KelabMama

10 Bahan Yang Anak-anak Akan Kuis, Tapi Pasti Tertarik Dengan Cadangan Hidangan Ini

Dalam menghadapi perubahan selera dan kehendak anak-anak, apa yang lebih penting adalah Mama dan Papa jangan terlalu melayani kemahuan mereka untuk makan yang bukan-bukan sehingga si kecil berani menetapkan makanan pilihan mereka semata-mata.

Ini akan lebih memburukkan keadaan kerana bimbang dalam meniti usia remaja kelak, anak-anak mulai menolak makanan berkhasiat. Sebab itulah wujud golongan remaja pada hari ini yang tidak suka makan nasi.

Mereka nak makan burger, goreng stock nugget dalam fridge, kudap jajan bagi mengelakkan kelaparan. Makanan seumpama jika diamalkan adalah sangat bahaya untuk kesihatan.

Jadi bagaimana nak pastikan anak dapat khasiat dalam makanan yang sihat sedangkan mereka tolak mentah-mentah? Jom lihat 10 jenis bahan atau sayuran yang kebiasaannya kanak-kanak reject, namun mempunyai nutrisi cukup tinggi.

Dalam entry sama, Mama Siti juga akan selitkan cadangan hidangan untuk ajar mereka makan makanan yang ‘dibenci’ ini.

1. Peria

Bak kata pepatah, pahit itu penawar. Makanan paling ramai dibenci bukan setakat kanak-kanak, malah orang dewasa juga. Ternyata peria mempunyai khasiat sangat baik untuk tubuh.

Menurut laporan oleh Berita Harian, peria mengandungi momordicin glikosida bukan toksik, yang memberikan kepahitan dan bermanfaat untuk kesihatan. 

Dikatakan rasa pahit itu baik untuk perut. Ini kerana pengambilan peria mengaktifkan perut untuk merembeskan enzim pencernaan dan melegakan sakit perut disebabkan makan berlebihan.

Ia tinggi dengan antioksidan, vitamin dan mineral. Selain itu, peria katak mengandungi nutrien seperti zat besi, kalium, dan vitamin A dan C. 

Ia juga mengandungi dua kali ganda kalsium yang terdapat dalam bayam dan dua kali ganda beta-karotena yang terdapat dalam brokoli. Turut terkandung adalah sejumlah antioksidan dan sebatian antiradang.

Sifat antiradang ditunjukkan dapat membantu masalah gangguan sendi. Vitamin A, salah satu daripada banyak vitamin dan mineral yang terdapat dalam sayur-sayuran meningkatkan penglihatan dan mencegah masalah mata.

Menurut kajian, ia mempunyai nilai pemakanan yang lebih tinggi berbanding labu dan timun kerana kandungan mineral dan vitamin yang tinggi ini.

Antara lain khasiat peria adalah mengurangkan gula dalam darah, membantu mengurangkan tahap kolestrol, baik untuk kulit dan rambut, memperbaiki sistem penghadaman serta nutrien baik seperti magnesium, kalsium, fosforus dan ia membantu meningkatkan kesihatan tulang secara keseluruhan dan memudahkan pertumbuhan jisim tulang.

Cadangan hidangan peria untuk si kecil:

Mama boleh buatkan juadah ini sebagai snek harian mereka. Potong peria nipis-nipis, lumurkan dengan garam bagi tujuan hilangkan sedikit kelat.

Cuci semula peria dan gaul dengan tepung jagung, serbuk kunyit dan sedikit garam. Goreng hingga rangup dan jadikan ia sebagai kudapan untuk anak.

2. Telur

Mama Siti yakin tak semua kanak-kanak suka makan telur. Mungkin ada yang gemar, namun tak kurang juga yang menolak. Menurut perkongsian oleh Dr Mazliana Mazlan, telur salah satu makanan mengandungi omega 3 yang mana nutirisi ini penting untuk memori seorang kanak-kanak.

Menurut beliau, sumber khasiat itu membantu menajamkan otak dimana ia boleh membantu menguatkan ingatan termasuklah menyerap pelbagai ilmu dalam pembelajaran mereka.

