Saya tak boleh minum air kosong sepanjang hari, wajib kena ambil minuman manis. Tapi, saya tak risau dengan risiko kencing manis pun sebab minuman tu bancuh dengan stevia untuk gantikan gula. Manis dapat, sihat pun dapat!
Eh, betul ke begitu konsepnya Mama? Pasti ramai beranggapan bahawa penggunaan stevia atau pemanis tiruan ini jauh lebih selamat berbanding gula pasir yang dibancuh dalam minuman.
Malah, Mama Siti juga pernah dengar beberapa individu menyarankan bahawa pesakit kencing manis perlu menggantikan pengambilan gula dengan stevia.
Persoalannya di sini, apakah benar stevia terbukti selamat dan tidak menjejaskan kandungan gula dalam tubuh seseorang? Sebelum bercerita lebih lanjut, jom kita fahami dulu maksud stevia dan beberapa pemanis tiruan lain.
Apa Itu Pemanis Tiruan
Menurut laporan Hello Doktor, pemanis tiruan atau gula alternatif adalah sejenis bahan kimia yang mana fungsinya sama seperti gula pasir biasa iaitu untuk menambahkan rasa manis dalam apa jua jenis hidangan.
Bagaimanapun, tahap kemanisan bagi pemanis tiruan ini sangat tinggi sehingga berlipat kali ganda. Justeru, pemanis tiruan akan digunakan dalam amount yang kecil dan ia telah menerbitkan rasa manis yang cukup.
Kebanyakkan kilang pemprosesan makanan dan minuman wajib menggunakan pemanis tiruan ini kerana selain menghasilkan rasa manis yang sesuai, kosnya juga jauh lebih murah sekaligus menjimatkan pihak berkenaan. Iyalah, pakai sikit jerr dah manis lepas tu harga pun murah. Mestilah lebih berbaloi, bukan?
Selain itu, penggunaan gula alternatif ini sangat popular disebabkan ia hampir tidak mempunyai kalori dan karbohirat.
Tambahan lagi, ramai pesakit golongan pesakit kencing manis dan mereka yang berusaha menjaga kesihatan turut percaya bahawa pemanis tiruan ini tidak akan menjejaskan bacaan gula tubuh mereka.
Jenis Pemanis Tiruan
Selain stevia, terdapat banyak jenis pemanis tiruan dengan pelbagai nama. Cuma bezanya adalah tahap kemanisan dimana ia digunapakai mengikut kesesuaian rasa untuk produk masing-masing.
- Saccharin – Biasa digunakan dalam minuman, jus, jeli dan yogurt serta memiliki tahap kemanisan antara 200 hingga 700 kali ganda
- Sucralose – Biasa digunakan dalam makanan, roti, gelatin dan gula-gula getah serta memiliki tahap kemanisan sehingga 600 kali ganda
- Aspartame – Mempunyai tahap kemanisan sehingga 200 kali ganda, ia tidak tahan dengan haba dan akan hilang rasa manis jika dipanaskan
- Neotame – Mempunyai tahap kemanisan sehingga 13,000 kali ganda, ia tahan dengan haba dan tidak akan hilang rasa manis jika dipanaskan
- Advantame – Biasa digunakan dalam produk minuman, serbuk minuman serta bahan memasak lain dan mempunyai tahap kemanisan sehingga 20,000 kali ganda
- Acesulfame potassium – Biasa digunakan dalam pemanis mulut sejuk beku, gula-gula, kek dan air berkarbonat jenis diet
- Stevia – Merupakan gula alternatif paling popular, ia diekstrak daripada daun pokok Stevia Rebaudiana Bertoni dari benua Ameria Selatan
- Luo Han Guo – Merupakan gula alternatif dari buah Luo Han Guo dan mempunyai tahap kemanisan antara 100 hingga 250 kali ganda
Sumber: Hello Doktor
Kesan Pemanis Tiruan Pada Kesihatan
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, belum ada lagi bukti khusus mengaitkan sebarang penyakit akibat pengambilan pemanis tiruan.
Pun begitu, laporan Harian Metro pada Julai lalu mendedahkan kajian dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan salah satu jenis pemanis tiruan iaitu aspartam sebagai ‘kemungkinan karsinogenik kepada manusia’.
Karsinogenik yang dimaksudkan di sini adalah salah satu keadaan dimana ia berisiko kepada penyakit karsinoma hepatoselular atau kanser hati.
Bagaimanapun, kajian ini masih dianggap lemah kerana memerlukan lebih banyak penjelasan dan kepentingannya tidak boleh ditolak. Justeru, kerana itulah aspartam ini masih dikategorikan sebagai ‘berkemungkinan’ untuk trigger kepada penyakit tersebut.
Sementara itu, memetik pendapat Pakar Endokrinologi M. Regina Castro yang disiarkan oleh laman web Hello Doktor berkata, artificial sweetener adalah selamat untuk diambil oleh pesakit diabetes dan tidak akan menjejaskan kondisi tersebut.
Ini kerana gula alternatif ini mungkin sama sekali tidak akan meningkatkan kadar gula dalam darah seperti mana yang berlaku jika ambil terlalu banyak gula biasa.
Tambah beliau, kebanyakan pemanis tiruan dikategorikan sebagai ‘free food’ yakni mempunyai kurang daripada 20 kalori dan kurang lima gram karbohidrat yang sangat bagus untuk penderita diabetes.
Namun, meskipun tiada lagi bukti kukuh ditemui, jangan Mama dan Papa anggap pemanis tiruan ini selamat 100 peratus kepada tubuh kita. Perlu diingat bahawa ada kemungkinan di mana bahan lain dalam makanan atau minuman dengan gula alternatif ini berisiko tingkatkan kadar glukosa.
Kita harus sedar bahawa pilihan hidangan yang paling terbaik untuk tubuh semestinya makanan dan minuman semulajadi yang tidak melalui sebarang aktiviti memproses.
Pengambilan real food diyakini lebih selamat dan menjamin kesihatan kita semua.
Umum mengetahui, amalan minum air kosong secukupnya adalah jauh lebih baik dan mampu menghindarkan seseorang kepada risiko pelbagai penyakit selain menaikkan seri wajah daripada menjadi kusam dan tidak bermaya.
Tak salah nak ambil minuman dan makanan proses, tapi pastikan tidak keterlaluan dan elakkan ia sebagai amalan pemakanan seharian.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips kesihatan yang lain di SINI!