Dalam kehidupan sekarang, sudah menjadi suatu kebiasaan membawa gajet seperti telefon ke tandas untuk mengelakkan kebosanan berada lama di dalam tandas. Namun, tahukah anda bahawa ia juga merupakan salah satu punca buasir berlaku?
Ini belum lagi Mama Papa melayari media sosial atau menonton YouTube dan Netflix semasa membuang air besar. Walaupun ramai yang malu mengaku, inilah realiti yang Mama Siti lihat sekarang.
Sebenarnya, usus yang sihat hanya memerlukan sekitar 5-10 minit untuk menyelesaikan “tugas” di tandas, tetapi dengan adanya “aktiviti tambahan” ini, masa tersebut boleh menjadi lebih lama.
Apa Itu Buasir?
Buasir, atau juga dikenali sebagai hemorrhoids, adalah keadaan di mana saluran darah di dalam atau di sekitar rektum dan dubur menjadi bengkak dan meradang. Buasir boleh berlaku di dalam rektum (buasir dalaman) atau di sekitar bahagian luar dubur (buasir luaran).
Keadaan ini sering kali menyebabkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kualiti hidup Mama Papa, terutama jika ia menyebabkan rasa sakit, gatal, atau pendarahan.
Jenis-Jenis Buasir
1. Buasir Dalaman
Terletak di dalam rektum dan biasanya tidak dapat dilihat atau dirasai.
Buasir dalaman jarang menyebabkan ketidakselesaan, tetapi apabila ia menjadi besar atau meradang, ia boleh menyebabkan pendarahan semasa membuang air besar atau keluar dari dubur (prolaps).
2. Buasir Luaran
Terletak di bawah kulit di sekitar dubur. Buasir luaran boleh menyebabkan kesakitan, bengkak, dan kadangkala gatal.
Jika darah terkumpul dalam buasir luaran, ia boleh membentuk pembekuan darah (trombus) yang menyebabkan kesakitan yang teruk.
Bagaimana Buasir Terjadi?
Buasir biasanya terjadi akibat tekanan yang berlebihan pada saluran darah di kawasan rektum dan dubur. Faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada terkena buasir:
- Sembelit kronik atau cirit-birit yang menyebabkan Mama Papa perlu meneran semasa membuang air besar.
- Duduk terlalu lama di tandas yang memberi tekanan pada saluran darah di bahagian bawah rektum.
- Kehamilan di mana berat bayi memberi tekanan tambahan pada saluran darah di kawasan pelvis.
- Obesiti yang meningkatkan tekanan pada bahagian bawah badan.
- Kurang aktiviti fizikal yang boleh menyebabkan pergerakan usus menjadi kurang aktif.
Adakah Bawa Telefon ke Tandas Menyebabkan Buasir?
1. Duduk Terlalu Lama di Tandas
Apabila Mama Papa membawa telefon bimbit ke tandas, Mama Papa cenderung untuk menghabiskan lebih banyak masa duduk di atas mangkuk tandas. Mama Papa mungkin terlajak masa semasa membaca, melayari media sosial, atau bermain game.
Duduk terlalu lama di tandas boleh menyebabkan peningkatan tekanan pada saluran darah di bahagian rektum dan dubur, yang boleh menyebabkan buasir.
2. Meneran Tanpa Sedar
Semasa menggunakan telefon bimbit di tandas, Mama Papa mungkin tidak sedar yang Mama Papa sedang meneran atau memaksa untuk membuang air besar.
Ini boleh berlaku kerana Mama Papa terlalu fokus pada skrin dan bukan pada proses membuang air besar itu sendiri.
Meneran yang berlebihan atau kerap semasa membuang air besar boleh menyebabkan pembengkakan saluran darah di kawasan dubur dan seterusnya membawa kepada buasir.
3. Gangguan Pergerakan Usus
Penggunaan telefon bimbit semasa di tandas boleh mengganggu proses semula jadi pergerakan usus. Apabila terlalu fokus pada telefon, Mama Papa mungkin tidak memberi perhatian yang cukup kepada badan Mama Papa.
Ini boleh menjadi penyebab melambatkan proses membuang air besar dan seterusnya mengakibatkan Mama Papa mengalami sembelit, yang merupakan salah satu punca utama buasir.
Bagaimana Mengurangkan Risiko Buasir Akibat Penggunaan Telefon di Tandas?
Beberapa langkah yang Mama Papa boleh lakukan untuk mengurangkan risiko buasir:
- Kurangkan Masa di Tandas: Elakkan membawa telefon bimbit atau bahan bacaan lain ke tandas. Fokuskan diri Mama Papa pada proses membuang air besar dan cuba lakukan dengan cepat dan efisien.
- Elakkan Meneran: Jika Mama Papa mengalami kesukaran untuk membuang air besar, jangan paksa atau meneran terlalu keras. Sebaliknya, cuba ubah diet Mama Papa atau gunakan pelembut najis jika perlu.
- Amalkan Gaya Hidup Sihat: Makan makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh untuk memastikan pergerakan usus yang lancar. Minum banyak air untuk membantu melembutkan najis dan mengelakkan sembelit.
- Lakukan Aktiviti Fizikal: Aktiviti fizikal yang kerap boleh membantu meningkatkan pergerakan usus dan mengurangkan risiko sembelit dan buasir. Berjalan-jalan atau melakukan senaman ringan dapat membantu dalam menjaga kesihatan pencernaan.
- Periksa Keadaan Kesihatan Secara Berkala: Jika Mama Papa mengalami gejala buasir seperti pendarahan, sakit, atau bengkak di kawasan dubur, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang sesuai.
Walaupun telefon itu sendiri bukan penyebab utama, duduk terlalu lama dan meneran semasa membuang air besar kerana terlalu fokus pada telefon boleh meningkatkan risiko buasir.
Bagi Mama Siti kebiasaan membawa telefon ke tandas bukanlah satu amalan yang sihat. Lebih baik kita jangan bawa phone untuk mengelakkan penggunaan telefon di tandas dan fokus kepada kesihatan usus serta tidak hygiene juga.
Amalan gaya hidup yang sihat dan pencegahan awal boleh membantu mengurangkan risiko buasir dan memastikan kesihatan kita yang lebih baik.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa lagi masalah kesihatan yang Mama Papa perlu tahu? Klik di SINI.