See, pentingkan amalan makan telur ini? Kalau nak anak pandai dan tajam ingatannya, banyakkan bagi telur yerr Mama jika mereka tiada pantang untuk makan menu ini.

Cadangan hidangan telur untuk si kecil:

Cara 1– Masukkan telur dalam sup sayur, sup ayam atau sebagainya. Mama boleh kacau telur tadi agar ia larut bersama kuah sup.

Cara 2 – Goreng makanan kegemaran anak seperti ayam, ikan dan sebagainya, tapi Mama boleh gunakan telur untuk coating makanan yang mahu digoreng tadi.

Cara 3 – Jika Mama masak nasi goreng, sayur goreng atau seumpamanya, masukkan telur dan hancurkan dalam kuali. Nanti bila suap anak, selitkan sekali telur hancur tadi. Kalau anak tak suka rasanya, Mama boleh letak sembunyi dalam nasi dengan kuantiti yang sangat sedikit.

Ingat yerr Mama, jika anak anda tiada allergy makan telur, Mama cuba ajar mereka untuk makan sedikit demi sedikit. Buat anak rasa suka dengan makanan yang satu ini kerana nutrisinya sangat baik untuk mereka.

3. Kacang Panjang

Antara sayuran yang sesuai untuk dibuat kudapan. Namun kana-kanak sukar terima makan kacang panjang lebih-lebih lagi jika mentah.

Memetik laporan Kumparan Mom, dalam kandungan 100 gram kacang panjang terdapat 47 kalori, empat miligram sodium, lapan gram karbohidrat, dan 3 gram protein tanpa lemak serta kolesterol.

Selain itu, kacang panjang juga mengandung nutrisi lain seperti vitamin B1, vitamin B2, fosfor, besi, riboflavin, pektin, dan serat yang tentunya bagus untuk pencernaan si kecil.

Vitamin C yang terkandung juga berperan penting untuk pertumbuhan ligamen, pembuluh darah, dan otot tendon bagi bayi. Manfaat lain adalah mencegah diabetes, untuk kesihatan jantung, baik terhadap sistem pencernaan, kesihatan tulang bayi dan mencegah anemia.

Cadangan hidangan kacang panjang untuk si kecil:

Cara 1Coating kacang panjang dengan tepung gandum serta sedikit tepung beras. Goreng deep fried sehingga crispy ala-ala tempura.

Cara 2 – Potong kecil kacang panjang dan masukkan dalam hidangan telur dadar atau nasi goreng. Mungkin bila digoreng kecil-kecil, ia tak menjejaskan rasa keenakan makanan anak tadi.

4. Taugeh

Ini pun antara sayur yang ramai kanak-kanak tak gemar mungkin kerana rasa dan teksturnya yang tidak menarik. Kalau ia dimasak dalam hidangan, confirm penuh bersusun di tepi pinggan. Ish, rugi tu!

Tahukah Mama, pelbagai khasiat boleh diperoleh daripada sayuran kecil ini? Menurut laman web Hello Doktor, sayur taugeh mempunyai dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging lembu atau ayam.

Antara kebaikannya adalah ia mampu meningkatkan kesuburan terutamanya lelaki yang sangat memerlukan protein untuk menghasilkan hormon untuk tujuan kesuburan.

Selain itu, berbanding sayur-sayuran lain, taugeh mengandungi 100 kali ganda enzim. Ia sangat penting untuk fungsi tubuh badan terutamanya untuk proses pencernaan. Enzim mampu membantu individu yang mempunyai masalah penghadaman dan perut kembung.

Dalam pada itu, taugeh juga baik untuk fungsi penghadaman kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi. Serat ini akan membantu meleraikan lemak dan toksin dalam tubuh badan lalu mengeluarkannya.

Ini sekali gus dapat membantu mengawal berat badan. Malah, taugeh juga kaya antioksidan dan asid amino yang mampu memberikan pelbagai kebaikan. Antaranya yang penting adalah melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak.

Dalam masa yang sama, makan taugeh juga sebenarnya adalah amalan awet muda yang sangat bagus untuk diikuti.

