Autisme dewasa memang wujud. Autisme, atau Gangguan Spektrum Autisme (ASD), adalah keadaan sepanjang hayat yang tidak hilang apabila seseorang mencapai usia dewasa.
Walaupun ramai individu didiagnosis semasa kanak-kanak, terdapat juga mereka yang hanya menyedari ciri-ciri autism mereka pada usia dewasa.
Ini mungkin berlaku kerana tanda-tanda autisme dalam kalangan orang dewasa boleh lebih halus dan sering disalah tafsir sebagai masalah keperibadian atau kesukaran biasa dalam hidup.
Mengapa Autisme Dewasa Kadang-Kadang Lambat Dikenal Pasti?
1. Ketiadaan Kesedaran Semasa Kecil
Sebenarnya masih ramai yang kurang faham tentang autisme.
Orang hanya anggap autisme berlaku bila ada masalah komunikasi yang jelas atau tingkah laku pelik, biasanya pada kanak-kanak lelaki. Jadi, hanya mereka yang menunjukkan tanda ketara dirujuk untuk pemeriksaan.
Sebenarnya, autisme ada dalam pelbagai bentuk. Ada yang cuma nampak pendiam, suka menyendiri, atau ada sikit cabaran sosial tapi tak tunjuk tingkah laku luar biasa.
Kanak-kanak perempuan pula sering terlepas pandang sebab mereka pandai “menyesuaikan diri” walaupun mungkin rasa tertekan secara dalaman.
Bila dewasa, ramai baru sedar mereka berbeza bila berdepan dengan cabaran kerja, hubungan sosial, atau perubahan rutin.
Ada yang mula mencari jawapan lepas alami masalah seperti kebimbangan dan kemurungan.
Kalau kesedaran tentang autisme wujud lebih awal, mungkin ramai yang boleh dapat sokongan sejak kecil. Sebab itu penting untuk Mama Papa semua terus belajar dan faham tentang autisme supaya dapat dibantu menjalani hidup yang lebih baik.
2. Adaptasi Sosial
Bagi sesetengah orang dewasa dalam spektrum autisme, mereka belajar untuk blend in dengan persekitaran sosial.
Macam mana caranya? Mereka ikut skrip sosial — contohnya, cuba faham bila nak senyum, ketawa, atau angguk kepala walaupun mungkin tak faham sepenuhnya situasi yang berlaku. Ini dipanggil masking.
Walaupun nampak macam benda kecil, sebenarnya usaha ni sangat meletihkan. Bayangkan setiap kali keluar rumah, ada Mama Papa yang perlu fikir macam mana nak buat orang lain rasa selesa dengan kehadiran mereka.
Masking ni mungkin boleh elakkan rasa janggal sekejap, tapi dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan tekanan dan keletihan mental.
Kenapa ada yang rasa perlu buat masking? Kerana tidak mahu menghadap diskriminasi atau pandangan pelik dari orang lain. Mereka rasa kena “berpura-pura normal” supaya lebih diterima dalam tempat kerja, komuniti, atau kawan-kawan. Tapi bila lama-lama kena berlakon, ada yang akhirnya rasa hilang identiti diri sendiri.
Bila dapat berada dalam persekitaran yang memahami, barulah mereka boleh rasa lega. Di situ, mereka tak perlu lagi pakai “topeng” dan boleh jadi diri sendiri tanpa risau kena hakimi.
3. Stereotaip Autisme
Bila sebut saja autisme, sudah pasti kita membayangkan seseorang yang ada kesukaran besar dalam komunikasi atau masalah pembelajaran.
Tetapi hakikatnya, autisme bukan sekadar itu. Ia hadir dalam pelbagai bentuk dan tahap — ada yang nampak jelas, ada yang sangat halus sampai tidak disedari.
Stereotaip seperti ini buatkan ramai orang dewasa dengan autisme terlepas pandang. Kalau seseorang boleh bercakap dengan baik atau nampak normal, masyarakat tak akan terfikir mereka mungkin ada autisme.
Padahal, mereka mungkin struggle dengan perkara lain seperti rasa cemas dalam situasi sosial, perlukan rutin yang sangat teratur, atau cepat rasa overwhelmed bila keadaan berubah tiba-tiba.
