Bayi pramatang ataupun kelahiran pramatang merupakan kelahiran bayi yang berlaku tiga minggu sebelum anggaran tarikh lahir bayi yang sebenar iaitu terjadi pada minggu ke-37 kehamilan.
Kebiasaannya, bayi yang dilahirkan secara pramatang akan mempunyai masalah perubatan dan komplikasinya adalah berbeza-beza kepada setiap bayi.
Risiko komplikasi akan lebih tinggi jiika bayi Mama dilahirkan lebih awal lagi daripada minggu ke-37 kehamilan. Antara kategori pramatang adalah seperti berikut:
- Pramatang lewat iaitu lahir antara 34 dan 36 minggu lengkap kehamilan
- Sederhana pramatang iaitu lahir antara 32 dan 34 minggu kehamilan
- Sangat pramatang iaitu lahir kurang dari 32 minggu kehamilan
- Sangat pramatang iaitu lahir pada atau sebelum 25 minggu kehamilan
- Kebanyakan kelahiran pramatang berlaku pada peringkat akhir pramatang
Simptom Bayi Pramatang
Untuk makluman Mama, terdapat beberapa tanda atau simptom yang menunjukkan kelahiran pramatang iaitu:
- Tubuh yang beraiz kecil dengan kepala yang tidak seimbang
- Tubuh yang kurus kerana kekurangan simpanan lemak
- Rambut halus (lanugo) masih menutupi sebahagian besar tubuh bayi
- Suhu badan yang rendah terutamanya selepas kelahiran di bilik bersalin
- Sesak nafas atau sukar untuk bernafas
- Kekurangan refleks untuk menghisap dan juga menelan susu
Penjagaan Khas Bayi Pramatang
Mama perlu tahu bahawa sekiranya bayi dilahirkan secara pramatang, bayi Mama memerlukan penjagaan dan pemantauan yang rapi di hospital. Bergantung kepada tahap komplikasi yang dialami bayi, jika komplikasinya adalah teruk bayi Mama akan dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU).
Segala keperluan perubatan akan dibekalkan kepada bayi Mama dan doktor akan memantau keadaannya sehinggalah bayi Mama sihat dan mencapai berat badan ideal seperti bayi normal yang lain dan mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.
Pada masa ini, doktor akan menerangkan dengan lebih jelas dan terperinci apakah yang patut dan tidak patut Mama lakukan semasa menjaga bayi pramatang Mama.
Faktor-faktor Risiko
Sehingga sekarang, punca terjadinya kelahiran pramatang ini tidak dapat diterangkan dengan jelas. Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang diketahui iaitu:
- Mempunyai kelahiran pramatang sebelum ini
- Kehamilan dengan kembar, kembar tiga atau gandaan lain
- Selang kurang daripada enam bulan antara kehamilan
- Mengandung melalui persenyawaan in vitro
- Masalah dengan rahim, serviks atau plasenta
- Menghisap rokok atau menggunakan dadah terlarang
- Sesetengah jangkitan, terutamanya cecair amniotik dan saluran kemaluan bawah
- Beberapa keadaan kronik, seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis
- Kurang berat badan atau berat badan berlebihan sebelum hamil
- Tekanan emosi seperti kematian orang yang disayangi atau keganasan rumah tangga
- Banyak keguguran atau pengguguran
- Kecederaan fizikal atau trauma
- Wanita kulit hitam mempunyai risiko tinggi mengalami kelahiran pramatang berbanding wanita dari kaum lain. Namun begitu, kelahiran pramatang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Malah, ramai di kalangan wanita yang mempunyai kelahiran pramatang tidak mempunyai faktor risiko yang diketahui oleh pakar perubatan
Komplikasi Jangka Pendek
Perlu diingat bahawa tidak semua bayi pramatang akan mengalami komplikasi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa komplikasi di mana akan menyebabkan masalah kesihatan jangka pendek dan juga untuk jangka panjang.
Ada sesetengah masalah dapat diketahui pada awal kelahiran, tetapi ada juga yang diketahui pada kemudian hari. Kebiasaannya bagi bayi pramatang, mereka akan menghadapi komplikasi jangka pendek pada minggu pertama iaitu:
#1. Masalah Paru-paru Tidak Berkembang
Bayi pramatang mungkin mengalami masalah bernafas kerana sistem pernafasan yang tidak matang di mana paru-paru bayi kekurangan surfaktan iaitu bahan yang membolehkan paru-paru untuk mengembang dengan baik dan normal.
#2. Bayi Pramatang Mengalami Masalah Gangguan Paru-paru
Mengalami gangguan paru-paru yang dikenali sebagai displasia bronkopulmonari. Malah, ada juga sesetengah bayi pramatang mungkin mengalami nafas berhenti yang berpanjangan dalam pernafasan mereka, yang turut dikenali sebagai apnea.
#3. Bayi Pramatang Mengalami Masalah Jantung
Masalah jantung merupakan penyakit paling biasa yang akan dialami bayi pramatang ialah patent ductus arteriosus (PDA) dan tekanan darah rendah (hipotensi). PDA ialah pembukaan berterusan di antara aorta dan arteri pulmonari.
Kecacatan pada jantung ini akan tertutup dengan sendirinya dan jika ia tidak dirawat ia boleh menyebabkan murmur jantung, kegagalan jantung serta komplikasi lain.
#4. Bayi Pramatang Mengalami Masalah Tekanan Darah Rendah
Tekanan darah rendah mungkin memerlukan pelarasan dalam cecair intravena, ubat-ubatan dan kadangkala pemindahan darah.
