KelabMama

BATUK TAK BAIK-BAIK? KETAHUI JENIS BATUK DAN RAWATANNYA!

Musim tengkujuh ni, ramai pesakit datang klinik kerana batuk. Sebahagian besar yang datang tu, dah ambil ubat batuk komersial yang boleh dibeli di kedai-kedai serbaneka atau pasaraya. Namun, batuk mereka tak berkurang. “Doktor, saya nak antibiotik dan ubat batuk yang kuat sikit”. Sebenarnya, apa yang diperlukan adalah ubat batuk yang sesuai, tak semestinya yang kuat. Ubat batuk ada beberapa jenis, dan pemilihannya bergantung kepada jenis batuk. Ini klasifikasi batuk untuk masyarakat umum.

JENIS BATUK

Kahak adalah pekat lendiran yang dihasilkan oleh mukosa dalam hidung, mulut, tekak. Kalau kita sihat, lendiran ini ada juga, cuma ia cair. Jika ada iritasi pada mukosa, seperti bendasing, perengsa, atau jangkitan tertentu di kerongkong serta di paru-paru, maka lendiran ini boleh dihasilkan lebih banyak atau lebih pekat dan dipanggil kahak. Kehadiran kahak ini buat tekak tidak selesa, maka tercetus refleks batuk untuk membuangnya.

Ada juga batuk yang tidak berkahak. Seringkali batuk jenis ini disebabkan oleh rasa tekak gatal atau kering. Ini biasanya tanda-tanda jangkitan tekak (laryngitis/pharingitis/tonilitis). Adakalanya pula batuk kering disebabkan oleh salur pernafasan menjadi sempit, contohnya ketika serangan asma. Selain itu, terdedah kepada habuk, jerebu dan bahan kimia, serta merokok juga boleh sebabkan batuk kering.

 

JENIS-JENIS UBAT BATUK

Selepas penilaian doktor, ada beberapa jenis ubat yang mungkin diberi oleh doktor, antaranya adalah:

Ubat batuk jenis ini sesuai untuk batuk berkahak. Ia diberi untuk memudahkan kita buang kahak. Mekanismanya sama ada dengan mencairkan kahak, atau menghasilkan batuk yang lebih efektif. Sebab itu ada ubat batuk, lepas kita ambil, rasa macam lebih kahak terhasil. – Contoh ubat: Mucolix, Bisolvon, Bromhexin

Ini ubat yang sesuai batuk kering. Ubat ini menghambat reflek batuk. Ada dua mekanisma, iaitu menampan reflek batuk di otak, atau di tekak. Oleh kerana ada ubat antitussive yang bertindak di otak, sebahagiannya mempunyai kesan sedatif dan boleh menyebabkan mengantuk. – Contoh ubat: Copastin, Codeine, Benadryl

Jangkitan pada salur pernafasan boleh menghasil menyebabkan salur pernafasan menyempit seperti reaksi asma, dan mencetuskan batuk. Ubat lelah akan melegakan kesempitan salur pernafasan, mengurangkan bengkak pada mukosa, hentikan penghasilan mukosa berlebihan. Contoh ubat: Ventolin, Bricanyl

*Ada juga ubat lain yang diberi bersama ubat batuk. Di bawah ini adalah kemungkinannya:

Kadangkala, masalah batuk itu bukan dari tekak atau paru-paru, tetapi dari hidung. Ketika kita selsema, hingus boleh mengalir ke belakang(post nasal drip) dan menyebabkan iritasi pada tekak, lantas mencetus refleks batuk. Jika batuk begini, doktor akan beri ubat selsema.

– Contoh ubat: Loratadine, Clarinase, Actifed

Antibiotik akan diberi jika dan hanya jika doktor mengesyaki anda ada jangkitan bakteria pada salur pernafasan atau paru-paru. Jika doktor syak ia jangkitan virus, maka anda tidak perlu antibiotik. Ini kerana antibiotik adalah untuk membunuh bakteria, bukan virus. Untuk bunuh virus perlu ubat antivirus. Namun kebanyakan jangkitan virus boleh pulih sendiri (self limiting) tanpa ubat antivirus.

Biasa dalam bentuk ubat untuk dihisap dan berangin. Ia diberi untuk kurangkan kerengsaan tekak gatal. Contoh ubat: Troches

 

RAWATAN DI RUMAH

1) Perbanyakkan minum air. Air diperlukan agar kahak tidak terlalu pekat. Ia juga boleh melegakan tekak yang kering.

2) Elakkan makanan atau minuman yang boleh sebabkan iritasi pada tekak seperti makanan pedas/berempah dan berminyak.

3) Elakkan kopi dan minuman beralkohol. Kopi adalah diuretik(penggalak buang air kecil), jadi ia boleh buat anda dehidrasi.

4) Boleh ambil buah-buahan yang kaya Vitamin C, dan madu.

5) Ambil ubat batuk over-the-counter(OTC) yang boleh dibeli di farmasi.

6) Berhenti merokok!

7) Pakai topeng muka untuk elakkan penyebaran jangkitan atau melindung diri daripada habuk/jerubu/asap/bahan kimia.

 

BILA ANDA PERLU MELAWAT DOKTOR?

1) Bila batuk anda tidak berkurang selepas 3 hari. Batuk yang berpanjangan boleh menandakan masalah serius seperti tuberkulosis(TB) serta bronkoetasis.

2) Kahak anda terlalu pekat, banyak dan berubah warna kepada hijau, kuning atau jika kahak anda ada darah. Kena peka dengan warna kahak.

3) Batuk anda kerana sesak dada. Asma, jangkitan paru-paru, paru-paru berair, dan lemah jantung boleh akibatkan sesak dada.

4) Bunyi batuk anda lain daripada biasa. Terutamanya pada kanak-kanak. Bunyi kokol disebabkan Pertusisis. Batuk menyalak (barking) disebabkan oleh Diptheria.

5) Lepas doktor mulakan ubat darah tinggi, batuk pun datang. Ada ubat darah tinggi menyebabkan batuk.

 

AKHIR KATA

Jika rawatan di rumah tidak mujarab, jangan tunggu lama untuk melawat doktor. Tidak semua batuk perlukan antibiotik kerana tidak semua batuk disebabkan jangkitan bakteria.

Sihat itu nikmat, sakit itu hikmat

Bila sihat, syukur. Bila sakit jumpa doktor

 

 

 

Sumber: Facebook Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan MedTweetMY