Seorang bayi lelaki telah ditemui di dalam mangkuk tandas wanita di Hospital Selayang, 10 Mac semalam. Bayi lelaki malang itu ditemui orang awam kira-kira jam 3 petang.
Terdengar Tangisan Bayi Lelaki Dibuang Dalam Tandas
Menurut laporan Sinar Harian, saksi, Nor Syakina Ramli, beliau yang berada di dalam tandas berkenaan, pada mulanya terdengar tangisan bayi. Dia kemudiannya keluar dari tandas pertama, namun masih mendengar tangisan bayi berkenaan.
“Saya menolak pintu tandas kedua dan terus nampak kepala bayi dalam mangkuk tandas di situ. Memang terkejut, tapi tak berani nak pergi ambil bayi itu. Masa tu panik sangat,”
Nor Syakina Ramli
Disangkakan Ibu Kepada Mangsa
Difahamkan, ketika beliau berpusing untuk keluar mendapatkan bantuan, tiba-tiba terdapat ramai orang awam yang berada di situ dan cuba untuk menahannya. Mereka menyangkakan dia adalah ibu kepada bayi lelaki tersebut.
“Tangan, lutut menggeletar tak habis lagi nampak bayi dalam tandas, tiba-tiba kena serbu pulak dengan orang awam. Memang tak tahu nak cakap macam mana perasaan masa itu. Terus saya jerit, saya bukan ibu bayi dan nak keluar dapatkan bantuan sebab bayi masih hidup. Ini kali pertama saya berdepan situasi macam ini,”
ujarnya lagi.
Difahamkan, dengan bantuan pegawai keselamatan dan jururawat-jururawat di situ, bayi lelaki dibuang di dalam mangkuk tandas tersebut dapat diselamatkan.
“Wanita bertubuh kurus, memakai baju dan tudung hijau…”
Saksi turut berkata, dia percaya seorang wanita bertubuh kurus memakai baju serta tudung hijau yang bercakap dengannya sebelum itu adalah ibu kepada bayi berkenaan.
“Masa saya masuk ke bilik air di bahagian kecemasan hospital, dua tandas yang terdapat di situ sedang digunakan. Saya bersama seorang lagi wanita sedang menunggu di luar. Lama kami tunggu, tapi tiada siapa yang keluar.”
Selepas beberapa ketika, seorang wanita kurus berusia lingkungan 30-an keluar dari tandas kedua. Saksi yang ingin masuk ke tandas tersebut ditahan oleh wanita kurus berkenaan.
“Ada barang tertinggal…”
“Dia kata sebab ada barang tertinggal, jadi saya tunggu lagi dan masih tak keluar-keluar.”
Dia kemudian masuk ke tandas pertama, dan ketika itu, wanita kurus berkenaan yang berada di tandas kedua, masih belum keluar.
“Saya percaya wanita yang kata ada barang tertinggal tu ibu kepada bayi dan barang yang dimaksudkan sebenarnnya adalah bayi malang itu,”
Seorang Wanita telah Ditahan
Dalam update terkini, seorang wanita yang berumur 20 tahun telah ditahan oleh pihak polis setelah menerima laporan saksi. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata,
“Tindakan segera saksi itu memaklumkan pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan nyawa bayi yang mahu dibuang suspek. Bayi itu kemudian disahkan oleh doktor berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan,”
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof
Suspek Enggan beri Kerjasama
Difahamkan, wanita terbabit dipercayai baharu melahirkan anaknya semalam namun siasatan lanjut akan dilakukan selepas suspek mendapatkan rawatan lanjut di hospital yang sama. Suspek kini ditahan di wad Zon Merah untuk rawatan dan dikatakan enggan memberi kerjasama ketika ditemubual oleh doktor.
“Dia hanya menangis sejak ditempatkan di wad Zon Merah,”
Semakan rekod mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.