Semalam, seorang bayi berusia sembilan bulan telah dilaporkan meninggal dunia selepas diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuhnya. Kejadian berkenaan berlaku di sebuah taska di Taman Mesra, Kupang, Baling, Kedah. Bayi malang berkenaan dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Baling setelah dia dikatakan tidak sedarkan diri selepas makan buah epal lenyek.
Makan Epal Lenyek Sebelum Tidak Sedarkan Diri
Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Fawwaz Mohd Fadlan berada di ruang dapur taska terbabit, dan diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuh. Mangsa juga dikatakan telah menangis dengan kuat kerana ingin mengikut penyelia pengasuh sebelum dia tiba-tiba tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Sharifuddin Yusof berkata, melihatkan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri, penyelia terbabit terus membawa mangsa ke Klinik Kupang. Ketika itu mangsa dilaporkan masih bernyawa sebelum dirujuk ke Hospital Baling.
Tiada Kesan Luka atau Lebam
“Bagaimanapun sebaik tiba di hospital mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan tiada kesan luka atau lebam di badan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.”
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Sharifuddin Yusof
Sementara itu, ibu mangsa, Puan Munirah Abd Rahman, 38 berkata, anak bongsunya ketika kejadian sedang makan bersama seorang lagi bayi.
Buah Epal Sudah Dilumatkan
“Epal itu sudah dipotong kecil dan dilumatkan. Tapi anak mungkin tertelan ketika mengunyah menyebabkannya tercekik. Selain arwah, saya difahamkan ada seorang lagi bayi yang disuapkan makanan sama. Saya rasa anak pengasuh itu sendiri yang sebaya anak.
Puan Munirah Abd Rahman
Pengasuh Cuba Menyelamatkan Mangsa
“Secara tiba-tiba, anak menangis dan keadaannya terus menjadi lemah. Pengasuh itu menyangka anak tercekik dan sedaya upaya mengorek isi epal berkenaan. Namun, dia tidak terjumpa apa-apa, tetapi keadaan Muhammad Fawwaz terus lemah sehingga tidak sedarkan diri.”
Puan Munirah Abd Rahman
Ujar Puan Munirah yang redha dengan ketentuan takdir,
“Pihak pengurusan taska kemudian segera menghantar Muhammad Fawwaz ke berdekatan dan dirujuk ke Hospital Baling sebelum disahkan sudah tiada,”
Puan Munirah Abd Rahman
Apa kata Mama Siti?
Innalillahiwaainnaillahirajiun…takziah Mama Siti ucapkan pada keluarga mangsa. Pesan Mama Siti, jangan sesekali tinggalkan bayi atau anak kecil Mama ketika beri mereka makan. Pastikan makanan dalam mulut habis ditelan sebelum Mama beri suapan yang seterusnya. Beri perhatian pada si kecil dan jangan hilang fokus semasa waktu makan mereka.