KelabMama

Seronok Sekejap, Menyesal Selamanya – Bahaya Mercun!

bahaya mercun kepada anak-anak

Setiap kali menjelang Aidilfitri, suasana kampung dan bandar mula dimeriahkan dengan gelak tawa kanak-kanak bermain mercun, tanpa menyedari bahaya mercun yang mengintai.

Bagi mereka, mercun seolah-olah menjadi simbol kemeriahan raya, sama seperti ketupat dan rendang.

Namun, di sebalik keseronokan ini, ada risiko besar yang sering diabaikan oleh Mama Papa, yang boleh membawa kecederaan serius atau lebih buruk lagi.

Kes kecederaan akibat mercun bukanlah perkara baharu, malah setiap tahun pasti ada kes kanak-kanak mengalami kecederaan akibat mercun yang meletup secara tiba-tiba.

Tidak cukup dengan itu, mercun juga boleh mencetuskan kebakaran dan membahayakan nyawa orang lain. Tapi apakah Mama Papa mahu Aidilfitri yang sepatutnya penuh keceriaan bertukar menjadi tragedi?

Hukum Bermain Mercun dalam Islam

Dalam Islam, sebarang perbuatan yang boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain adalah ditegah.

Malah, Rasulullah SAW melarang perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain:

“Tidak boleh ada kemudaratan pada diri sendiri dan tidak boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Dari sudut undang-undang, kerajaan Malaysia juga telah mengharamkan penggunaan mercun yang tidak dikawal. Mereka yang menjual atau memiliki mercun boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan hukuman penjara.

Bahaya Mercun kepada Kanak-kanak

1. Kecederaan Serius kepada Kanak-kanak

Kredit Gambar: Astro Awani

Mercun bukan sekadar mainan biasanya bahan letupan kecil yang boleh mencederakan anak kalau tersilap langkah. Setiap tahun, ada banyak kes kanak-kanak mengalami kecederaan akibat bermain mercun.

Luka bakar, putus jari, atau lebih teruk lagi ada yang kehilangan anggota badan, semua ini boleh berlaku kalau mercun meletup terlalu dekat dengan mereka.

Selain itu, serpihan mercun yang berterbangan boleh menyebabkan kecederaan pada mata dan muka. Jika terkena mata, risiko buta pun ada, Mama Papa tak boleh ambil mudah bila anak-anak bermain mercun.

2. Risiko Kebakaran yang Boleh Berpunca dari Mercun

Kredit Gambar: Kosmo

Mercun yang menyala dan tercampak ke arah bahan mudah terbakar seperti baju, langsir, atau rumput kering boleh menyebabkan kebakaran.

Lebih membimbangkan jika anak-anak menyalakan mercun di dalam rumah atau kawasan yang tidak selamat. Baru-baru ini, ada kes rumah musnah dalam kebakaran hanya kerana percikan api daripada mercun, membuktikan betapa besarnya bahaya mercun jika tidak dikawal.

3. Bunyi Mercun Menyebabkan Trauma kepada Kanak-kanak

Bukan semua kanak-kanak sukakan bunyi mercun. Ada yang takut sehingga boleh mengalami trauma terkejut dengan bunyi mercun yang kuat.

Lebih-lebih lagi bagi bayi dan kanak-kanak kecil, bunyi mercun yang berdentum tanpa henti boleh menyebabkan mereka menangis ketakutan dan mengalami kesan jangka panjang seperti fobia terhadap bunyi bising.

4. Gangguan Pernafasan

Asap mercun mengandungi bahan kimia seperti sulfur dan nitrat yang boleh mencetuskan batuk, sesak nafas, atau iritasi pada hidung dan tekak, terutama bagi kanak-kanak yang ada asma atau alahan.

Bau asap yang kuat juga boleh menyebabkan pening dan ketidakselesaan, lebih-lebih lagi jika terhidu dalam tempoh yang lama.

Jika mercun dimainkan di kawasan tertutup atau berhampiran rumah, asapnya boleh terkumpul dan mencemarkan udara, sekali gus menjejaskan pernafasan ahli keluarga lain.

Mama Papa pastikan anak-anak bermain di kawasan terbuka dengan pengudaraan yang baik dan jauh dari orang yang mudah terkesan dengan asap.

Pantau Anak-anak Bila Bermain Bunga Api

  1. Pilih mercun yang selamat – Pilih bunga api atau mercun pop yang lebih terkawal. Elakkan mercun bola, roket atau mercun buatan sendiri yang berisiko meletup secara tidak dijangka.
  2. Sentiasa awasi anak – Jangan biarkan mereka bermain mercun tanpa pemantauan. Pastikan mereka berada di kawasan lapang, jauh dari rumah, kereta, dan bahan mudah terbakar.
  3. Ajar anak tentang bahaya mercun – Jangan hanya melarang, tapi terangkan dengan cara yang mudah supaya mereka faham risiko kecederaan jika bermain mercun dengan cuai.
  4. Pastikan anak tidak mengubah suai mercun – Ada kanak-kanak yang suka bereksperimen dengan mercun, seperti mengikat beberapa mercun sekali gus.
  5. Elakkan mercun haram atau tiada label keselamatan – Jangan beli mercun yang dijual secara haram atau tanpa label keselamatan kerana ia lebih berisiko meletup tanpa kawalan.

Aidilfitri adalah masa untuk bergembira, tetapi jangan sampai kegembiraan itu bertukar menjadi tangisan. Jangan biarkan anak-anak kita menjadi mangsa mercun hanya kerana mahukan hiburan sementara.

Ingatlah, keseronokan bermain mercun hanya sekejap, tetapi kesannya boleh membawa penyesalan sepanjang hayat. Raya tetap boleh meriah tanpa mercun, kerana keselamatan lebih penting daripada hiburan seketika.

Jadi, sebagai ibu bapa, marilah kita bersama-sama mendidik anak-anak tentang bahaya mercun dan memastikan mereka meraikan Aidilfitri dengan cara yang lebih selamat dan bermakna.


Mama nak cuba buat pencuci mulut agar-agar santan? Klik di SINI.