KelabMama

Bahaya di Sebalik Penggunaan Pelampung Leher Bayi atau ‘Baby Neck Float”

bahaya guna pelampung leher bayi atau babies neck float

Pelampung leher untuk bayi atau infant neck float tidak asing lagi dalam kehidupan ibu ayah dengan anak kecil. Ia sering digunakan oleh Mama Papa yang ingin memperkenalkan bayi mereka kepada air, sama ada di kolam renang ataupun semasa mandi.

Walaupun ia nampak menyeronokkan dan bermanfaat, terdapat beberapa risiko bahaya yang perlu Mama Papa berikan perhatian semasa penggunaannya kepada si manja.

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna atau Consumer Product Safety Commission (CPSC), sendiri ada menerima lebih daripada 85 laporan insiden bayi tergelincir daripada pelampung leher dalam tempoh lima tahun terakhir.

Kini, mereka sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan peraturan yang lebih ketat berhubung reka bentuk dan ujian keselamatan produk ini. Namun, beberapa pengawal selia berpendapat bahawa langkah ini tidak memadai.

Menurut Mother.ly, walaupun bayi sudah diawasi dengan baik, terdapat juga laporan kepada CPSC tentang kejadian hampir lemas yang melibatkan bayi.

Ini menunjukkan bahawa walaupun pengawasan rapi diberikan, risiko masih wujud ketika menggunakan neck float untuk bayi.

Bayi berumur antara 17 hari hingga 12 bulan dilaporkan tergelincir keluar dari pelampung, menyebabkan bahagian kepala, mulut, atau hidung masuk ke dalam air.

Kejadian ini boleh berlaku jika pelampung tidak dipam secukupnya, bocor, licin akibat sabun, atau tanpa sebab yang jelas.

Apakah Penyebab Pelampung Leher Menjadi Bahaya kepada Bayi?

1. Risiko Kecederaan Leher

Penggunaan pelampung leher meletakkan beban pada leher bayi yang masih belum cukup kuat untuk menyokong kepalanya.

Tulang leher bayi masih dalam proses perkembangan, dan penggunaan pelampung ini berisiko menyebabkan kecederaan pada bahagian leher atau tulang belakang bayi.

Sekiranya leher bayi tercedera, ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pertumbuhan dan perkembangan fizikalnya.

2. Bahaya Lemas

Walaupun pelampung leher direka untuk menyokong bayi di dalam air, ia tidak boleh diandalkan sepenuhnya untuk keselamatan.

Jika pelampung gagal berfungsi dengan betul atau tergelincir, bayi berisiko untuk tenggelam atau lemas, terutamanya jika Mama Papa tidak memantau mereka dengan teliti.

Pelampung ini juga memberikan rasa fake safety kepada Mama Papa, menyebabkan Mama Papa akan kurang memberi perhatian yang sepatutnya kepada bayi ketika memakainya.

3. Gangguan Pernafasan

Pelampung leher boleh memberikan tekanan kepada leher bayi dan mengganggu aliran udara atau pernafasan mereka, terutama jika pelampung tersebut terlalu ketat atau tidak dipasang dengan betul.

Walaupun bayi mungkin kelihatan selesa pada mulanya, tekanan yang tidak konsisten boleh mengakibatkan ketidakselesaan atau masalah pernafasan yang serius.

4. Risiko Jangkitan

Bahan yang digunakan untuk membuat neck float mungkin mengandungi bahan kimia yang berbahaya, seperti BPA atau phthalates, yang boleh menyebabkan iritasi kulit atau alahan pada bayi.

Di samping itu, air yang tidak bersih di dalam kolam renang juga boleh menyebabkan jangkitan kepada bayi yang lebih terdedah kepada penyakit kulit dan masalah kesihatan lain.

Selain tu, Mama Siti juga nak nasihatkan kepada Mama Papa diluar sana untuk berhati-hati dalam memilih warna baju renang anak-anak. Mama Papa elakkan memilih pakaian renang berwarna biru kerana boleh menyukarkan Mama Papa melihat pergerakan mereka ketika di dalam kolam.

Walaupun neck float kelihatan seperti alat yang menyeronokkan untuk bayi bermain air, Mama Papa perlu berhati-hati dengan potensi risikonya.

Pengawasan yang teliti dan memilih alternatif yang lebih selamat seperti penggunaan pelampung badan atau mandi di kawasan air cetek bersama mereka.

Pastikan keselamatan bayi menjadi keutamaan setiap masa, dan rujuk pakar pediatrik sebelum memperkenalkan bayi kepada alat-alat baru yang melibatkan keselamatan fizikal mereka.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Bagaimana Mama Papa nak sampai mengenai pendidikan seksual kepada anak-anak? Klik di SINI.