Puting kosong sering menjadi pilihan ibu dan bapa untuk menenangkan anak yang sedang menangis. Bayi yang sedang menangis akan segera berhenti menangis sekiranya diberikan puting kosong ini kerana refleks bayi yang semulajadinya ingin menghisap susu. Malah melalui satu kajian melaporkan bahawa dua per tiga ibu menggunakan puting. Lazimnya puting diberi kepada bayi berusia dua hingga tiga bulan. Bukti juga menunjukkan bahawa ibu bapa cenderung memberikan puting jika bayi itu bayi pertama atau jika bayi itu lelaki.
Ada kajian juga menunjukkan bahawa SIDS atau Sindrom Kematian Bayi Mengejut dapat dielakkan apabila bayi diberi puting kosong ini kerana bayi yang tidur dengan puting kosong ini tidak boleh tidur terlalu lena kerana dihalang oleh refleks menghisap susu itu tadi. Ini menghalang daripada bayi berhenti bernafas seperti yang berlaku pada penghidap SIDS.
Namun puting kosong ini sepatutnya diberhentikan apabila bayi sudah semakin besar. Ada yang berpendapat 6 bulan, ada 9 bulan dan ada yang setahun. Berapa pun umurnya puting kosong ini harus diberhentikan apabila gigi susu mula tumbuh. Kebanyakkan tidak mahu memberhentikan puting kosong kerana alasan anak pasti akan menangis. Sehinggakan ada yang menghisap puting kosong sehingga berumur 4 tahun! Ketika ini, amat susah untuk membuang habit menghisap puting kosong ini kerana sudah terbiasa
Kebaikan
- Seiring peningkatan kematian mendadak kepada bayi, puting dipercayai dapat menyelamatkan nyawa bayi. Terdapat beberapa kajian yang menyatakan ibu bapa harus segera memberikan anak puting ketika baru menangis. Apabila berhenti menangis, lepaskan puting untuk mengelakkan menjadi kebiasaan.
- Jika bayi anda jenis yang mudah menangis dan puting satu-satunya yang boleh membuatnya berhenti menangis, sebaiknya berikan puting kepadanya. Ini membantu menenangkan buah hati anda.
- Bagi mereka yang pro puting, puting mampu memberi kepuasan refleks hisapan bayi. Ada juga ibu baru yang tidak bersedia menerima risiko ketika memberhentikan penyusuan badan. Jadi puting adalah satu-satunya alat memuaskan hasrat menyusu bayi.
- Menghisap puting juga boleh membantu sesetengah bayi pramatang. Jika mereka diberikan puting untuk dihisap sebelum meminum susu, mereka mungkin boleh beralih dengan lebih senang daripada melalui tiub kepada penyusuan botol. Bayi pramatang yang diberi puting sebelum menyusu menjadi lebih selesa dan tenang semasa disusukan dan selepasnya.
Keburukan
- Puting dipercayai menyebabkan jangkitan telinga pada bayi. Menghisap puting menambah kemungkinan jangkitan berpindah dari mulut ke tiub eustachia iaitu saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak.
- Puting telah dikaitkan dengan risiko tinggi mendapat simptom seperti muntah-muntah, demam, cirit-birit dan kolik.
- Doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kerana boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh.
- Penggunaan puting tidak membolehkan bayi membebel yang merupakan langkah penting dalam mereka belajar bertutur. Ia juga tidak menggalakkan bayi berlatih berceloteh yang diperlukan mereka untuk membina kemahiran berkomunikasi.
- Bukti juga menunjukkan bahawa ibu yang menggunakan puting lebih cenderung untuk bercerai susu lebih awal. Penggunaan puting telah dikaitkan dengan masa yang lebih singkat bagi penyusuan badan secara eksklusif.
Sumber: Internet