Bila dah hamil ni, banyak benda kita perlu berwaspada, dan berjaga-jaga. Dari segi pemakanan, aktiviti harian, perhubungan, kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental. Walau bagaimanapun, apa yang harus kita lakukan sekiranya kita jatuh sakit ketika hamil? Boleh ke ambil ubat ketika hamil? Tak menjejaskan kandungan ke? Ikuti tips-tips dibawah untuk keterangan lanjut.
Pengambilan Ubat Ketika Hamil
SAKIT KEPALA
- Sakit kepala biasa berlaku apabila anda hamil, terutamanya ketika trimester pertama. Jika Mama memang sering sakit kepala, kehamilan boleh membuat masalah ini bertambah teruk. Paracetamol tanpa sebarang bahan tambahan ialah ubat penahan sakit yang paling selamat diambil ketika hamil.
- Ibuprofen tidak seharusnya menjadi pilihan pertama untuk mengubati sakit kepala semasa hamil. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan ubat ini membahayakan dalam trimester pertama dan kedua, tetapi sesetengah pakar menasihatkan lebih elok untuk Mama tidak mengambilnya sebagai langkah berjaga-jaga.
- Mama tidak harus mengambil ibuprofen semasa dalam trimester ketiga kehamilan. Pengambilan ibuprofen yang kerap pada peringkat ini boleh mengurangkan tahap cecair amniotik (air ketuban), menjejaskan perkembangan jantung bayi dalam kandungan dan melambatkan permulaan proses pelahiran. Walau bagaimanapun, jika Mama mengambil ibuprofen hanya sesekali semasa hamil, ia tidaklah membahayakan.
- Jangan ambil ubat-ubatan yang mengandungi codeine kecuali jika doktor yang mengesyorkannya.
KETIDAKCERNAAN
Ketidakcernaan dan pedih ulu hati boleh jadi satu masalah sepanjang kehamilan. Pada minggu pertama, salur penghadaman Mama akan menjadi lemah menyebabkan makanan sukar dicernakan. Menjelang akhir kehamilan pula, bayi dalam kandungan yang semakin membesar mula menolak perut ke atas. Ini boleh menyebabkan pedih ulu hati. Untuk melegakan keadaan ini, Mama boleh cuba ubat ini:
- Antasid yang mengandungi magnesium, aluminium, dan alginate.
- Antasid berasaskan kalsium. Tetapi jangan kerap menggunakannya.
MERAWAT SAKIT PERUT
Masalah sakit perut dan cirit-birit akan menyebabkan Mama sendiri tak selesa, tetapi ia tidaklah membahayakan bayi Mama. Mama boleh merawat sakit perut dengan mengambil solusi rehidrasi oral untuk mengelakkan Mama daripada ternyahhidrat. Jangan ambil ubat anti cirit-birit yang ada loperamide pula tau!
BUASIR
Buasir ketika hamil merupakan perkara biasa. Selalunya doktor akan bagi minyak atau ubat supositori untuk melegakan punggung anda. Sekiranya doktor tidak memberi apa-apa ubat walaupun sakit itu berterusan, Mama boleh dapatkan nasihat ahli farmasi mengenai ubat yang selamat digunakan ketika hamil.
BATUK DAN DEMAM SELESEMA
- Untuk batuk dan selesema, Mama boleh cuba petua tradisional untuk menggantikan ubat ketika hamil. Antaranya ialah minum air suam yang dicampu madu dan lemon. InshaAllah lebih selamat dan berkesan.
- Untuk hidung tersumbat, cubalah rawatan wap air panas. Masukkan air panas ke dalam sebuah mangkuk, letak tuala kecil di atas kepala dan dekatkan muka dengan mangkuk tersebut selama beberapa minit.
- Sekiranya Mama demam, Mama boleh mengambil paracetamol untuk turunkan suhu badan. Jika ini tidak berkesan, segera berjumpa doktor. Beliau mungkin akan mengesyorkan ubat seperti ibuprofen, tetapi hanya jika kehamilan Mama berusia di antara 14 hingga 27 minggu.
- Sentiasa gunakan sukatan paling sedikit ubat untuk jangka masa yang paling pendek. Periksa dengan doktor anda sebelum mengambil ubat batuk atau selesema yang lain, dan jangan ambil ubat yang mengandungi codeine.
Apa yang penting, sebelum anda mengambil apa-apa ubat mahupun makanan tambahan, haruslah dapatkan nasihat doktor pakar terlebih dahulu. Untuk kesihatan anda sendiri dan juga anak dalam kandungan.