Selain itu, taugeh juga sangat kaya dengan asid lemak. Kebanyakan individu tidak mendapatkan asid lemak omega-3 kerana hanya bergantung kepada makanan laut atau telur sahaja.

Oleh itu, tidak salah rasanya jika anda mengambil taugeh sebagai alternatif, bukan?

Paling penting, taugeh sebenarnya sangat kaya dengan vitamin seperti vitamin A, C, E dan pelbagai lagi dalam keluarga vitamin B. Vitamin-vitamin ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan tubuh badan si kecil Mama.

Cadangan hidangan taugeh untuk si kecil:

Cara 1– Buat olahan dengan menghasilkan popia sayur. Masuk sedikit taugeh bersama kentang dan campuran daging atau ayam.

Cara 2 – Goreng telur dadar bersama sedikit campuran sayur taugeh.

5. Ikan Bilis

Pasti ramai ibu bapa mengakui kebaikan ikan bilis. Iyalah, makanan ini kan asing dikalangan Mama sebab anak-anak dah mulai diperkenalkan dengan ikan bilis sejak daripada bayi lagi bukan. Namun, semakin membesar, kanak-kanak mulai beralih selera dan tak gemar lagi dengan ikan bilis.

Walhal, dalam ikan kecil ini terdapat manfaat yang besar tau. Antaranya selenium, polyunsaturated asid lemak, kalium, vitamin A, D dan E serta kalsium dan protein.

Kesemua nutrisi ini berfungsi untuk kebaikan jantung, mencegah arteri daripada tersumbat dan mengekalkan saluran darah dalam keadaan sihat. Ini adalah sangat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung dan mencegah strok.

Selenium juga memastikan bahawa fungsi-fungsi tiroid dalam keadaan normal dan mengekalkan kesihatan sel-sel dalam badan.

Kajian terbaru menunjukkan bahawa jumlah selenium yang cukup dalam badan dapat mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser seperti kanser kulit, paru-paru, prostat dan perut.

Selain itu, kandungan vitamin kuasa iaitu A, D dan E berfungsi untuk kesihatan tulang, kulit, tubuh dan minda serta sistem imun dengan bertindak sebagai antioksidan yang kuat.

Seperti kebanyakan ikan dan lain-lain daging alternatif tanpa lemak, ia adalah sumber yang kaya dengan protein dan kalsium.

Pengambilan protein yang mencukupi memastikan otot dan tisu anak Mama kekal dalam keadaan yang baik. Pengambilan kalsium juga perlu bagi memastikan tulang mereka tetap kuat.

Struktur rangka tulang yang sihat dapat mengurangkan ancaman osteoporosis.

Cadangan hidangan ikan bilis untuk anak Mama:

Cara 1Blend halus ikan bilis yang telah digoreng dan taburkan dalam makanan seperti bubur, jemput-jemput atau lauk-pauk mereka

Cara 2 – Rendam ikan bilis dalam air kosong untuk tempoh empat ke lima jam bagi tujuan mengurangkan rasa masin. Kemudian, goreng deep fried dan jadikan ia sebagai snek si kecil. Mungkin rasanya boleh diterima berikutan tak terlampau masin, hanya rangup dan rasanya seakan kudap keropok ikan.

6. Bawang

Bawang putih dan bawang merah, kedua-duanya mempunyai khasiat besar dalam tubuh. Bukan setakat penyedap rasa, tapi ia ada manfaat untuk kesihatan termasuklah sebagai agent penyembuhan yang mana sangat baik untuk dimakan bila anak tak sihat.

Mungkin kalau Mama beri bawang semata-mata, confirm mereka tolak. Tapi cuba masak dalam hidangan, barulah berselera kan?

Namun, ada sesetengah anak-anak sanggup mengasingkan bawang daripada pinggan. Ish rugi tu sayang!

Berdasarkan perkongsian blog kesihatan Makanan Anda, mereka mendedahkan bahawa keluarga bawang termasuklah bawang putih, sayur, chives dan daun bawang kaya dengan sebatian organosulfur yang berupaya membantu untuk mencegah kanser. 

Malah, ekstrak bawang didapati mampu memusnahkan sel-sel tumor dalam tiub ujian dan menangkap pertumbuhan tumor berdasarkan sel-sel tumor yang telah ditanam pada tikus.

