Masalah sembelit atau functional constipation (FC) merupakan salah satu gangguan gastrousus yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak, dan didefinisikan sebagai kesukaran membuang air besar yang disebabkan oleh punca lain selain daripada punca organik.
Menurut Dr Simon Foo Hee Wei, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), penyakit ini mempunyai kelaziman di seluruh dunia sebanyak 9.5% dan menyumbang 95% daripada kes sembelit kanak-kanak sihat yang berumur setahun ke atas.
Walaupun sembelit sering dianggap sebagai masalah kecil, FC yang tidak dirawat boleh membawa kepada pelbagai komplikasi gastrousus yang serius seperti koyakan pada kolon dan jangkitan saluran kencing.
Komplikasi ini boleh memberikan kesan terhadap tumbesaran dan kualiti hidup kanak-kanka. Oleh itu, mengenali dan mempelajari cara terbaik untuk mengurus FC adalah penting untuk memastikan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak.
Memahami Sembelit pada Kanak-kanak
Walaupun terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada FC, ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak amat terdedah untuk mendapat masalah sembelit semasa fasa utama kehidupan mereka, seperti ketika tempoh pengenalan makanan pepejal (usia 6 bulan hingga setahun), permulaan latihan menggunakan tandas (2 hingga 3 tahun) dan juga ketika memulakan tadika (3 hingga 5 tahun).
Dr Foo menjelaskan bahawa fasa ini merupakan tempoh penting kerana kanak-kanak mungkin boleh mendapat sembelit semasa tempoh latihan menggunakan tandas disebabkan tekanan mempelajari rutin baru.
Selain daripada itu, faktor psikologi seperti tekanan, kebimbangan atau trauma juga boleh mencetuskan masalah sembelit.
Sebagai contoh, kebimbangan yang datang dengan perubahan persekitaran seperti tandas sekolah yang tidak bersih boleh menyebabkan kanak-kanak mengelak daripada menggunakan tandas lalu mengakibatkan mereka menahan diri dari membuang air besar.
Hal ini seterusnya boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami sembelit yang semakin teruk serta berada dalam kesakitan dan tekanan.
Sembelit juga boleh disebabkan oleh kekurangan serat dan cecair dalam diet atau masalah intoleransi laktosa terhadap susu lembu. Peralihan daripada susu ibu kepada susu lembu boleh menyebabkan masalah sembelit pada sesetengah bayi yang seterusnya boleh menyebabkan rekahan dubur (anal fissure) akibat najis yang besar dan keras.
Untuk mengenal pasti jika anak anda mempunyai intolerasi terhadap susu lembu atau apa-apa jenis alahan makanan lain, doktor akan mengesyorkan kaedah penyingkiran alergen dua minggu, di mana ibu bapa tidak memasukkan alergen (makanan) yang disyaki ke dalam rutin diet si anak.
Sekiranya keadaan anak bertambah baik, ini menunjukkan bahawa anak tersebut mempuyai intoleransi terhadap alergen tersebut.
Sembelit sekali-sekala adalah perkara biasa dan kebiasaannya tidak akan menimbulkan kebimbangan. Namun, para ibu bapa harus berwaspada dengan tanda amaran FC seperti sakit perut dan kembung perut yang berterusan, kurang selera makan, penurunan berat badan atau ketidakupayaan untuk mengawal kencing.
Pencegahan dan Pengurusan Sembelit dalam Kanak-Kanak
Memahami sembelit dan punca penyebabnya adalah langkah pertama untuk ibu bapa menguruskan keadaan dengan berkesan.
Ibu bapa dan pengasuh harus mengekalkan dan memastikan komunikasi secara terbuka bukan sahaja dengan pakar perunding kanak-kanak tetapi juga dengan anak-anak mereka sendiri. Ini boleh memupuk pemahaman yang lebih baik tentang keadaan kanak-kanak dan sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.
Komunikasi sedemikian amat dihargai oleh pakar perubatan profesional untuk menawarkan nasihat yang tepat dan plan rawatan yang disesuaikan dengan keperluan setiap kanak-kanak. Pemantauan simptom juga menjadi lebih berkesan apabila semua pihak mempunyai maklumat yang mencukupi dan bersifat proaktif.
Walaupun spesifikasi penyakit sembelit mungkin berbeza mengikut kes, Dr Foo mencadangkan untuk mengikut garis panduan umum untuk memastikan anak mempunyai kekerapan membuang air besar sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan tanpa mengalami proses membuang air besar yang menyakitkan dengan najis yang besar atau keras seperti yang diterangkan dalam kriteria ROME berasaskan gejala yang mendefinisikan jenis-jenis gangguan gastrousus.
Jillian Tan Foong Yinn, ahli dietetik di SMCV menekankan peranan diet seimbang untuk menggalakkan pergerakan usus yang baik dan kesihatan usus secara keseluruhan. “Makanan kaya serat seperti pisang, betik serta lobak merah kukus atau kentang bukan sahaja menggalakkan pergerakan usus yang kerap tetapi juga meningkatkan kesihatan usus, ” jelasnya.
