Masalah bayi kembung atau colic bukanlah sesuatu yang baru. Ia sering menjadi punca alasan bagi bayi yang kerap menangis, selain daripada masalah lapar ataupun tidak selesa dengan lampin yang sudah basah.
Setiap ibu ayah pasti mempunyai pengalaman berbeza dalam menghadapi masalah bayi kembung ini. Ada yang boleh dikenalpasti puncanya dan cara mengatasinya, dan ada juga yang terpaksa mencuba pelbagai cara untuk melegakan si bayi.
Penyakit kembung perut yang melanda si manja tersayang boleh bermula seawal kehari pertama kelahirannya, dan berlarutan sehingga 3 hingga ke 4 bulan. Kebanyakkan waktu puncak bayi kembung ini adalah semasa usia mereka di dalam 4 hingga ke 6 minggu kelahiran.
Apakah sebabnya bayi boleh mengalami kembung perut?
Punca Bayi Kembung Perut
Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan bayi kembung. Kebanyakan punca bayi kembung perut adalah disebabkan masalah penghadaman dan ketidaksesuaian dengan pengambilan susu formula. Ada juga yang mengaitkan kembung perut dengan pemakanan ibu yang menyusu.
Ada juga kepercayaan bahawa masalah bayi kembung kerana terlalu banyak menangis hingga menyebabkan banyak udara ditelan dan terperangkap di dalam badan hingga membuatkan ia kurang selesa.
Sebenarnya, punca bayi kembung ini masih misteri. Mengikut kajian sains antara sebab bayi kembung adalah kerana:
- Sistem organ pencernaan dan penghadaman yang masih berkembang dan belum berfungsi sepenuhnya.
- Ketidakseimbangan bakteria sihat di dalam usus.
- Alahan kepada susuan/pemakanan ibu atau bayi itu sendiri.
- Menyusu terlalu banyak, atau kurang serta tidak diikuti dengan sendawa yang kerap.
- Masih belum mengadaptasi dengan kehidupan serba baru di dunia.
Bagaimanakah ibu boleh mengetahui samada bayi sedang mengalami kembung perut atau sebaliknya?
Simptom-simptom Bayi Kembung Perut
Kebanyakkan bayi yang kerap menangis adalah kerana dia berasa tidak selesa dan menangis adalah satu-satunya cara untuk dia meluahkan ketidakselesaannya itu. Ada kala bayi menangis kerana kelaparan dan ada juga yang menangis kerana kembung perut atau sebab lain.
Ibu ayah boleh memerhatikan simpton-simpton tertentu untuk memastikan punca si manja menangis. Bayi berkemungkinan menghadapi kembung perut jika:
- Tangisan yang terlalu kuat dan kerap sebagai tanda bayi berasa terlalu sakit dan tidak selesa.
- Bayi menangis tanpa sebab, melainkan tangisan sebab lapar atau tidak selesa dengan lampin yang basah.
- Sangat cerewet dan resah walaupun sesudah habis menangis.
- Sering menangis di waktu-waktu tertentu terutamanya pada waktu malam atau tengah malam.
- Perubahan warna kulit, seperti kemerah-merahan di muka atau pucat di bahagian mulut.
- Ketegangan tubuh badan seperti kaki, tangan, genggaman jari dan perut.
- Kelegaan pada bayi apabila bayi sendawa, mengeluarkan angin atau selepas buang air besar.
Apakah yang perlu ibu ayah lakukan jika bayi mengalami kembung perut?
Petua & Tips Melegakan Bayi Kembung Perut
Matlamat utama yang ibu ayah ingin dahulukan dalam membantu bayi melegakan kembung perut ialah untuk menenangkankan bayi.
Masih belum ada cara yang tetap dan pasti untuk menenangkan bayi yang menangis kerana kembung perut. Ianya berbeza-beza dari seorang bayi berbanding bayi yang lain. Ibu ayah boleh cuba cara-cara berikut untuk melegakan bayi yang kembung:
- Beri puting bayi (pacifier).
- Bawa bayi bersiar-siar di dalam kereta atau pun kereta tolak. Pergerakan kereta itu membantu melegakan pergerakan udara di dalam badan bayi.
- Dukung bayi sambil berjalan perlahan.
- Bedung dan ayunkan bayi di dalam buai.
- Mandi atau rendami badan bayi di dalam mandian air suam.
- Urut perut bayi atau belakang bayi dengan menggunakan minyak atau krim yang dibenarkan untuk bayi. Pastikan ianya selamat untuk kegunaan bayi.
- Tenangkan suasana sekeliling dengan melodi muzik yang menenangkan atau zikir puji-pujian kepada Allah SWT.
- Malapkan cahaya lampu atau kurangkan mana-mana sumber cahaya yang terang.
- Sendawakan si manja dengan betul setiap kali selepas bayi menyusu.
- Jika ibu menyusu-botolkan bayi, pastikan botol susu berada di dalam posisi tegak semasa menyusu.
- Selain daripada posisi penyusuan, jenis susu formula juga boleh membuatkan bayi kembung. Telitikan jenis susu dan ibu ayah mungkin boleh mendapatkan sampel susu dari pakar kanak-kanak bagi memilih susu yang sesuai untuk si manja.
- Ibu-ibu yang menyusu badan mungkin ini memberi perhatian pada diet pemakanan di dalam kategori alahan seperti susu lembu, telur, kekacang dan sebagainya. Minuman berkafein juga boleh menyebabkan kandungan susu badan yang terhasil membuatkan bayi kembung perut.
PENTING! Dapatkan khidmat pakar perubatan jika kembung perut bayi tidak reda sehinggakan hadir tanda-tanda seperti:
- bayi demam melebihi suhu 38°C.
- bayi kurang peka atau aktif seperti biasa.
- bayi tidak bertenaga ketika menyedut susu semasa penyusuan.
- bayi cirit-birit atau ada titisan darah pada najisnya.
- bayi turun berat atau tidak menambah sebarang berat badan.
- bayi muntah tiba-tiba (tidak batuk).
- bayi masih resah dan tidak tenang walau pelbagai cara sudah dilakukan.
Walaupun tampak seakan mudah, menyantuni dan merapi bayi yang bermasalah kembung perut ini adalah sesuatu yang remeh dan meletihkan.
Berehatlah jika perlu. Ibu ayah bergilir-gilirlah menjaga si bayi dan jika perlu, dapatkan bantuan dari kaum kerabat.
Berkongsi rasa dengan pasangan juga boleh dijadikan terapi untuk tenang dan berehat. Luahkan apa yang ibu rasa, dan jangan dipendam keletihan emosi yang melanda. Menjadi perkara biasa itu ibu berasa tidak terdaya, bersalah atau marah. Berceritalah.
Jangan membanding dan mengadili diri ibu ayah. Jangan ukur cara ibu ayah membesarkan anak dengan ibu ayah yang lain. Lain padang, lain belalangnya. Lain orang (dan bayi), lain masalahnya. Bayi kembung atau colic bukanlah kerana pengasuhan ibu ayah yang salah atau teruk, jadi jangan menghukum diri.
Jaga kesihatan, makan makanan yang sihat dan luangkan masa untuk beriadah. Ingatlah, ini semua akan berlalu dan masalah bayi kembung ini selalunya hanya sementara dan akan berlalu pergi tanpa ibu ayah sedari. Bertabahlah.