Ekstrak bawang telah dibuktikan untuk menjadi luar biasa tanpa toksik, kerana dos setinggi 40 kali ganda daripada dos yang diperlukan mampu membunuh sel-sel tumor selain tidak mempunyai kesan buruk kepada tubuh.

Kalau nak bercerita tentang khasiat bawang sebenarnya sangatlah panjang tau! Yang penting, Mama kena ajar anak untuk makan makanan semulajadi ini dan Mama sendiri pun digalakkan untuk masak lauk-pauk dengan masukkan banyak bawang.

Nak tips untuk anak gemar makan bawang? Senang je, Mama masak apa-apa bersama campuran bawang tak kiralah sama ada di blend atau tumbuk, secara tak langsung lauk-pauk tadi dah jadi menu berkhasiat.

Yang penting, jaga kandungan kalori daripada bahan lain yang Mama campurkan dalam masakan tadi.

7. Salad

Sayuran yang kebiasaannya dimakan mentah sekaligus menimbulkan rasa pahit yang sangat ketara. Ini juga menyebabkan salad sering disisihkan oleh kanak-kanak apabila diasingkan ke tepi sekiranya sayur ini ditemui dalam hidangan burger dan sebagainya.

Betul tak? Bagaimanapun, salad adalah makanan terbaik khususnya kanak-kanak.

Berdasarkan perkongsian daripada Root Of Science, laman web itu mendedahkan berkenaan kajian yang dijalankan ke atas model haiwan dan mendapati salad berupaya menurunkan kadar kolesterol keseluruhan serta kadar kolesterol buruk.

Ini kerana komponen di dalam daun salad dapat mengurangkan penyerapan kolesterol dan meningkatkan perkumuhan asid hempedu. Bagi menghasilkan asid hempedu yang baharu, organ hati perlu menggunakan kolesterol lantas menurunkan paras kolesterol sedia ada di dalam darah.

Selain itu, antara kandungan penting seperti vitamin dan mineral turut membantu membina kesihatan mata dan tulang. Salad juga boleh menurunkan paras gula, berfungsi sebagai anti-radang, anti-oksida serta keupayaannya mencegah kanser.

Cadangan hidangan salad untuk kanak-kanak:

Racik sayur salad secara halus dan gaulkan bersama inti sandwich yang Mama hasilkan sendiri. Kemudian sapu di atas roti untuk dijadikan sebagai breakfast.

8. Tomato

Mungkin ramai kanak-kanak tak gemar jika tomato dimakan secara terus dan mentah. Namun, buah yang satu ini boleh dimasak dengan pelbagai kaedah bagi memastikan anak Mama turut memperoleh nutrisi.

Menurut blog kesihatan Makanan Anda, tomato mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan penting seperti vitamin C dan Vitamin A. Vitamin bekerja untuk membaiki kerosakan DNA daripada radikal bebas.

Oleh yang demikian, tomato boleh membantu mencegah penyakit berkaitan usia seperti aterosklerosis dan kencing manis.

Selain itu, buah ini juga mampu mengurangkan risiko penyakit jantung kerana mengandungi pelbagai nutrien penting seperti niasin, folat dan vitamin B6.

Nutrien inilah yang telah dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung.

Satu kajian mendapati bahawa wanita yang makan tujuh ke 10 hidangan tomato seminggu mempunyai risiko 29 peratus lebih rendah daripada mendapat penyakit kardiovaskular berbanding wanita yang dimakan kurang dari hidangan setengah produk tomato setiap minggu.

Satu lagi kajian menunjukkan bahawa minum 8 auns jus tomato setiap hari dapat mengurangkan agregasi platelet dengan ketara.

Adalah penting untuk minum rendah natrium jus tomato jika anda cuba untuk melindungi daripada trombosis (pembekuan darah dalam salur darah), tahap natrium sebagai tinggi boleh menyebabkan kesan negatif untuk jenis penyakit.

Selain itu, satu kajian double blind mendapati bahawa minum segelas jus tomato sehari boleh mengurangkan tahap darah TNF -alpha sebanyak 34 peratus. TNF-alpha adalah penyebab kepada keradangan.

