KelabMama

BAYI MEMPUNYAI KEMAHIRAN BERENANG SEMULAJADI. AJARLAH SI KECIL AKTIVITI INI

Berenang adalah aktiviti senaman dan sukan yang paling sihat kerana melibatkan pergerakan seluruh tubuh. Mengajar asas-asas berenang kepada bayi mampu meningkatkan stamina. Dengan berenang seluruh otot, jantung, dan paru-paru akan bekerja serentak. Banyak manfaat sekiranya ibu bapa menghantar bayi mereka belajar berenang.

MANFAAT BERENANG UNTUK SI KECIL

 

BAYI PUNYA KEUPAYAAN BERENANG SEMULAJADI

Tiada istilah masih kecil dan akan lemas kerana bayi sendiri akan tahu mengimbangi badan sebaik sahaja masuk ke dalam air. Memang orang tua dahulu tidak menggalakkan bayi didedahkan dengan air dengan alasan masih kecil, takut kembung dan sebagainya. Namun sebenarnya, pendedahan bayi kepada air adalah disyorkan seawal mungkin. Ini kerana selain mempunyai kecenderungan untuk mengingati apa sahaja yang diajar, bayi juga secara semula jadi memiliki kebolehan berenang ketika masih berada di dalam rahim ibu. Jika ibu bapa beranggapan anak kecil mereka akan lemas sekiranya bermain dalam air, tanggapan itu salah kerana mereka secara semula jadi akan menahan nafas sejurus terjun ke dalam air dan muncul semula di permukaan untuk menghirup udara.

 

KEBAIKAN BAYI BERENANG PADA USIA AWAL

Kebaikan yang paling menonjol pada bayi apabila didedahkan dengan air ialah kesediaan menghadapi rasa takut. Pada masa yang sama, bayi-bayi ini juga akan mempelajari kemahiran menahan nafas, mengimbangkan badan selain bergerak di dalam air. Berenang juga baik untuk bayi yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma. Ini kerana dengan berenang bukan sahaja mampu menguatkan otot-otot badan, bahkan menguatkan paru-paru dan jantung.

 Bagaimanapun untuk bayi yang mengalami masalah asma, mereka digalakkan berenang di kolam yang tidak menggunakan air berklorin dengan suhu air 32 darjah selsius. Ini kerana bau klorin yang kuat tidak bagus untuk paru-paru sekali gus menjadikan penyakit tersebut bertambah teruk.

 

MENGELAK KEMALANGAN LEMAS

Statistik menunjukkan 80 peratus kes lemas yang berlaku di kolam renang dalam kalangan kanak-kanak bermula di tepi kolam. Ini terjadi kerana kanak-kanak ini akan mengalami kejutan sebaik sahaja terjatuh di dalam air dan menyebabkan mereka ini akan menahan nafas seterusnya tertelan air. Jadi sekiranya kanak-kanak ini mendapat latihan berenang pada awal usia, perkara seperti ini mungkin dapat dielakkan kerana secara lazimnya mereka terus mengimbangkan badan dan segera berenang ke tangga kolam. Yang pasti, semua anak menyukai berenang dan bermain air malah berenang mampu membuatkan anak-anak gembira dan terlatih.

Apabila diperhatikan dengan teliti, memang tidak ramai orang kita yang pandai berenang. Mungkin kerana berenang bukan budaya kita untuk menghabiskan masa bersama anak-anak di kolam renang. Kita boleh habiskan masa dengan keluarga dan bermandi-manda di kawasan air terjun dan pantai. Sebenarnya berenang ini mempunyai banyak kelebihannya. Sebab itu Rasulullah SAW sangat menganjurkan tiga sukan iaitu menunggang kuda, memanah dan berenang. Walau apa-apa ilmu sekalipun, jika kita mahu mendapatkannya, kita harus belajar sama ada secara formal atau tidak formal. Sebab itu kalau kita ada kemampuan, hantarlah anak belajar berenang. Tidak payah tunggu sekolah sediakan.