KelabMama

Bayi Tidak Berak. Mama Jangan Terus Panik!

Dah lima hari bayi tidak berak dan mula meragam. Tidak tahu apa puncanya.  Selera menyusu macam biasa je, tidurnya pun tak terganggu, tapi dah hampir seminggu dia tidak berak. Hati mama yang tidak keruan dibuatnya. 

Mesti mama tertanya-tanya apa yang menyebabkan bayi tidak berak berhari-hari lamanya kan? Pasti ada sebabnya.

Apakah Punca Bayi Tidak Berak?

Sebenarnya, jika si manja tidak berak berhari-hari lamanya, bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Punca utama bayi tidak berak boleh dipastikan melalui cara penyusuan bayi itu sendiri. 

Jika bayi mama memang menyusu badan sepenuhnya, masalah tidak berak ini adalah normal. Susu badan mempunyai nutrien yang lengkap yang diperlukan untuk bayi. Kebanyakan nutrien ini diserap oleh badan bayi dan ini menyebab bahan buangan yang dihasilkan tidak seperti bayi yang mengambil susu formula.  Jadi, mama tidak perlu risau jika tidak berak berhari-hari lamanya. 

Sebaliknya, jika bayi mama dah mula mengambil susu formula atau dah mengambil makanan pejal, mungkin si manja mama ada potensi untuk kena sembelit apabila tidak berak berhari-hari. Mama boleh membantu si manja apabila dia kelihatan resah dan tidak selesa selepas beberapa hari tidak berak.

Bila Mama Perlu Risau Jika Bayi Tidak Berak?

Bayi yang baru lahir selalunya akan berak selepas menyusu, sekurang-kurangnya 6 kali sehari. Ini kerana usus bayi masih berkembang pada awal usia kelahiran dan mampu berfungsi dengan baik. 

Namun begitu, dalam lingkungan usia 2 bulan ke atas, ususnya berkembang dan menjadi lebih matang dan bahagian badan pencernaannya juga dah mampu menyerap lebih nutrien. Ini menyebabkan waktu bayi membuang najis juga menjadi lebih lama daripada sebelumnya. Selalunya, bayi mampu mengadaptasi dengan perubahan ini dan ia bukanlah masalah besar.  

Selain daripada faktor nak membesar, bayi juga boleh menghadapi masalah tidak berak kerana susu formula yang diambilnya. Susu formula daripada sumber lembu cenderung untuk membuatkan bayi sembelit tetapi khasiat kalsium dan vitamin yang ada pada susu lembu baik untuk bayi. 

Walaupun kebanyakan masalah susah berak ini boleh diadaptasi oleh kebanyakan bayi, mama juga haruslah sentiasa peka dengan keadaan bayi. Jika bayi ada menunjukkan tanda-tanda seperti berikut, mungkin mama perlu dapatkan nasihat pakar:

  1. Si manja tidak selesa dan menangis semasa membuang air besar
  2. Najisnya keras dan kehitaman
  3. Ada tompokan darah pada najis si manja
  4. Si manja tidak berak lebih daripada 10 hari 
  5. Suhu badan si manja meningkat dan muntah-muntah
  6. Abdomennya kembung dan mengeras
  7. Tak kentut dan sentiasa muntahkan susu yang mama bagi
  8. Tak aktif dan lembik

Tips Sekiranya Bayi Tidak Berak

Mungkin ada diantara mama yang percaya memberi si manja air dapat membantu bayi dalam membuang air besar. Sebenarnya, ini adalah tidak benar. Malah dengan memberi air berlebihan tanpa arahan dari pakar akan memberi mudarat kepada bayi. 

Susu ibu dan susu formula mengandungi kandungan natrium, klorida, potasium dan elektrolit yang mencukupi untuk bayi. Dengan memberikan air berlebihan kepada bayi akan melarutkan kandungan garam dan elektrolit yang diperlukan. Ini membuatkan bayi tidak mendapat nutrien yang mencukupi dan akan memaksa ginjal bayi untuk bekerja dengan lebih keras daripada sepatutnya.

Kalau mama nak bantu memudahkan si manja untuk berak, mama mungkin boleh cuba tukarkan susu formula yang lain dan lebih sesuai untuk bayi mama. Tapi bagi mama yang masih menyusu badan, mama tidak perlu risau dan berhenti menyusu serta-merta. Jangan risau ye mama. Kalau si manja dapat susu badan yang secukupnya pasti ia akan dapat memberi lagi banyak manfaat kepada si manja kesayangan. 

Untuk yang menyusu botol pula, mama boleh tambahkan sedikit jus buah prun atau buah pir ke dalam susu formula bayi mama. Jika bayi berumur lebih daripada 6 bulan, mama boleh mencairkan sedikit kandungan susu formula bayi, setelah mendapat nasihat pakar. 

Mama juga boleh urut bahagian perut bayi sambil menyapu losen badan atau menggerak-gerakkan kaki dan paha si manja seperti mengayuh basikal bagi melancarkan pergerakan usus dan punggung si manja.

Jangan risau, Mama!

Jadi jika si manja mama dah berhari-hari tidak berak, mama tidak perlu panik dan terus bawa ke hospital untuk dirawat. Pantau dulu keadaan si manja dan teruskan menyusu. Susu badan adalah susu terbaik untuk si manja. Begitu juga susu formula. Asalkan ia sesuai dengan si manja mama dan tidak mengganggu sistem penghadamannya. Pasti ada penawar yang mama boleh cuba. Tapi jika si manja mama ada tanda-tanda seperti di atas, jangan tunggu lama-lama pula. Terus dapatkan rawatan ya!

Semoga bermanfaat!

Pesan Mama Siti

Bayi kecil tidak selalu berak itu perkara biasa. Terutamanya kalau masih menyusu badan. Tapi kalau anak dah boleh makan dan juga minum susu Formula, berkemungkinan anak mama sembelit. Llihat abdomennya kembung dan mengeras, dia tidak kentut dan sentiasa muntahkan kembali susu yang mama bagi, dia meragam dan menangis je sentiasa atau jadi kurang aktif/lembik daripada biasa, maka bawalah si manja mama ke klinik untuk pemeriksaan doktor ya!