Gejala bayi cirit birit mungkin sering dipandang remeh tapi tahukah Mama ada kes di mana cirit birit telah meragut nyawa seorang anak kecil. Seram kan? Setiap yang berlaku pada anak, tak kiralah perubahan keadaan badan ataupun perubahan tekstur najis harus diambil perhatian. Ini kerana setiap perubahan tu adalah mesej dari tubuh badan anak Mama tentang keadaan kesihatan mereka.
Tapi macam mana kita nak tahu bayi kita alami cirit birit? Mama Siti pasti ramai Mama yang tertanya-tanya apa punca bayi cirit birit ni kan? Semoga perkongsian ini dapat membantu Mama.
Tanda-tanda bayi cirit birit
Tekstur najis yang cair adalah normal bagi bayi. Ini kerana ia bergantung kepada kuantiti susu yang diminum oleh bayi. Namun, bayi Mama mungkin mengalami cirit birit jika mereka kerap membuang najis dan najisnya mempunyai lendiran aneh dan boleh jadi juga ada darah. Selain itu, muntah-muntah dan pada yang sama bayi demam juga antara simptom yang anak Mama terkena cirit birit.
Bagi bayi yang baru mula menyusu badan, selalunya mereka akan membuang najis dalam lima kali sehari dan najis mereka sedikit kekuningan dan cair. Kemudian, kekerapan mereka membuang najis akan berkurang kepada sekali atau dua kali sehari je setelah sebulan lebih menyusu badan. Manakala bagi bayi yang minum susu formula, kekerapannya adalah sekali sehari je dan najis mereka akan lebih busuk.
Cirit birit perkara normal yang jadi kepada bayi tapi janganlah kita pandang ringan. Biarpun gejala ini akan hilang tanpa rawatan dalam masa 24 jam tapi kalau berlarutan dan anak Mama kelihatan lemah, Mama Papa kena ambil tindakan seterusnya.
Punca-punca terjadinya gejala ini
Menurut pakar pengamal perubatan, bayi yang hanya minum susu badan, sukar dijangkiti cirit birit manakala bayi yang minum susu formula berkemungkinan besar untuk terkena cirit birit. Ini kerana susu badan mempunyai enzim yang mampu membunuh mikroorganisma yang menjadi punca cirit birit.
Antara faktor kepada masalah ini adalah jangkitan gastroenteritis, pengambilan buah atau jus yang berlebihan serta tindak balas sensitif dari ubat atau makanan yang menjadi alahan kepada si comel. Jangkitan bakteria pada sistem penghadaman bayi kadangkala disebabkan sikap Mama Papa sendiri yang tak sterilize botol susu dan alat bancuhan dengan betul dan tak membasuh tangan dengan bersih sebelum menyediakan susu untuk anak.
Kekurangan enzim, selesema dan antibiotik juga antara punca kepada terjadinya cirit birit kepada si manja. Namun, faktor utama kepada masalah ini adalah jangkitan rotavirus yang menyebabkan gastroenteritis iaitu sejenis jangkitan usus yang mana mengakibatkan lapisan dalaman usus bocor dan gagal menyerap nutrien dengan baik.
Langkah yang perlu mama papa lakukan
Mama Papa hendaklah sentiasa peka dengan perubahan suhu, badan dan najis anak. Macam Mama Siti dah cakap tadi lah kan, setiap perubahan itu adalah mesej yang cuba disampaikan kepada kita. Pastikan setiap perubahan diteliti dan dikenalpasti.
Dapatkan nasihat doktor jika cirit birit anak semakin teruk atau kelihatan melarat. Berbincanglah dengan pakar kesihatan sebelum menukar susu formula anak kerana kadang kala cirit birit juga berlaku kerana alahan dengan bahan dalam susu formula tersebut. Risau kalau berlaku pembaziran. Yelah, susu formula bukannya murah.
Jika anak menunjukkan simptom-simptom berikut, segeralah berjumpa dengan doktor.
- kulit dan bibir kering
- lemah dan lesu
- ubun-ubun mengecut
- tangan dan kaki mula pucat
- air kencing berwarna kuning pekat
- kurang kencing seperti biasa
- cirit, muntah dan demam melebihi 24 jam
- enggan makan dan minum
- perut mula membuncit
Petua merawat cirit birit
Bila anak cirit birit, secara tak langsung, mereka akan kekurangan air dalam badan yang mana bermaksud mereka ternyahhidrat. Maka, Mama perlu memberikan air yang secukupnya kepada mereka bagi memastikan kandungan air dalam badan berada pada tahap yang baik. Selain air, teruskan juga menyusu anak seperti biasa tak kiralah susu badan atau susu formula.
Di samping itu, berikan juga mereka air garam rehidrasi secara berkala. Dapatkan nasihat dan dos yang betul dari doktor Mama. Pada kebiasaannya air garam ini diberikan dalam beberapa kali sejam.
Selain itu, elakkan memberi ubat cirit birit kepada mereka kerana hal ini boleh memburukkan lagi keadaan si bayi. Kemungkinan besar akan memudaratkan dan memberi kesan sampingan yang serius kerana sistem badan anak kecil belum mampu memproses ubat itu.
Elakkan juga meninggalkan mereka di pusat jagaan atau nurseri dalam masa 48 jam selepas mereka mengalami cirit birit. Ini kerana bayi atau kanak-kanak lain boleh terkena jangkitan cirit birit ini.
Diingatkan juga supaya Mama menukar lampin anak dengan lembut bagi mengelakkan mereka lebih sakit. Sapukan juga krim yang sesuai untuk ketidakselesaan pada punggung mereka. Bila mengalami cirit birit, punggung mereka akan pedih, jadi berlemah lembutlah dalam menukar lampin mereka.
BONUS: Bezakan Berak Bayi yang Normal & Tidak Normal
Cara elak cirit birit
Disebabkan jangkitan rotavirus adalah faktor utama yang menyumbang kepada terjadinya cirit birit ini, maka amalan kebersihan adalah langkah yang paling penting. Pastikan penyediaan susu dan keadaan sekeliling dalam keadaan yang bersih. Tambahan lagi, kerap cuci tangan sebelum menyediakan susu atau makanan dan juga sebelum memegang anak Mama.
Seperti yang kita tahu, anak kecil suka memasukkan jari ke dalam mulut mereka. Oleh sebab itu mama papa kena selalu membasuh tangan sebelum memegang anak agak kuman atau bakteria tak berpindah dari Mama ke si manja.
Gejala ini taklah begitu serius jika kita tahu teknik dan perkara yang perlu kita lakukan. Ha…lepas baca posting ini, pasti Mama Papa lebih tahu dan arif tentang hal ni kan?
Semoga membantu!
BACA LAGI Bayi Tidak Berak, Mama Jangan Panik!
Pesan Mama Siti
Mungkin ada juga petua tradisional yang boleh mama papa amalkan dalam mengubati cirit birit anak. Namun jika keadaan anak semakin melarat, segera berjumpa doktor dan berhenti mengamalkan petua tradisi itu. Hal ini dikhuatiri jika ada kesan yang serius kepada mereka. Tapi insya Allah, cirit birit ini akan lega dengan sendirinya dalam masa 24 jam. Jangan terlalu risau, okay?