KelabMama

BAYI BARU LAHIR DITEMUI DI TEPI JALAN

Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui telah ditinggalkan di tepi jalan di Taman Seri Ampang, Alor Setar petang semalam.

Bayi perempuan yang dibaluti kain batik dan masih bertali pusat itu telah ditemui oleh seorang remaja kira-kira jam 6 petang. Remaja itu membawanya pulang ke rumah sebelum dia memaklumkan kepada keluarganya.

Menurut remaja terbabit, dia ada melihat kehadiran dua lelaki menunggang motosikal di kawasan berkenaan sebelum mereka meninggalkan bungkusan kain batik itu di tepi jalan.

Keluarga remaja itu kemudian bertindak menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan bayi berkulit cerah itu sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar tiba dan menghubungi ambulans.

Pasukan perubatan yang melakukan pemeriksaan kemudian menghantar bayi itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu.

Beliau berkata, setakat ini bayi itu masih berada di HSB dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mengetahui ada wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan diminta memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya.