Bangunan bersejarah di Malaysia ada di mana-mana sahaja Mama Papa pergi. Kadang,kadang mungkin anda lalu di kawasan yang sangat bersejarah dan anda tidak perasan akan kehebatan bangunan-bangun di situ, dan apa yang telah dilalui.
Bila mana kita menyebut tentang binaan yang masih wujud dan mewakili zaman kegemilangannya yang tersergam indah sehingga kini, mesti terdetik di hati ingin mengetahui kisah sejarahnya.
Bangunan-bangunan bersejarah di Malaysia rata-ratanya dijaga dengan baik, malah dipulih serta dipelihara bagi mengekalkan tanda sejarah dan menyerlahkan keutuhannya.
Ada bangunan yang masih mengekalkan fungsinya, dan ada juga yang telah menjadi muzium malah ianya menjana pendapatan dalam sektor pelancongan bagi kawasan bangunan itu.
Bersempena dengan Hari Malaysia pada 16 September ini, jom kita “refresh” minda kita dan anak-anak dengan mengenali 10 banguan bersejarah di Malaysia yang kaya dengan sejarah tersendiri. Mari sama-sama kita lihat!
10 Bangunan Bersejarah di Malaysia
Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad yang turut menjadi mercu tanda bandar Kuala Lumpur ini cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bangunan ini menjadi saksi bendera Jalur Gemilang pertama kali dikibarkan pada 31 Ogos 1957. Bagi merasai kemeriahan di sini anda boleh berkunjung pada hari perayaan seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan sambutan malam Tahun Baru.
Pada waktu malam bangunan ini kelihatan begitu cantik dengan limpahan cahaya lampu yang menghiasinya. Keunikkan dan kemegahannya turut menjadi daya tarikan setiap jurugambar untuk berkarya di sini.
Kota A Famosa
“Melaka bandaraya bersejarah” memang tidak lengkap senarai bangunan ini tanpa kita menyentuh tempat yang sangat bersejarah di mana sejarah kuno disekitar Malaysia sentiasa menceritakan tentang kemegahan kota Melaka.
Di antara banyak bangunan yang bersejarah, Kota A Famosa menjadi antara tujuan utama pelancong apabila ke sini.
Sisa bangunan yang masih berdiri teguh di Bandar Hilir Melaka ini dibina pada tahun 1511 dan telah menyaksikan pelbagai penderitaan yang ditanggung rakyat serta perubahan era penjajah pada waktu itu.
Kini anda boleh menyaksikan tinggalan Pintu Santiago atau turut dikenali Porta de Santiago yang masih dipelihara.
Di sekitar bangunan ini turut terdapat beberapa buah meriam dan Gereja St. Paul’s yang turut mempunyai nilai sejarah.
Seterusnya anda boleh menaiki tangga untuk melihat bangunan gereja yang tertua di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu Gereja St. Paul.
The Stadthuys
Masih lagi di Melaka, bangunan ini merupakan antara bangunan Belanda yang tertua di Asia Tenggara yang mula didirikan pada tahun 1641 dan menjadi titik tumpu beberapa era penjajahan di Tanah Melayu.
Kini ia meriah dengan aktiviti pelancongan yang mempunyai tarikan seperti beca, beberapa buah muzium, gerai cenderamata serta lokasi buskers di sekitarnya.
Muzium Perang
Selain Melaka, Pulau Pinang juga kaya dengan sejarah, antaranya ialah merupakan pusat tumpuan bagi penjajahan seperti di zaman british dan dirampas pula oleh jajahan Jepun pada perang dunia ke-2.
Penang War Museum: Bangunan bersejarah yang turut bertempat di Pulau Pinang ini pada awalnya menjadi kubu perang yang dibina oleh tentera British sekitar tahun 1930-an sebelum diambil alih oleh tentera Jepun pada tahun 1941.
Lokasi sejarah ini merupakan muzium perang yang terbesar di Asia Tenggara. Anda boleh menjelajah muzium ini mengikut anak panah yang disediakan di mana dapat melihat tempat pelaksanaan penyiksaan, memasuki terowong gelap serta melawat tempat tidur Inggeris, India dan Melayu.
Fort Cornwallis
Alang-alang menikmati hidangan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang jangan lupa luangkan masa anda di tapak bersejarah ini.
Dengan bayaran masuk RM10 bagi pemegang MyKad anda boleh menjelajah ke dalam kota yang dibina pada tahun 1786 ini.
