Pasti ramai Mama Papa yang baru menimang cahaya mata akan risau bila si manja mula menunjukkan tanda-tanda tak sihat seperti selesema. Apakah punca bayi selesema? Patutkah Mama dan Papa risau?
Pakar kanak-kanak menyimpulkan bahawa seorang bayi akan mendapat selesema sebanyak 8 hingga 10 kali sepanjang proses mereka membesar dan ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana kebiasaannya ia tak serius.
Jadi, macam mana kita nak ketahui punca bayi selesema dan cara untuk merawatnya?
Punca Bayi Selesema
Bayi mendapat selesema kerana sistem imun mereka belum bersedia untuk melawan 100 atau lebih virus yang menyebabkan jangkitan ini.
Virus selesema merebak ke udara ketika seseorang yang sakit batuk atau bersin. Ia juga boleh mendarat di permukaan seperti alat mainan, lantai, dan perabot.
Apabila bayi menyentuh permukaan-permukaan ini dan kemudian memasukkan tangan ke dalam mulut mereka – yang juga sering kali mereka lakukan – mereka sebenarnya memberi peluang untuk virus selesema mengjangkiti mereka.
Bayi juga sering mendapat selesema dari tempat jagaan harian. Atau mereka berjangkit dari kakak atau abang yang membawa virus pulang dari sekolah – atau orang dewasa yang berdekatan dengan mereka.
Gejala Bayi Selesema
Bayi mula menunjukkan simptom selesema sekitar 1 hingga 3 hari selepas mereka dijangkiti. Gejala pada si manja boleh merangkumi:
- Hidung tersumbat
- Hidung berair, yang semestinya jelas pada mulanya tetapi boleh berubah menjadi kuning atau hijau
- Bersin
- Batuk
- Keletihan
- Selera makan berkurang
- Masalah tidur
- Demam
- Muntah, cirit-birit
Selesema tidak perlu dirawat. Ia biasanya pulih selepas beberapa hari. Antibiotik tidak akan berfungsi kerana ia hanya membunuh bakteria, dan dalam keadaan ini, virus yang harus ‘dipersalahkan’.
5 Petua Hilangkan Selesema
Namun begitu, Mama mana yang tak risau, betul tak? Untuk membantu si manja Mama berasa lebih baik, biarkan mereka berehat dan Mama boleh cuba salah satu petua hilangkan selesema ini:
1) Bagi minum dengan kerap
Untuk bayi yang berusia di bawah usia 6 bulan, Mama boleh terus menyusu dan pastikan sumber makanan Mama mempunyai nutrisi penting seperti buah-buahan yang kaya dengan vitamin C agar boleh disalurkan kepada si manja melalui susu Mama.
Jika anak Mama sudah berusia 6 bulan dan ke atas, Mama boleh berikan air dan jus buah semula jadi (tanpa gula). Ini adalah untuk mengelakkan si manja daripada dehidrasi dan mengekalkan hidung dan mulutnya lembap.
2) Ubat titisan (saline drops)
Untuk membuang hingus si manja, Mama boleh gunakan penyedut hingus khas untuk bayi dan kemudian, titiskan beberapa saline drops atau air garam ke dalam hidungnya untuk membantu membersihkan saluran pernafasan si manja.
3) Hidupkan pelembap (humidifier)
Humidifier (cool-mist) akan menambahkan kelembapan ke udara dan menjaga hidung bayi Mama supaya tak kering. Basuh mesin humidifier selepas setiap penggunaan untuk mengelakkan pengumpulan bakteria.
4) Berikan madu
Petua ini sesuai untuk si kecil yang berusia 1 tahun dan ke atas.
Madu merupakan antibiotik yang kuat dan ia lebih baik daripada ubat batuk yang dibeli di farmasi.
Ia dapat mengurangkan batuk, selesema, dan sakit tekak. Mama boleh berikan setengah sudu besar cairan madu yang dicampurkan ke dalam segelas air sebelum anak Mama masuk tidur. Lakukan untuk beberapa malam sehingga selesemanya berkurangan.
Langkah Pencegahan Jika Bayi Selesema
Mungkin agak sukar untuk Mama dan Papa mencegah virus selesema ini, terutamanya pada musim hujan.
Apa yang Mama Papa boleh cuba adalah dengan mengurangkan risiko bayi jatuh sakit dengan langkah-langkah berikut:
- Minta sesiapa yang sakit untuk menjauhkan diri dari rumah Mama.
- Jauhkan bayi Mama dari tempat yang sesak di mana terdapat banyak kuman.
- Basuh tangan Mama dengan kerap. Minta sesiapa yang memegang bayi Mama untuk sentiasa mencuci tangan mereka juga.
- Bersihkan mainan bayi dengan kerap, dengan menggunakan sabun dan air.
- Jangan biarkan orang lain menggunakan cawan, perkakas, atau tuala bayi Mama.
- Beritahu anak-anak yang lebih tua untuk batuk atau bersin ke tisu atau sikunya, bukannya ke udara.
- Jangan biarkan orang merokok dekat dengan anak Mama. Asap rokok boleh menjadikan bayi Mama lebih mudah jatuh sakit.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk Mama dan jangan lupa untuk berjumpa dengan doktor jika selesema bayi makin teruk ataupun berpanjangan.
BACA JUGA CARA HILANGKAN KAHAK BAYI DENGAN 10 PETUA MUDAH
Pesan Mama Siti
Bayi kena selesema itu perkara biasa tapi kalau ia berpanjangan dan makin teruk teruslah dapatkan rawatan doktor. Jangan biarkan baik sendiri pula ya.