dan akhirnya strok.
- Cara untuk membuang toksin ini dengan cara membuang darah kotor yang terkumpul. Semakin banyak darah kotor yang dibuang semakin lancar dan bersih darah yang tinggal dan penghantaran oksigen dan pemakanan dalam tubuh akan berjalan lancar.
PUNCA TOKSIN
- Ramai yang menyatakan toksin dalam badan diperoleh melalui pemakanan dan minuman. Ia mungkin satu daripada puncanya. Namun punca sebenar toksin terkumpul dalam tubuh kerana terganggunya sistem buah pinggang dan hati yang bertindak sebagai penapis terbaik di dunia.
- Buah pinggang yang sihat bekerja sebagai penapis darah daripada segala kekotoran yang akan dikeluarkan melalui air kencing, manakala hati pula bertindak sebagai penapis bahan-bahan kimia yang masuk ke dalam tubuh badan.
- Apabila seseorang itu alami penyakit kronik, fungsi hati dan buah pinggang yang akan terganggu terlebih dahulu. Tidak akan berlakunya penyakit kronik kepada diri individu sebelum menurunnya fungsi kedua-dua organ ini. Selama buah pinggang dan hati seseorang itu sihat, dia akan sihat. Cara perubatan dan penyembuhannya ialah dengan menyihatkan kedua-duanya kerana selagi organ utama ini tidak sihat, penyakit dihadapi tidak akan sembuh.
KELEBIHAN BERBEKAM
- Melegakan pening kepala dan menyembuhkan migrain.
- Membantu melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
- Memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
- Memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
- Membantu mencegah kebas kaki dan meredakan serangan angin ahmar.
- Dengan mengeluarkan darah toksik dapat melancarkan peredaran darah.
- Membantu meringankan tubuh.
- Merawat mata dan menajamkan penglihatan.
- Selain itu berbekam juga dapat menyembuhkan berbagai lagi penyakit, antaranya darah tinggi, jantung, kolesterol, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan, haid tidak teratur, gaut, elephantiasis (kaki gajah), pendarah otak dan buah pinggang.
JENIS-JENIS BEKAM
- Bekam kering atau bekam angin iaitu menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksid. Biasanya, orang yang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga hari.
- Bekam basah dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksid dikeluarkan menggunakan alat khas bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksid ia memakan masa antara tiga hingga lima minit bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu. Darah toksid dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihatkan tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.
WAKTU BERBEKAM
Pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa waktu.berbekam paling baik dilakukan ialah ketika pertengahan bulan kerana ketika itu, darah toksid berhimpun. Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit. Mereka yang berbekam dinasihati tidak mengambil makanan berat dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum berbekam atau lebih baik berpuasa sebelum berbekam.
LARANGAN BEKAM
Terdapat beberapa patang larang bagi sesetengah orang untuk melakukan rawatan bekam kerana dikuatiri memudaratkan kesihatan. Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, mengalami masalah kulit serius, pengidap leukimia, pengidap diadetes yang serius serta mereka yang dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang adalah dilarang dari melakukan rawatan ini.
ANGGOTA BADAN YANG TIDAK BOLEH DIBEKAM
Antara anggota badan yang tidak boleh dibekam termasuklah mata, telinga, hidung, puting susu, alat kelamin, dubur, bahagian-bahagian badan yang dekat dengan pembuluh darah dan bahagian-bahagian badan yang terdapat tumor, retak tulang serta jaringan luka.
Sumber: Utusan