Tahap yang tinggi telah ditemui pada individu dengan yang paling kronik, penyakit degeneratif seperti penyakit jantung, kanser, osteoporosis dan Alzheimer.

Cadangan hidangan tomato untuk kanak-kanak:

Cara 1 – Sediakan menu masakan berlado. Dalam menu berkenaan, buah tomato akan dikisar bersama bawang dan cili. Jika nak manfaat lebih, Mama boleh tambahkan jumlah tomato yang banyak ke dalam bahan tumisan tadi.

Cara 2 – Blend tomato untuk hidangan spaghetti bolognese.

9. Sawi

Mama mesti akur dengan manfaat sawi. Masakan tidak, inilah antara sayur yang sentiasa dihidang sepanjang Mama berpantang, bukan?

Namun, sebahagian besar mungkin tak tahu apa kebaikan memakan sayur sawi hingga ia menjadi menu popular untuk penyembuhan ibu yang baru lepas bersalin. Malah, sawi juga antara sayur popular yang sering disisihkan oleh kanak-kanak.

Manfaat kesihatan penting yang dikaitkan dengan sawi ialah kebolehannya membantu dalam penghadaman makanan. Sekiranya ada masalah sukar nak buang air besar sampai berhari-hari, cubalah sawi.

Ia mempunyai kandungan vitamin A, vitamin C , beta- karotena , kalsium dan serat. Sayur-sayuran berdaun hampir tiada lemak , kalori  yang rendah, dan karbohidrat yang rendah.

Apa yang penting ia mengandungi banyak kalium dan vitamin B6. Sesetengah vitamin yang terdapat dalam sawi juga adalah agen antioksidan yang kuat sebagai pencegah kanser.

Jumlah  beta- karotena yang banyak wujud dalam sawi boleh membantu untuk mengurangkan risiko kanser tertentu. Beta- karotena juga telah dikenali untuk mengurangkan risiko katarak mata.

Malahan sawi juga merupakan sumber asid folik dan zat besi yang penting untuk pembinaan sel darah merah.

Cadangan hidangan sawi kepada si kecil:

Mama boleh potong kecil daun sawi dan masak bersama sup atau nasi goreng. Mungkin kaedah ini membuatkan anak Mama kurang rasa pahit sawi tadi sekaligus boleh terima untuk dimakan.

10. Lobak Putih

Selain sawi, lobak putih juga sangat popular untuk dimakan oleh ibu-ibu berpantang. Namun, sayuran ini sangat jarang diperkenalkan Mama dan Papa kepada anak masing-masing.

Walhal ia mengandungi pelbagai khasiat untuk seluruh tubuh sama ada dalaman atau luaran.

Lobak putih mengandungi fitokimia yang mempunyai ciri-ciri anti-karsinogenik. Selain itu juga mempunyai vitamin C yang membantu menjaga tubuh dan sel-sel yang sentiasa sihat, sekali gus mencegah pertumbuhan sel-sel kanser.

Malah, sayuran ini turut membantu memastikan tekanan darah normal dan stabil kerana ciri-ciri anti-hipertensi yang membantu dalam mengawal tekanan darat tinggi.

Selain itu, kandungan kalium sangat membantu dalam menangani kesan buruk akibat tekanan darah yang tinggi akibat pengambilan sodium(garam) yang berlebihan.

Lobak putih juga adalah hidangan yang sangat sesuai diambil ketika demam. Ia mempunyai ciri-ciri anti-kongestif yang membantu dalam merembes mukus pada tekak.

Selain itu, lobak juga meningkatkan daya imuniti anak Mama yang berguna untuk melawan jangkitan yang membawa kepada demam dan batuk.

Cadangan hidangan lobak putih kepada anak Mama:

Kebiasaannya ia dimasak dalam sup dan mempunyai rasa yang sesuai kepada kanak-kanak. Mama harus mula perkenalkan sayuran lobak putih ini bagi menggalakkan mereka menggemarinya.


Dapatkan pelbagai tips pemakanan untuk anak-anak Mama di SINI!


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.