KelabMama

Kematian Bayi Sembilan Bulan di Manjung Tiada Unsur Dera

firas

Pada 28 Januari yang lalu, seorang bayi lelaki yang berusia sembilan bulan maut dipercayai didera pengasuh. Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.49 petang selepas dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) Ipoh pada Isnin.

Mangsa Dalam Keadaan Lemah 

Berdasarkan laporan Astro Awani, ibu kepada bayi tersebut, Puan Nur Aziemah Zahari, berkata beliau menerima panggilan telefon dari kakaknya yang juga jiran kepada pengasuh itu kira-kira jam 10:30 pagi, Jumaat lepas. Sebaik tiba di rumah pengasuh, beliau mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Mangsa terus dibawa ke Hospital Seri Manjung sebelum dipindahkan ke HRPB pada hari yang sama kerana keadaan anaknya yang semakin kritikal.

Susulan itu dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung dan Balai Polis Sungai Senam.

Tiada Sebarang Kecederaan 

Namun begitu, hasil bedah siasat terkini mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur penderaan fizikal ke atas mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar telah dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan tidak sihat. Bayi tersebut dikatakan telah demam selama tiga hari.

Dalam jagaan pengasuh, bayi itu telah tidak sedarkan diri. Tindakan serta merta telah diambil oleh pengasuh dan ibunya dengan membawa bayi itu ke Hospital Seri Manjung. Namun keadaan bayi itu agak kritikal dan pihak Hospital Manjung telah segera merujuk serta menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),

ujarnya dalam satu kenyataan.

Siasatan akan Diteruskan

Beliau bagaimanapun berkata siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.