Rasa perit, tidak selesa, sakit ketika menelan air liur dan mengunyah, sakit di bahagian telinga dan leher serta ada kalanya menyebabkan sakit kepala akibat bengkak yang berlaku di belakang telinga sehingga ke dagu. Itu antara kesakitan yang terpaksa ditanggung pesakit yang dijangkiti beguk (mumps) yang disebabkan oleh kuman paramyxoviridae daripada virus genus rubula yang lazimnya menyerang di bahagian kelenjar air liur terutama kelenjar parotid. Biasanya beguk menyerang golongan dewasa, namun kanak-kanak juga tidak terlepas dari serangan virus tersebut akibat jangkitan daripada orang dewasa sama ada melalui sentuhan, batuk atau bersin mahupun percikan air liur penghidap.
Pun begitu, sejak vaksin diperkenalkan, kanak-kanak kurang berisiko dijangkiti beguk, namun kegagalan mereka mendapat suntikan ulangan vaksin pencegahan jangkitan itu menyebabkan mereka mudah dijangkiti virus berkenaan apabila meningkat usia. Beguk bukanlah satu virus yang berbahaya kepada mereka, namun memberi rasa tidak selesa kepada kanak-kanak terutamanya boleh menyebabkan selera makan mereka berkurangan. Ini kerana katanya, keadaan itu boleh berlaku apabila jangkitan virus berkenaan menyebabkan mereka sukar untuk mengunyah makanan akibat bengkak di bahagian leher dan telinga selain daripada sukar menelan makanan.
- Mereka yang kena beguk, sebenarnya telah dijangkiti virus tersebut sekitar seminggu sebelum bengkak di leher kelihatan lazimnya sekitar 10 hingga 12 hari.
- Bagi mengelakkan kesakitan yang lebih teruk, elakkan memberi makan makanan yang masam atau yang keras. Beri makanan lembut seperti bubur atau mi sup kerana lebih mudah ditelan.
- Biasanya untuk tempoh tertentu, pendengaran kanak-kanak yang dijangkiti beguk akan mengalami masalah, namun biasanya selepas beguk hilang, pendengaran akan kembali pulih. Namun, jika beguk menyerang orang dewasa, penghidap perlu lebih berhati-hati kerana beguk boleh menyebabkan beberapa masalah lain seperti meningitis (radang lapisan otak), pankreatitis (radang pankreas), orkitis (radang testis) dan ensefalitis (radang otak).
- Ibu yang menyusukan bayi juga boleh memberi jangkitan beguk kepada bayi, iaitu melalui percikan air liur atau kurangnya penjagaan kebersihan ketika menguruskan bayi berkenaan. Oleh itu, mereka dinasihatkan agar memakai penutup mulut dan hidung ketika menyusukan anak bagi mengelakkan risiko beguk menjangkiti anak mereka.
- Beguk memang tidak kelihatan berbahaya, tetapi kanak-kanak yang diserang beguk boleh menyebabkan mereka menjadi lemah, malah terpaksa menahan kesakitan yang sama seperti ditanggung oleh orang dewasa. Justeru, ibu bapa tidak boleh mengambil mudah tentang masalah beguk kerana dibimbangkan membawa kepada masalah lain
TANDA & GEJALA BEGUK
Antara tanda-tanda mereka telah diserang termasuklah sakit kepala, hilang selera makan, letih dan demam. Ibu bapa yang menyedari anak-anak mereka mempunyai tanda seperti ini perlu bawa anak mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera selain perlu mengasingkan mereka agar virus itu tidak berjangkit dengan orang lain.
- Demam.
- Sakit kepala.
- Mulut kering dan hilang selera.
- Keletihan.
- Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid.
- Gejala ini biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.
KOMPLIKASI AKIBAT BEGUK
- Encephalitis (Pembengkakan pada otak).
- Meningitis (Pembengkakan pada lapisan otak).
- Pancreatitis (Inflamasi pada pankreas).
- Orchitis (Lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa.
- Pekak.
RAWATAN
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan:
- Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit.
- Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid.
- Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.
- Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang.
- Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps, measles and rubella). Ianya sangat berkesan untuk mencegah beguk ini.
Sumber: www.myhealth.gov.my