KelabMama

BAYI DALAM KEADAAN MENIARAP ATAS TILAM, BIBIR KEBIRUAN

Sesungguhnya malang tak berbau. Seorang bayi berusia sebulan ditemui meninggal dunia dalam keadaan meniarap dan bibirnya kebiruan di rumah ibu bapanya yang bertempat di Taman Nusa Bayu, dekat Gelang Patah JB kelmarin.

Tidak sedarkan diri

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian itu disedari oleh ibu dan bapa bayi itu pada 6 pagi selepas bayi berkenaan yang dikenali sebagai Aaron Hidayat Abdullah didapati tidak sedarkan diri.

“Bayi itu dijumpai dalam keadaan meniarap di atas tilam dengan keadaan bibir kebiru-biruan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah bayi itu tidur bersendirian di tingkat atas rumah itu.

Ketika kejadian, ibunya yang bekerja sebagai pemandu pelancong dikatakan baru pulang dari bekerja pada 5.30 pagi sementara bapanya, yang merupakan pemandu van sekolah, dikatakan tidur di tingkat bawah.

Cuba kejutkan mangsa

Dzulkhairi berkata ibu bayi berkenaan cuba mengejutkan mangsa berkali-kali namun tiada tindak balas dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Gelang Patah sebelum disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dan tiada kecederaan terhadap mangsa.

“Mangsa juga tidak mempunyai sebarang penyakit dan tidak menjalani apa-apa rawatan sebelum ini selain berada dalam keadaan sihat,” katanya sambil menambah kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Sesyen 3(1) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001.

Tips ‘Child Proofing’ Jamin Keselamatan Bayi dan Kanak-kanak di Rumah

  1. Letakkan peralatan elektrik seperti periuk nasi, pemanas air, cerek, seterika dan yang berkaitan di tempat tinggi yang tidak boleh dicapai oleh bayi dan kanak-kanak. Wayar elektrik yang terjuntai juga perlu diambil perhatian. Suis atau soket perlu dipastikan selamat dari dijadikan permainan oleh bayi dan kanak-kanak.
  2. Pastikan bucu-bucu meja, kerusi, dan almari ditutup agar tidak mencederakan anak-anak di rumah. Penutup bucu (edge protector) ada juga dijual di pasaran. Bayi dan kanak-kanak yang bermain masih belum faham apa itu bahaya.
  3. Pintu bilik air dan tandas hendaklah sentiasa ditutup sama ada ketika anda berada di rumah ataupun tidak. Bayi yang sedang meneroka boleh masuk dan bermain air di dalam bilik air.
  4. Anda juga boleh menggunakan penyendal bawah pintu untuk mengelakkan pintu dari tertutup dan membahayakan anak-anak. Anda juga boleh menggunakan penahan pintu (door stopper) jika bimbang jari atau tangan anak-anak tersepit.
  5. Segera bersihkan sisa makanan dan minuman yang tumpah agar anak-anak tidak mengutip semula makanan tersebut. Makanan yang telah jatuh di atas lantai bersifat kotor dan mengandungi kuman. Ini boleh mengundang penyakit jika terkena jangkitan kuman.
  6. Bahan-bahan seperti sabun, minyak angin, penyembur serangga, pembasmi kuman, racun tikus, dan lain-lain lagi merupakan antara bahan beracun yang biasanya ada di rumah. Simpan bahan-bahan ini di tempat tinggi atau tersorok seperti di dalam laci dan labelkan.
  7. Ibu bapa perlu selalu memeriksa permainan anak-anak sama ada telah pecah, tercabut skru, patah, dan koyak supaya anak-anak tidak mendapat kecederaan dari permainan yang rosak. Bahagian yang tajam setelah patah/pecah akan melukakan tubuh anak-anak. Skru yang tercabut dan span/gabus yang terkeluar akibat koyak boleh menyebabkan bayi tercekik.

Sumber : BERNAMA

BACA JUGA BAHAYA BAYI TIDUR MENIARAP. BAYI 4 BULAN MENINGGAL DUNIA DI TASKA.

Pesan Mama Siti

Bayi yang masih kecil janganlah kita biarkan tidur sendirian. Kita kena sentiasa pantau keadaan bayi. Mama Siti harap kisah ini dapat memberi peringatakan kepada mama papa untuk lebih berhati-hati supaya kejadian seperti ini tak terjadi kepada keluarga mama papa.