Jika ditanya pernahkah anda mengambil paracetamol? Mama Siti percaya rata-rata dikalangan kita mesti tak asing dengan ubat berkenaan.
Malah, tak kurang juga ada sebahagian individu turut mengamalkan paracetamol ini dalam kehidupan seharian bagi mengelakkan apa juga jenis kesakitan tiba-tiba menyerang mereka seperti pening atau luka-luka ringan.
Ya, selain digunakan ketika demam, paracetamol turut dijadikan sebagai penawar dalam pelbagai kes antaranya pening kepala, lenguh sendi dan pain killer.
Pendek kata asal rasa tak sedap badan je, terus makan satu ke dua biji.
Banyakkan function paracetamol ni. Tapi, tak ada side effect ke kalau kerap amalkan pengambilan ubat sebegini? Mesti ramai terfikir perkara yang sama.
Untuk tahu lebih lanjut berkaitan kesan pengambilan paracetamol terhadap tubuh, jom lihat temu bual Kelab Mama bersama seorang Ahli Farmasi bertauliah, Puan Norhaliza atau lebih dikenali dengan Noori.
Selain aktif sebagai seorang pharmacist, beliau juga turut berkongsi pengalamannya selama 27 tahun dan kepakarannya dalam bidang farmaseutikal di akaun TikTok miliknya.
1. Apakah fungsi paracetamol terhadap tubuh seseorang?
Paracetamol mempunyai dua fungsi iaitu sebagai Antipiretik bertujuan menurunkan suhu badan ke paras suhu normal semasa demam. Satu lagi fungsi adalah Analgesik iaitu melegakan rasa sakit. Ia adalah analgesik kategori non-opioid.
2. Apakah bahan yang terkandung dalam sebiji pil berkenaan?
Dalam paracetamol mengandungi pelbagai bahan dimana bahan aktif utama adalah acetaminophen. Ramuan-ramuan lain pula terdiri daripada eksipien.
Eksipien adalah satu bahan selain bahan aktif utama tadi yang terdiri daripada pelincir, agen pengecai, pengawet, pewarna. Eksipien ini penting untuk menyokong proses pembuatan ubat, kestabilan ubat, bioavailabiliti atau penerimaan pesakit.
3. Apakah kesan kepada seseorang yang mengambil paracetamol dalam dos berlebihan?
Pengambilan paracetamol yang melebihi dos boleh membebankan perut. Selain itu ia juga membebankan hepar dan buah pinggang kerana perlu bekerja keras memproses ubat berkenaan.
Ini disebabkan kandungan acetaminophen dalam pil tadi akan melalui proses metabolism di hepar dan dikumuhkan daripada badan melalui buah pinggang yang mana kedua-dua organ ini terpaksa bertindak secara berlebihan sekiranya kandungan paracetamol diambil melebihi dos ditetapkan.
4. Boleh Puan terangkan cara dan waktu yang tepat untuk mengambil paracetamol.
Sebaiknya ia dimakan selepas makan untuk elakkan kerengsaan perut.
5. Adakah terdapat kesan sampingan sekiranya pengambilan paracetamol dijadikan sebagai amalan seharian meskipun seseorang itu makan pada jarak masa yang disarankan?
Tiada kesan sampingan sekiranya ia diambil mengikut sukatan dos yang ditetapkan. Dos maksimum orang dewasa adalah 4gm dalam masa 24 jam. Namun dalam jangka masa panjang, sekiranya diamalkan dengan begitu kerap boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sesak nafas, anemia dan keletihan.
Bahkan ia juga boleh menyebabkan kerosakan hepar dan kegagalan buah pinggang. Tidak digalakkan pengambilan paracetamol melebihi 10 hari beturut-turut bagi orang dewasa dan melebihi lima hari berturut-turut bagi kanak-kanak.
6. Adakah terdapat golongan tertentu yang tidak dibenarkan mengambil paracetamol?
Terdapat beberapa golongan yang dilarang mengambil ubat berkenaan iaitu:
- Mereka yang mengalami alahan kepada paracetamol.
- Mereka yang mempunyai masalah hepar dan buah pinggang.
- Bagi kumpulan pesakit darah tinggi harus elak makan Panadol Actifast dan Panadol Soluble kerana kandungan ion garamnya tinggi.
