KelabMama

Bapa Tergamak Pukul Anak OKU Dengan Wayar Periuk Nasi

Sebagai seorang Mama dan Papa, sudah menjadi satu tanggungjawab kita untuk sentiasa memberi didikan yang terbaik pada anak-anak. Sebagai contoh terdekat dimata anak-anak, cara didikan kita sangat penting. Tidak dinafikan, sebarang tindakan yang dilakukan ke atas anak kita seperti memukul, merotan mahupun menengking, untuk tujuan didikan adalah baik dan harus. Tetapi jika keterlaluan hingga menyebabkan kecederaan kekal pada fizikal mahupun mental mereka, ianya boleh memberi kesan negatif yang berpanjangan.

Baru-baru ini, tular di sosial media keadaan seorang kanak-kanak lelaki istimewa, 13 tahun, mengalami kecederaan teruk di bahagian belakang badannya. Kanak-kanak lelaki tersebut dikatakan telah dipukul ayahnya dengan wayar periuk nasi!

Bahagian Belakang Berlumuran Darah 

Dalam satu status Facebook yang dikongsikan oleh Puan Anor Liza, beliau telah menceritakan saat-saat beliau terjumpa dengan kanak-kanak lelaki berkenaan. Puan Anor yang tidak mengenali kanak-kanak lelaki terbabit telah berselisihan dengannya dalam keadaan belakang bajunya berlumuran darah.

Dipukul Kerana Turun Bermain

Difahamkan, kanak-kanak tersebut telah dipukul ayahnya dengan wayar periuk nasi hanya kerana dia turun bermain! Lebih menyayatkan hati apabila kanak-kanak tersebut merupakan seorang anak OKU, yang tinggal bersama ibu dan ayah tirinya. 

Menurut sumber yang dikongsikan Lobak Merah, mangsa sebenarnya telah lama menjadi mangsa dera ibu dan ayah tirinya. Namun, pertemuan anak OKU tersebut dalam keadaan belakangnya berlumuran darah telah membongkarkan segalanya.

Berdasarkan laporan Astro Awani, kanak-kanak berkenaan dipercayai didera sejak dia berusia 10 tahun, dengan menggunakan wayar mikrofon, rotan dan penyangkut baju hingga meninggalkan parut.

Update Terkini

Dalam update terbaru, satu laporan polis telah dibuat mengenai kanak-kanak berkenaan dan ibu kandung serta ayah tiri mangsa telah ditahan untuk siasatan. Mereka dikatakan tinggal di kawasan perumahan Desa Batu Bakar Baru, Johor Bahru. Mangsa juga telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan pada kecederaan di badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Lebih menyayatkan hati apabila, anak OKU berkenaan telah meluahkan,

Jangan masuk Facebook, nanti bapak marah.

Allahu, kasihannya kamu adik. Mesti adik ini terlalu ketakutan dengan apa yang dilakukan ayah tirinya. Pesan KelabMama untuk Mama dan Papa semua, macam mana nakal pun anak-anak Mama, tolong elak daripada menggunakan kekerasan pada anak-anak kita. Selain itu, sentiasa berwaspada dengan keadaan jiran sekeliling. Mungkin tangisan si kecil daripada rumah sebelah merupakan tanda-tanda anak kecil itu sedang berada dalam keadaan bahaya.