Kota Cornwallis yang berusia lebih 200 tahun ini dibina oleh Kapten Francis Light ketika beliau menawan Pulau Pinang dan kini menjadi antara kota yang masih utuh dan terpelihara sebagai tarikan pelancongan bersejarah.
Anda dapat melihat beberapa meriam, stor penyimpanan bahan letupan, gereja dan tugu gangsa.
Kota Kuala Kedah
Setelah habis kita berjalan-jalan di Pulau Pinang yang penuh sejarah, mari kita pergi ke jirannya iaitu negeri Kedah Darul Aman.
Kedah juga menyimpan pelbagai rahsia dan sejarah kuno dan menjadi pusat bagi kerajaan-kerajaan kuno antaranya kerajaan Kedah Tua.
Kota Kuala Kedah yang berpusat di tebing utara muara Sungai Kedah ini didirikan sebagai benteng pertahanan pada tahun 1771.
Kota yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa ini pernah diserang oleh Bugis, Acheh dan Siam. Seterusnya ia telah dikuasai oleh pihak British dengan menambah binaan rumah api dan pintu gerbang baru yang masih kekal sehingga kini.
Selepas diletakkan dibawah kuasa Jabatan Muzium Malaysia ia telah ditambah baik untuk dijadikan sebagai Muzium Kota Kuala Kedah.
Selain mempunyai koleksi artifak arkeologi ia turut mempunyai 13 buah peluru meriam dan 6 buah meriam buatan Inggeris yang berusia lebih 100 tahun.
Menara Azan Gunung Jerai
Sebut pasal Gunung Jerai, kebanyakan dari kita menganggap ia sebagai tempat pelancongan tanah tinggi dan mempunyai pemandangan dan suasana yang begitu indah.
Tetapi Mama Papa perlu tahu, sebenarnya Gunung Jerai menyimpan seribu satu rahsia dan sejarah yang menakjubkan.
Di antara bangunan-bangunan bersejarah, bangunan ini adalah tertua dalam senarai ini.
Menara ini telah diarahkan untuk dibina oleh Sultan kerajaan Kedah Tua yang ke-9 Sultan Muzaffar Shah atau nama asal baginda, Maharaja Debar Rajapada tahun 1136 Masihi.
Baginda merupakan sultan Kedah yang pertama memeluk agama Islam di zamannya, dan telah diislamkan oleh seorang pendeta arab bernama Syeikh Jaafar Kumini dari Yaman. Beliau juga merupakan salah seorang murid kepada ahli sufi terkenal Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.
Kota Lama Duyong
Kota Lama Duyung yang terletak di Pulau Duyong, Kuala Terengganu ini dibina oleh Dato’ Biji Sura pada tahun 1919 sebagai tempat belajar ilmu agama bagi masyarakat di situ.
Binaannya dikatakan terdiri daripada bahan campuran seperti madu, kapur tohor, putih telur, pasir, batu dan sebagainya. Binaan ini menunjukkan campuran rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Bujang Berpeleh, Limas Bungkus dan Limas Belanda.
Menariknya lagi ia turut mendapat pengaruh seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir untuk bahagian tiang dan dinding batu.
Kota ini pernah mengalami kerosakkan akibat banjir dan telah dibina semula pada tahun 1986 semula dibuka sebagai lokasi pelancongan.
Masjid Kampung Laut
Masjid yang dikatakan sebagai antara masjid yang tertua di Asia Tenggara ini terletak di Kampung Laut, Tumpat Kelantan dan dianggarkan berusia 400 tahun.
Masjid ini begitu unik kerana ia dibina daripada kayu cengal tanpa menggunakan sebarang paku. Tambahan lagi, masjid ini dikatakan dibina oleh salah seorang Wali songo ketika dalam perjalanan beliau dari kepulauan Jawa ke Champa pada abad ke 14.
Sekitar tahun 1970an masjid ini dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu kerana tapak asalnya mengalami banjir yang teruk. Bermula tahun 2020 proses pemindahan ke tapak asal dilakukan dan kini anda boleh melawat masjid ini di Kampung Laut.
Kellie’s Castle
Istana yang terletak di Batu Gajah, Perak ini cukup terkenal dengan pelbagai versi cerita daripada lapisan masyarakat di Malaysia.
Istana tiga tingkat ini dibina berdasarkan rekabentuk istana Moghul dengan menggunakan tukang mahir dari Madras.
Istana milik peladang getah dari Scotland ini mempunyai 14 buah bilik, ruang bawah tanah, terowong rahsia dan lif yang tidak sempat disiapkan kerana pemiliknya meninggal dunia.
Nak tahu lagi banyak tempat menarik di Malaysia? Klik SINI!