Kes pertussis atau batuk kokol kini kembali aktif semula. Oleh sebab itu, Mama Papa perlu ambil langkah berjaga-jaga dengan mengambil suntikan vaksin pertussis.
Tahun lepas kalau Mama Papa ingat, Mama Siti ada kongsikan tentang penyakit pertussis atau batuk kokol yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis yang menjangkiti mulut, hidung dan tekak selain boleh tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.
Pertussis atau batuk kokol boleh mengakibatkan komplikasi penyakit serius seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak), sawan serta kematian terutamanya bagi newborn.
Sebab itulah penting untuk Mama dan bayi mengambil suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan penyakit batuk kokol ini.
Vaksin untuk Mencegah Pertussis atau Batuk Kokol
1. Vaksin Pertussis untuk Bayi
Vaksin merupakan cara yang paling berkesan untuk mencegah batuk kokol. Tambahan pula untuk bayi yang usianya kurang dari tiga bulan lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti batuk kokol serta pelbagi komplikasi lain.
Kalau ikutkan cukup dengan tiga dos suntikan sahaja, tetapi, di Malaysia, berdasarkan Jadual Program Imunisasi Kebangsaan, setiap si manja yang berdaftar akan diberikan sehingga empat dos suntikan vaksin ini.
Dos | Umur |
1 | 2 bulan |
2 | 3 bulan |
3 | 5 bulan |
Tambahan (booster) | 18 bulan |
Sebab tu, Mama Papa kena alert dengan jadual imunisasi bayi yang telah ditetapkan bagi memastikan kesihatan bayi Mama Papa terjamin.
2. Vaksin Pertussis untuk Mama Mengandung
Selain daripada memberi imunisasi kepada bayi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberi inisiatif baru iaitu pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Differia-Pertussis (Tdap) kepada Mama mengandung sebagai usaha untuk mencegah daripada jangkitan pertussis atau batuk kokol ni.
Vaksin ni memberi untuk memberi perlindungan kepada bayi dalam kandungan Mama melalui pemindahan antibodi yang dihasilkan Mama mengandung dan tak ada kesan sampingan serius.
Dos vaksin Tdap ini akan diberikan ketika Mama trimester kedua atau ketika (antara 13 hingga 36 minggu) secara percuma di semua fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.
Profesor Dr Jamiyah Hassan seorang Perunding Perubatan Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Sakit Puan dari Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, beliau menyokong pemberian vaksin Tdap ini kepada Mama mengandung.
Jadi, Mama tak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan Tdap ini, kerana ia selamat dan dapat meningkatkan imuniti Mama dan juga bayi dalam kandungan .
Kesan Sampingan Selepas Vaksin
Selepas mendapat suntikan vaksin, Mama mungkin akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti:
- Demam
- Kurang selera makan
- Kesan berlarutan dalam sehari hingga tiga hari
Setiap suntikan vaksin yang diambil sering memberi beberapa kesan sampingan, dan ia adalah berbeza, bergantung kepada individu tersebut.
Cuma, sekiranya kesan sampingan itu berlarutan dan menjadi semakin serius, Mama harus segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama Papa nak tahu apa simptom batuk kokol? Klik di SINI.