#5. Bayi Pramatang Mengalami Masalah Pendarahan Otak
Untuk makluman Mama, jika lebih awal bayi Mama dilahirkan, maka lebih besar risikonya untuk mengalami pendarahan di otak di mana ia dikenali sebagai pendarahan intraventrikular.
Kebanyakan pendarahan ini adalah ringan dan ia akan hilang dalam tempoh jangka masa pendek.
Walau bagaimanapun, bagi sesetengah bayi yang lain, mereka mungkin akan mengalami pendarahan otak yang lebih besar di mana ia akan menyebabkan kecederaan pada otak adalah bersifat kekal.
#6. Masalah Hipotermia
Bayi pramatang boleh kehilangan haba badan mereka dengan cepat disebabkan tidak mempunyai simpanan lemak badan.
Oleh hal yang demikian, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan tidak dapat menjana haba yang mencukupi untuk mengatasi apa yang hilang melalui permukaan badan mereka di mana menyebabkan mereka mudah terdedah kepada Hipotermia.
Hipotermia pada bayi tidak cukup bulan boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah pernafasan serta paras gula darah rendah.
#7. Masalah Pada Sistem Gastrousus
Bayi pramatang juga berkemungkinan akan mempunyai masalah pada sistem gastrousus mereka yang masih lagu tidak matang, di mana ia akan mengakibatkan komplikasi seperti necrotizing enterocolitis (NEC).
Keadaan serius ini adalah keadaan sel-sel yang melapisi dinding usus tercedera dan ia boleh berlaku pada bayi tidak cukup bulan selepas mereka mula menyusu.
Walau bagaimanapun, bagi bayi pramatang yang hanya menerima susu ibu, mereka mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat NEC.
#8. Masalah Anemia Dan Jaundis
Selain itu, bayi yang dilahirkan secara pramatang juga akan menghadapi masalah darah seperti anemia dan jaundis di mana ia lebih kerap berlaku pada bayi pramatang.
#9. Masalah Metabolisme badan
Bayi pramatang juga sering berhadapan dengan masalah metabolisme mereka. Sesetengah bayi pramatang mungkin akan mengalami tahap gula darah rendah yang luar biasa (hypoglycemia).
Hal ini disebabkan oleh bayi yang lahir tidak cukup bulan mempunyai simpanan glukosa yang lebih kecil berbanding bayi cukup bulan.
#10. Masalah Sistem Imun
Sistem imun yang kurang berkembang turut berlaku pada bayi yang lahir tidak cukup bulan dan boleh membawa kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi di mana jangkitan pada bayi pramatang akan merebak dengan cepat ke aliran darah, menyebabkan sepsis, jangkitan yang merebak ke aliran darah.
Komplikasi Jangka Panjang
Antara komplikasi kelahiran pramatang untuk jangka masa panjang adalah seperti berikut:
#1. Masalah Cerebral Palsy
Bayi akan menghadapi Cerebral palsy iaitu gangguan pergerakan, nada otot atau postur yang boleh disebabkan oleh jangkitan, aliran darah yang tidak mencukupi atau kecederaan pada otak bayi yang baru lahir yang sedang berkembang sama ada pada awal kehamilan atau semasa bayi masih muda dan belum matang.
#2. Masalah Pembelajaran
Bayi yang lahir tidak cukup bulan turut mengalami masalah pembelajaran dan lebih terkebelakang berbanding rakan-rakan seusianya
#3. Masalah Penglihatan
Bayi pramatang mungkin akan mengalami retinopati pramatang iaitu penyakit yang berlaku apabila saluran darah membengkak dan membesar dalam lapisan saraf sensitif cahaya di bahagian belakang mata (retina) di mana jika ia tidak dikesan, boleh menjejaskan penglihatan dan menyebabkan buta.
#4. Bayi Pramatang Mengalami Masalah Pendengaran
Bayi tidak cukup bulan turut menghadapi risiko kehilangan pendengaran.
#5. Masalah Pergigian
Bayi tidak cukup bulan yang mempunyai komplikasi teruk berisiko lebih tinggi untuk mengalami masalah pergigian, seperti kelewatan pertumbuhan gigi, perubahan warna gigi dan gigi yang tidak teratur.
#6. Masalah Tingkah Laku
Mengalami masalah tingkah laku atau psikologi tertentu, serta kelewatan dalam perkembangan.
#7. Masalah Kesihatan Kronik
Berkemungkinan untuk mengalami masalah kesihatan kronik di mana terdapat sesetengah daripadanya mungkin memerlukan penjagaan khas di hospital
#8. Kematian Secara Mengejut
Bayi tidak cukup bulan turut menghadapi peningkatan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).
Pencegahan Kelahiran Bayi Pramatang
Terdapat beberapa perkara yang boleh Mama lakukan untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko kelahiran pramatang iaitu:
Bagi Mama yang mempunyai sejarah kelahiran pramatang, serviks pendek atau kedua-duanya dengan pengambilan suplemen progesteron mampu mengurangkan risiko kelahiran pramatang.
Prosedur pembedahan pula akan dilakukan semasa kehamilan pada wanita yang mempunyai masalah serviks pendek, atau sejarah pemendekan serviks yang mengakibatkan kelahiran pramatang.
Semasa prosedur ini dilakukan, serviks akan dijahit tertutup dengan jahitan yang kuat di mana ia boleh memberikan lebih sokongan kepada rahim Mama. Jahitan ini akan ditanggalkan apabila tiba masa untuk Mama melahirkan bayi nanti.
Semoga dengan perkongsian ini Mama dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai kelahiran pramatang ini.
Dapatkan pelbagai tips kesihatan untuk wanita DI SINI.