Masalah bayi cirit-birit bukanlah sesuatu yang luar biasa. Apatah lagi bila bayi dah mula bercampur susu formula atau dah mula makan. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang harus diambil mudah. Kalau keadaan ini berlanjutan lebih daripada 24 jam akan menyebabkan dia kehilangan banyak air dan menjadikannya lemah.
Jadi bagaimana mama hendak pastikan yang bayi mama mengalami cirit-birit?
Tanda bayi cirit-birit
Najis bayi normal berbeza mengikut cara pemakanan dan badan bayi itu sendiri. Namun, ia sentiasa konsisten kecuali jika bayi mama tak sihat dan dijangkiti kuman.
Sukar untuk kita membezakan najis bayi dengan bayi yang menghidap cirit-birit. Jika mama perhatikan kekerapan bayi meningkat dan agak cair dari kebiasaannya, mungkin ada sesuatu yang tak kena. Najis bayi juga mengandungi cairan mukus, berbau busuk dan mungkin ada sikit pendarahan. Jika keadaan tekstur najis bayi ini berlanjutan sehingga tiga atau empat kali berturut-turut, maknanya bayi mama menghidap cirit-birit.
Selain daripada itu, bayi juga akan berasa kurang selera makan dan mungkin suhu badannya juga naik.
7 Punca bayi cirit-birit
Antara puncanya adalah disebabkan perkara-perkara berikut:
#1 Perubahan dalam cara pemakanan
Bayi yang baru mula diperkenalkan dengan makanan pepejal akan mengalami perubahan pada sistem penghadamannya dan pembuangan najis. Makanan seperti telur, keju, dan kekacang boleh menyebabkan alahan makanan dan menyebabkan bayi cirit.
#2 Jangkitan kuman
Bayi yang mendapat jangkitan virus, bakteria, fungi, parasit dan kuman juga boleh mendapat cirit-birit. Bayi yang diletakkan di taska atau taman asuhan bayi mudah terdedah dengan jangkitan-jangkitan yang tersebut.
#3 Pengambilan ubat-ubatan
Bayi yang sakit dan diberi ubat juga boleh menyebabkannya cirit. Ada kalanya, suplemen vitamin yang diberi dan tak sesuai dengan bayi akan membuatkan bayi cirit-birit.
#4 Perubahan tempat
Ada masanya, perubahan tempat juga boleh menyebabkan bayi cirit. Jika kita pergi bercuti ke Tanah Tinggi Cameron contohnya, akan ada perubahan cuaca sekeliling dan menyebabkan ketidakselesaan dalam sistem badan bayi yang sensitif. Tak mustahil ia boleh menjadi punca bayi cirit-birit.
#5 Tumbuh gigi
Bila bayi mula hendak tumbuh gigi, sistem badan bayi juga akan berubah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang dialami. Adakalanya bayi cirit disebabkan perubahan ini. Bayi yang sedang mengalami pertumbuhan gigi gemar memasukkan benda-benda dan mainan ke dalam mulutnya untuk menghilangkan rasa ‘gatal’ pada gusi. Oleh kerana ini, banyak kuman dan kotoran yang akan masuk ke dalam mulut dan seterusnya ke dalam badan bayi sehingga menyebabkan bayi cirit-birit.
#6 Susu formula
Bagi bayi yang sudah bercampur susu, susu formula yang diambil juga salah satu sebabnya. Ia mungkin terjadi kerana bayi alah pada kandungan susu formula tersebut. Ada bayi yang tak sesuai dengan formula susu lembu atau sebaliknya. Adakalanya, susu formula itu sudah pun tercemar dan menyebabkan bayi cirit.
#7 Penyusuan badan
Bayi yang menyusu badan juga boleh kena atas sebab beberapa perkara. Antaranya adalah pengambilan pemakanan mama yang menyebabkan alahan kepada bayi seperti terlalu banyak kafein atau makanan bergas. Susu badan yang diperah dan disimpan tak mengikut cara dan tahap kebersihannya juga boleh membuatkan bayi cirit.