Di samping serat, pengambilan air yang mencukupi mengikut jumlah yang disyorkan berdasarkan umur adalah sama penting. Walau bagaimanapun, Jillian memberi amaran terhadap satu salah tanggapan popular bahawa memperkenalkan makanan kaya serat boleh mengurangkan gejala sembelit dengan serta-merta.
“Makanan kaya serat perlu diperkenalkan secara beransur-ansur ke dalam diet anak untuk memberi sistem pencernaan anak anda sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan membantu mengukur toleransi mereka serta mencegah isu seperti gas atau kembung perut,” jelasnya.
Mengimbangi diet kanak-kanak dengan makanan ringan sekali-sekala juga merupakan kunci untuk mengekalkan pendekatan yang sihat dan memupuk hubungan positif dengan makanan.
Menerusi keseimbangan ini, ibu bapa dapat memastikan bahawa anak mereka dapat menerima nutrien penting daripada pemakanan mereka di samping memastikan anak-anak gembira kerana masih boleh menikmati makanan ringan sekali-sekala.
Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk menerapkan tabiat gaya hidup yang positif kepada anak-anak mereka sejak kecil, termasuklah dengan memupuk aktiviti fizikal yang konsisten seperti berjalan, berenang atau bersukan.
Kanak-kanak belajar dengan meniru apa yang dilakukan oleh penjaga mereka. Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak.
Peranan Potty Training
Potty training atau latihan menggunakan tandas adalah fasa perkembangan kanak-kanak yang diketahui setiap ibu bapa untuk dilakukan bersama anak mereka. Ia penting bukan sahaja untuk menyemai rasa kebersihan dan berdikari yang baik pada diri kanak-kanak tetapi juga berpotensi untuk mencegah masalah sembelit.
Walaupun perkara ini adalah penting, ramai ibu bapa muda mungkin tertanya-tanya apakah umur yang sesuai untuk memulakan latihan tandas dan bagaimana untuk memastikan ia adalah pengalaman yang positif untuk anak mereka.
Menurut Dr Foo, umur yang disyorkan untuk memulakan latihan tandas adalah sekitar usia 4 tahun, apabila kanak-kanak boleh berjalan sendiri, boleh kekal kering selama beberapa jam, dan boleh memahami serta mengikuti arahan mudah.
Jika kanak-kanak memulakan latihan tandas terlalu awal, mereka mungkin mengaitkan pergi ke tandas dengan emosi negatif dan boleh menyebabkan mereka menahan diri dari membuang air besar dan akhirnya menyebabkan sembelit kerana mereka kurang faham dan masih belum bersedia.
Untuk membantu memudahkan kanak-kanak ketika fasa latihan tandas, ibu bapa harus memastikan anak mereka selesa sepanjang proses latihan. Langkah kecil seperti memakaikan anak dengan pakaian yang mudah dibuka sangat membantu sekiranya berlaku kemalangan tandas seperti terkencing atau terbuang air besar, atau jika mereka harus menukar pakaian dengan segera untuk mengelakkan ketidakselesaan.
Selain itu, menetapkan masa yang tetap dalam rutin harian mereka untuk menggunakan tandas dengan tempat duduk khas kanak-kanak dapat membantu membina tabiat menggunakan tandas dari awal. Memberikan hadiah kecil apabila anak berjaya pergi ke tandas sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan juga boleh mewujudkan hubungan yang positif dengan proses ini.
Dr Foo menekankan bahawa kesabaran adalah kunci kepada kejayaan latihan tandas.
“Ibu bapa tidak seharusnya memberi tekanan kepada anak-anak mereka. Berikan galakan dan sokongan berterusan tanpa perlu berasa stress sekiranya berlaku sebarang insiden. Ibu bapa perlu menjadi sumber sokongan untuk anak-anak dan membuatkan mereka berasa selamat dan terjamin ketika mereka sedang belajar menggunakan tandas secara berdikari,” jelasnya.
Kesabaran bukan sahaja penting untuk latihan tandas tetapi juga untuk menguruskan masalah sembelit. Hal ini terutamanya boleh menjadi sangat mencabar apabila kanak-kanak masih kecil dan tidak memahami keadaan sekeliling mereka.
Ibu bapa tidak seharusnya berasa tawar hati apabila berdepan dengan masalah ini dan segera dapatkan nasihat daripada pakar perunding kanak-kanak. Berkongsi pengalaman dengan ibu bapa lain juga boleh membantu dalam memberikan sokongan.
Selain mengekalkan rutin atau diet yang sihat untuk anak-anak, ibu bapa boleh menggabungkan pendekatan interaktif dan kreatif seperti melibatkan kanak-kanak dalam penyediaan makanan atau menghias pinggan makanan mereka untuk membantu anak melihat perubahan ini dari sudut yang positif lalu mengurangkan masalah sembelit dalam kalangan kanak-kanak.
Untuk ketahui lebih banyak informasi tentang kesihatan anak-anak, klik di SINI.