Bagi yang masih tak tahu, penggunaan baby hatch atau tempat perlindungan bayi merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan di negara kita bagi mengurangkan kes pembuangan bayi atau baby dumping yang sering memberi risiko kepada nyawa si kecil.
Ia merupakan tempat di mana bayi yang ‘tidak diinginkan’ atau tidak mampu dijaga si ibu/bapa sejurus kelahiran dapat ditinggalkan dengan selamat dan tanpa identiti pembuang didedahkan.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu tragedi menyayat hati yang melibatkan seorang pelajar Malaysia di United Kingdom yang menyembunyikan bayinya dalam kotak bijirin sebelum menyimpannya di dalam beg pakaian; di mana ia boleh membawa kepada kematian.
Pelajar yang baru berusia 22 tahun ini, pada awalnya menafikan bahawa dia telah melahirkan, akhirnya didapati bersalin secara bersendirian pada 4 Mac lalu di rumah sewanya. Pelajar tersebut kini disabitkan di mahkamah jenayah di Warwick, West Midlands, England atas kesalahan membunuh bayi baru dilahirkan.
Kes ini mengingatkan kita tentang betapa seriusnya isu pembuangan bayi yang bukan hanya berlaku di luar negara, tetapi juga semakin membimbangkan di Malaysia.
Data menunjukkan kes pembuangan bayi juga semakin meningkat sehingga 509 kes dari 2018 hingga Februari tahun ini, dengan kertas siasatan dibuka oleh PDRM, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy turut menyatakan bahawa dari 2022 hingga 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyelamatkan 101 kanak-kanak yang ditinggalkan, dengan pelbagai sebab termasuk masalah kewangan, konflik keluarga, dan kecuaian penjaga. Daripada mereka, 19 kanak-kanak kini di bawah penjagaan keluarga angkat.
Kes ini membuka perbincangan mengenai tekanan yang dihadapi pelajar, terutama yang berjauhan daripada keluarga, dan keperluan sokongan kesihatan mental serta kemudahan yang selamat seperti baby hatch di Malaysia.
OrphanCare dan Baby Hatch Boleh Menjadi Penyelamat
OrphanCare, sebuah organisasi bukan kerajaan, memainkan peranan besar dalam menangani isu pembuangan bayi melalui inisiatif baby hatch.
Dengan menyediakan tempat yang selamat dan selesa untuk Mama yang tidak bersedia menjaga bayi, OrphanCare memberi mereka pilihan untuk meninggalkan bayi secara anonim atau tanpa identiti mereka didedahkan, dan semestinya tanpa risiko terhadap keselamatan bayi tersebut.
Baby hatch yang disediakan oleh OrphanCare ditempatkan di lokasi-lokasi strategik yang mudah diakses dan sentiasa dipantau untuk memastikan keselamatan bayi yang ditinggalkan.
Di baby hatch, mereka hanya perlu membuka pintu hatch, meletakkan bayi di dalam ruangan yang selesa, dan menutup pintu hatch. Proses ini tak perlukan pendedahan identiti, membolehkan mereka berundur tanpa rasa tertekan.
Bayi yang ditinggalkan akan dijaga dengan baik oleh kakitangan OrphanCare dan akan disalurkan kepada keluarga angkat yang layak melalui proses yang teratur dan telus.
Di sinilah peranan baby hatch menjadi penting dalam menawarkan alternatif yang lebih selamat bagi mereka yang tidak mampu atau bersedia untuk menjaga bayinya.
Melalui kemudahan ini, mereka yang dalam keadaan terdesak atau berhadapan dengan tekanan sosial mempunyai tempat untuk meletakkan bayi mereka tanpa risiko pembuangan bayi yang mengancam nyawa.
Alternatif yang Lebih Baik daripada Membuang Bayi!
Daripada melakukan tindakan yang boleh membahayakan bayi atau melibatkan diri dalam jenayah, terdapat beberapa tempat anda boleh mendapatkan bantuan – baik dari segi kauseling untuk diri sendiri atau mengenai kehamilan – yang memberikan jalan keluar yang jauh lebih bertanggungjawab.
1. Baby Hatch sebagai Pilihan Pertama
Bagi mereka yang merasakan tidak ada pilihan lain, seperti yang dikongsikan di atas, baby hatch merupakan pilihan paling selamat. Di Malaysia, semakin banyak baby hatch disediakan oleh OrphanCare dan beberapa hospital swasta.
Ini membolehkan bayi yang tidak dapat dijaga dengan baik mendapat perlindungan dan peluang untuk dijaga oleh keluarga angkat.
2. Rumah Perlindungan Wanita
Ramai yang mengalami tekanan emosi atau stigma sosial yang menghalang mereka daripada meminta bantuan.
Ada beberapa NGO seperti Rumah Kita dan Baitus Solehah menyediakan tempat tinggal untuk wanita yang hamil sehingga melahirkan bayi serta lengkap dengan kaunseling seperti pertimbangan dan langkah-langkah untuk menjaga bayi atau menyerahkannya secara sah.
Ini adalah supaya mereka yang menerima kaunseling ini mendapat maklumat dan panduan yang membantu mereka membuat keputusan yang terbaik untuk bayi serta diri sendiri.
3. Proses Penyerahan Anak kepada Keluarga Angkat
Bagi mereka yang ingin memastikan bayinya mendapat kehidupan yang baik tetapi tidak bersedia untuk membesarkannya, boleh dapatkan bantuan OrphanCare, rumah perlindungan, atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyerahkan bayi tersebut kepada keluarga angkat.
Proses ini memerlukan pemantauan dan pengesahan untuk memastikan bayi tersebut berada dalam keadaan yang selamat dan stabil di bawah jagaan keluarga yang layak.
Di sebalik kekusutan yang dialami, ada pihak-pihak NGO yang sentiasa bersedia membantu mereka mengatasi cabaran ini.
Melalui inisiatif seperti kaunseling, bantuan kewangan, dan program kesedaran, individu yang menghadapi tekanan sosial, terutama remaja, dapat mengenal pasti jalan keluar tanpa perlu mempertaruhkan nyawa dan keselamatan bayi.
Dengan memperbanyakkan sokongan dan kesedaran mengenai pilihan seperti baby hatch, kita dapat mengurangkan kejadian pembuangan bayi dan memberikan peluang hidup yang lebih baik kepada bayi yang tidak berdosa.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk ketahui lokasi-lokasi baby hatch di Malaysia boleh klik di SINI.