Jika Mama seorang yang aktif dan suka aktiviti outdoor ataupun pencinta haiwan terutamanya kucing, Mama kena berhati-hati tau! Dalam diam ada binatang yang hinggap pada kita sampai kita boleh demam iaitu kutu babi. Mama pernah dengar tentang kutu babi atau orang panggil cikenit?
Ikuti perkongsian di media sosial Twitter, Dr Kamarul menjelaskan bahawa apa sebenarnya serangga ini dan apa akan jadi jika dibiarkan.
Serangga Apa Yang Hinggap Ni?
“Doktor, telinga saya ada tumbuh benda hitam ni. Sakit dia, berdenyut-denyut. Rasa macam bisul.”
Apabila saya periksa, rupanya ada sejenis kutu yang melekat di cuping telinganya. Kutu ini dikenali sebagai kutu babi, sengkenit (cikenit), atau tempiras(pirah).
Kutu ini adalah sejenis parasit luaran kecil. Ia menggigit kulit hos dan melekat di situ untuk jangka masa lama untuk menghisap darah. Setelah menghisap darah, saiznya berganda.
Parasit ini biasanya hidup pada tubuh haiwan liar dan peliharaan seperti burung, kucing, anjing, tikus, dan kemudiannya berpindah kepada manusia. Mungkin juga dari persekitaran.
Sekiranya anda ada ke kawasan hutan, belukar, kebun, atau ada menyentuh haiwan, maka anda disarankan memeriksa tubuh anda. Kutu babi lazimnya menggigit manusia di anggota berikut:
- Kelopak mata
- Kulit epala
- Cuping/Lubang telinga
- Ketiak/Kelengkang
- Pusat
Kutu yang telah menghisap darah berupa buntil kelabu kehitaman, dan permukaannya berkilat. Kadang kala, di sekitar kutu itu melekat, terdapat butir-butir hitam yang kecil. Itu adalah najis kutu berkenaan.
Apabila kutu babi ini menggigit serta melekat pada anggota tubuh, maka kulit di kawasan itu akan terasa sakit, merah dan bengkak. Kadang kala menyebabkan demam, lesu dan ruam.
Komplikasi Serius Akibat Jangkitan Kutu Babi
Jika tidak dibuang dengan segera, beberapa komplikasi serius boleh berlaku kerana air liur kutu ini kadang kala mengandungi kuman-kuman berbahaya. Antara komplikasinya:
- Lyme disease
- Facial palsy (lumpuh muka)
- Hepatomegaly (bengkak hati)
- Kematian
Bahaya, kan?
Oleh itu, kita perlu kenali kutu ini, periksa tubuh setelah lakukan aktiviti di kawasan belukar serta melibatkan haiwan, dan berjumpa doktor jika digigit kutu babi.
Ngerinya tengok kutu babi ini! Menurut laporan Harian Metro, terdapat juga mereka yang dijangkiti juga mengadu mereka ada simptom-simptom seperti dibawah:
- Demam
- Sakit otot (mialgia)
- Pening
- Sakit leher
- Sakit belakang
- Sakit kepala
- Sakit mata
- Sensitif kepada cahaya (fotofobia)
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Sakit di bahagian abdomen
- Sakit tekak
- Perubahan emosi serta kekeliruan
Bahaya betul! Pastikan Mama dapatkan rawatan secepat mungkin jika nampak kutu ni di anggotakan badan! Jika dijangkiti, cepat-cepat bersihkan tempat yang terkena kutu ini seperti tips diatas ya!
Jaga diri ya Mama~