- Bagi kumpulan perokok, ibu hami, ibu menyusu dan mereka yang caffeine addict tidak dibenarkan megambil Panadol Extra berikutan kandungan kafein dalam pil tersebut.
- Panadol Menstrual khas untuk kaum wanita sahaja yang mempunyai masalah sakit semasa haid.
7. Kebanyakan paracetamol disarankan untuk diambil selepas makan, apakah terdapat risiko sekiranya seseorang itu mengambil ubat berkenaan ketika perut kosong?
Paracetamol boleh dimakan semasa perut kosong. Namun digalakkan ambil selepas makan untuk elakkan kerengsaan perut.
8. Tips terbaik untuk makan pelbagai jenis ubat dengan selamat.
- Sentiasa baca label dan patuh pada arahan pemakanan ubat. Selain dos, waktu pengambilan ubat juga perlu dipatuhi. Ada ubat yang jenis sama tapi dos berbeza. Jadi pastikan dos yang diambil betul. Sebaiknya makan ubat pada waktu yang sama setiap hari supaya kandungan ubat dalam darah sentiasa berada di paras optimum. Barulah kesannya lebih efektif.
- Contoh:
- 2x sehari – makan ubat pada pukul 8am dan 8pm
- 3x sehari – makan ubat pada pukul 7am, 3pm, 11pm
- Boleh terawal atau terlewat dalam jangkamasa 30 minit, dan pastikan ubat di simpan di tempat yang dinyatakan pada label. Ini untuk memastikan kualiti dan efikasi ubat terjamin dan tidak cepat rosak.
- Contoh:
- Beri perhatian pada amaran-amaran yang diberikan oleh ahli farmasi.
- Contoh: ubat antibiotik perlu di makan hingga habis untuk pastikan kuman betul-betul mati.
- Baki ubat titis mata perlu dibuang selepas 30 hari di buka.
- Ubat tahan sakit jenis NSAID perlu dimakan selepas makan untuk mengelakkan risiko pendarahan pada saluaran gastrousus.
- Beritahu ahli farmasi sekiranya anda ada mengambil ubat-ubatan lain, selain yang dipreskrib oleh doktor. Interaksi ubat-ubat boleh berlaku diantara ubat yang dipreskrib dan suplemen atau ubat tradisional. Mesti ambil tahu apa yang kita makan sebab kesannya diri kita yang tanggung. Jika ada berlaku kesan sampingan, doktor senang beri rawatan segera.
- Dapatkan rawatan dari satu klinik atau ambil semua ubat dari satu farmasi sahaja. Ini untuk memastikan rekod ubat-ubatan kita tepat dan mudah untuk disemak.
- Pastikan guna ubat atau suplemen yang lulus KKM, BKKM atau MDA, ada sijil Halal lagi bagus.
- Jika terlupa atau tertinggal dos, jangan gandakan dos. Makan ubat bila ingat dengan dos yang ditetapkan sahaja.
9. Apakah selamat atau ada kesan sampingan bagi mereka yang mengambil paracetamol kerana tidak sihat, dan juga suplemen tambahan dalam masa yang sama?
Ia dibenarkan namun kaedah pengambilan kedua-duanya perlu dijarakkan sekurang-kurangnya dua jam bagi mengelakkan sebarang interaksi ubat.
10. Apakah benar bahawa ada ubat-ubatan yang diambil tidak dihadam dengan betul dan akan ‘tinggal’ lama di dalam perut kita?
Apa yang kita makan akan dikeluarkan atau dikumuhkan daripada badan. Ini melibatkan situasi organ perkumuhan yang sihat seperti hepar atau buah pinggang normal.
Namun, penggunaan ubat jangka panjang mungkin boleh memberi beban kepada hepar dan buah pinggang untuk bekerja lebih keras dibandingkan semasa organ sihat/normal. Jadi nasihat saya, apabila makan ubat atau suplemen, pastikan minum air putih yang cukup supaya saki baki ubat atau supplemen dikeluarkan sepenuhnya dari badan.
Kurangkan atau elakkan minum air manis yang berlebihan. Selain itu, digalakkan untuk setiap individu menjalani saringan pemeriksaana hepar dan buah pinggang untuk tempoh setiap enam bulan.
Untuk pelbagai tips kesihatan oleh pakar yang lain, boleh klik di SINI!