Seperti yang kita tahu, banyak manfaat yang diterima bila kita minum air mineral. Antara kelebihan minum air kosong ni contohnya, dapat kuruskan badan, lancarkan sistem pencernaan dalam badan, sihatkan jantung dan sebagainya.
Tapi, boleh ke kita beri bayi minum air mineral? Takkan lah ada kesan buruk, air kosong saja pun. Ha, persoalan bayi dan air mineral ni akan dijawab dalam perkongsian dari Dr. Zubaidi Haji Ahmad. Semoga bermanfaat!
Boleh Ke Bayi Minum Air Mineral?
Ketika cuaca panas, ramai ibu mengeluh dan ada juga mengalami dehidrasi yang jelas seperti mudah haus dan kurang membuang air kecil. Mereka digalakkan untuk minum mineral dengan kuantiti yang lebih banyak terutama bagi ibu yang menyusukan anak. Tetapi adakah bayi juga perlu diberikan air mineral?
Jangan Beri Air Mineral Pada Bayi Yang Kurang 6 Bulan
Secara amnya bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan TAK BOLEH diberikan air mineral atau air kosong.
Bayi tak perlukan air mineral kerana mereka memperoleh sejumlah kuantiti air yang cukup melalui air susu yang diminum, sama ada dari susu ibu atau susu formula.
Bila mama berikan air pada bayi, ia akan:
- Ganggu kebolehan tubuh untuk menyerap nutrien dari susu ibu atau susu formula.
- Perut bayi jadi penuh dan kembung.
Mereka mungkin rasa tak selesa dan mudah menangis. Bayi juga akan hilang rasa lapar untuk minum susu. Walau bagaimanapun ibu bapa boleh memberikan sedikit air dengan menggunakan sudu jika difikirkan perlu dan ini sudah pasti tak akan jejaskan kesihatan bayi.
Bayi Alami Sawan & Koma
Dalam dalam kes yang terpencil, jarang berlaku tetapi serius, apabila bayi diberikan terlalu banyak air, bayi akan mengalami sawan dan koma akibat “keracunan air” (water intoxication).
Ini berlaku apabila air yang diberikan kepada bayi dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan kecairan pada kepekatan mineral sodium dalam tubuh, lalu berlakunya ketidakseimbangan mineral dan akhirnya tisu tubuh akan mengembang. Pengembangan tisu otak secara tiba-tiba akan menyebabkan bayi mengalami koma.
Dalam kes yang disebutkan di atas, apabila ibu bapa tambahkan air dalam bancuhan susu dalam kuantiti yang banyak dari sepatutnya, ia juga boleh menyebabkan “keracunan air”.
Nutrisi Berkurang Dengan Air Yang Berlebihan
Selain itu susu yang cair dan diminum menyebabkan bayi akan menerima nutrisi yang amat berkurangan dari sepatutnya. Oleh itu, para ibu yang menyusukan anak dengan susu formula haruslah membaca arahan bancuhan susu dan elakkan dari menambah air yang lebih dari kadar yang sepatutnya.
Walau bagaimana pun jika bayi mengalami cirit-birit, doktor mungkin menasihati ibu untuk memberikan bancuhan garam ke dalam air untuk diberikan kepada bayi untuk mengelakkan dehidrasi. Ini dibenarkan.
Tunggu Capai Umur 6 Bulan
Apabila bayi telah mencapai umur 6 bulan, tidak akan memudaratkan sekiranya mama ingin berikan sedikit air menggunakan sudu kepada bayi. Berikan sekadar yang perlu. Air yang berlebihan akan menyebabkan bayi mengalami kembung perut dan hilang selera makan.
Setelah berusia setahun, kanak-kanak dah makan makanan yang pejal dan minum susu pada kadar yang sepatutnya, jadi bolehlah mama berikan air mineral kepada anak-anak.
Sumber : Dr. Zubaidi Hj. Ahmad
BACA JUGA SI KECIL & DEHIDRASI: ADAKAH ANAK ANDA MINUM AIR YANG MENCUKUPI?
Pesan Mama Siti:
Memang betul, kalau kita dahaga atau berlaku dehidrasi, kita harus minum air mineral. Namun begitu, hal ini tak sama untuk bayi yang belum mencapai usia enam bulan ya. Sama seperti makanan pertama bayi, air mineral juga lebih elok diberikan apabila bayi mencapai usia enam bulan dan keatas. Jangan pandai-pandai ye Mama!