Jika bayi mama menghidapi cirit, mama haruslah bertenang. Cuba lakukan amalan-amalan berikut sebelum membawa bayi berjumpa dengan doktor.
Cara merawat bayi cirit-birit
Keadaan yang paling dirisaukan apabila bayi cirit-birit adalah masalah dehidrasi. Oleh sebab itu, mama hendaklah sentiasa memastikan kandungan air pada bayi mencukupi.
Jika keadaan cirit-birit tak begitu membimbangkan, ada beberapa langkah yang boleh mama lakukan untuk merawat dan mengurangkan keresahan bayi.
Antaranya termasuklah:
#1 Jangan berhenti menyusu, samada menyusu badan atau susu formula. Bayi yang cirit akan kehilangan banyak zat dan tenaga. Dengan meneruskan penyusuan, ia membantu badan bayi untuk pulih dan tambah bertenaga. Jika bayi diberi susu formula, mama mungkin ingin memberi lebih air kosong untuk bayi bagi menambah jumlah cecair yang hilang dari badan.
Dapatkan pengesahan doktor sebelum hendak membeli ubat dari farmasi. Pastikan ubat dan antibiotik yang diberi kepada bayi adalah atas arahan doktor.
Pastikan lampin ditukar sekerap yang mungkin. Lampin yang dibiarkan dengan najis dalam sesuatu jangka masa yang lama boleh menyebabkan jangkitan pada bayi dan membuatkan keadaan lebih buruk. Mama hendaklah sentiasa memantau kulit di punggung bayi dan pastikan ia tak terlalu kering, ruam atau kemerahan akibat cirit. Mama juga boleh menggunakan krim kulit untuk lampin yang bersesuaian sebagai pencegah kerengsaan kulit.
Pastikan individu yang terlibat dalam penjagaan bayi menjaga kebersihan semasa berurusan dengan bayi. Basuh tangan sekerap yang boleh.
Kenalpasti tanda-tanda dehidrasi dan pastikan bayi tak berada di dalam keadaan ini. Antara-antara tanda-tanda bayi terdehidrasi termasuklah:
- lebih daripada enam kali dalam masa 24 jam
- Mulut dan bibir yang kering
- Kurang air mata ketika bayi menangis
- Tak mahu menyusu dan makan
- Resah dan asyik menangis
Ia adalah masalah serius yang boleh menyebabkan masalah dehidrasi dan kehilangan berat badan pada bayi. Jika bayi mama menunjukkan perkara-perkara yang disenaraikan berikut, mungkin sudah tiba masanya untuk mama mendapatkan rawatan dan nasihat doktor pakar:
- berlanjutan sehingga melebihi 24 jam
- bayi menunjukkan simptom sampingan lain seperti demam, batuk dan selsema
- ada darah di dalam najis bayi
- bayi tak makan seperti biasa atau tak mahu makan langsung
- ada tanda-tanda bayi terdehidrasi
- bayi asyik tidur dan terlalu lemah atau kelihatan letih
Bayi yang mengalami cirit adalah sesuatu yang normal. Dianggarkan di dalam setahun, bayi akan mengalami cirit-birit sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali.
Selalunya, bayi yang menyusu badan akan kurang mendapat cirit berbanding bayi yang diberi susu formula. Ini adalah kerana, susu badan mempunyai antibodi yang membantu melawan jangkitan kuman dan melindungi bayi daripada cirit. Tambahan pula, bayi yang menyusu badan kurang terdedah dengan kuman yang mencemarkan sumber susu formula. Jadi, jika tiada apa-apa halangan dan masalah kesihatan, Mama Siti sangat menggalakkan mama menyusu badan.
Semoga bermanfaat!
Pesan Mama Siti
Apa-apapun, mama kena sentiasa beringat untuk tak mengambil mudah masalah cirit-birit yang dialami bayi. Sentiasa jaga kebersihan diri dan persekitaran supaya kesihatan bayi terjaga.