Yang lebih mencabar, orang yang ada autisme kadang-kadang dianggap terlalu cerewet atau overthinking sebab keperluan mereka yang berbeza ni. Realitinya, mereka cuma cuba cari cara untuk kekal selesa dalam dunia yang penuh kejutan ini.
Jadi, penting untuk kita buang stereotaip lama dan fahami bahawa autisme bukan satu kotak yang semua orang perlu muat untuk sama. Sebaliknya, ia adalah spektrum — luas dan unik, sama bagi setiap individu itu sendiri.
4. Tanda yang Halus
Tanda-tanda autisme dalam kalangan orang dewasa mungkin agak sukar untuk dikenalpasti, terutama bila kita bandingkan dengan kanak-kanak.
Ada kalanya, kita tak perasan pun bila seseorang itu mungkin mengalami gejala autisme, kerana ia lebih halus dan mudah terlepas pandang.
Sebagai contoh, mungkin mereka kelihatan sedikit pelik apabila tak faham jenaka atau humor, atau ada kalanya susah untuk berkomunikasi dengan cara yang biasa kita lakukan.
Sesetengah orang dewasa juga mungkin lebih suka pada rutin yang tetap dan perubahan pada rutin harian boleh menyebabkan mereka rasa tidak selesa atau tertekan.
Selain tu, ada juga yang sangat sensitif dengan deria – seperti bunyi, cahaya, atau bau yang biasa kita tidak menghiraukan. Semua ni boleh nampak personaliti biasa, tapi sebenarnya boleh menjadi tanda-tanda autisme.
Tanda-tanda Autisme Dewasa
Tanda-tanda autisme pada orang dewasa boleh berbeza-beza, tetapi ada beberapa ciri yang sering ditemui. Ini adalah beberapa tanda yang boleh menunjukkan Mama Papa mungkin mengalami autisme:
1. Kesukaran dalam Sosial dan Komunikasi
- Sukar untuk memahami isyarat sosial, seperti ekspresi wajah atau nada suara orang lain.
- Menyebabkan mereka kelihatan kurang sensitif atau tidak peduli terhadap perasaan orang lain.
- Masalah untuk berbual dengan orang lain, terutamanya dalam situasi sosial yang tidak dirancang.
2. Rutin yang Ketat dan Keperluan Struktur
- Suka mengikuti rutin yang tetap dan mudah rasa tertekan jika ada perubahan dalam jadual harian.
- Cenderung untuk merancang aktiviti atau tugas dengan cara yang sangat teratur dan tidak suka jika ada gangguan.
3. Minat Terhad dan Obsesif
- Mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap topik tertentu, kadang-kadang sehingga tahap obsesif.
- Boleh menghabiskan banyak masa untuk belajar atau berfokus pada perkara yang sama berulang kali.
4. Sensitiviti Deria
- Lebih sensitif terhadap bunyi, cahaya, bau, atau rasa, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan atau keengganan terhadap persekitaran tertentu.
- Misalnya, bunyi yang kuat boleh menimbulkan kebimbangan atau rasa tidak selesa.
5. Kesukaran dalam Menyesuaikan Diri dengan Perubahan
- Lebih suka keadaan yang sudah dikenali dan susah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak.
- Perubahan yang kecil dalam persekitaran atau rutin boleh menyebabkan rasa cemas atau tertekan.
6. Masalah dalam Ekspresi Emosi
- Mungkin kelihatan kurang menunjukkan perasaan atau ekspresi emosi seperti orang lain.
- Mungkin juga menghadapi kesukaran untuk memahami atau mengendalikan emosi mereka sendiri, seperti rasa marah atau kecewa.
7. Pergerakan atau Tingkah Laku Berulang
- Terdapat pergerakan berulang seperti mengayun tubuh, menggoyangkan tangan, atau tingkah laku lain yang tidak biasa.
Tanda-tanda ini mungkin tidak terlalu jelas atau ketara, terutamanya kalau mereka pandai menyesuaikan diri dengan situasi sekeliling.
Walau bagaimanapun, jika Mama Papa atau seseorang yang Mama Papa kenali menunjukkan beberapa tanda ini, ia boleh menjadi petunjuk mereka mungkin mengalami autisme.
Bantulah mereka jalani kehidupan seperti biasa dengan memberi sokongan serta memahami keperluan mereka, dan jangan pernah menyisihkan mereka hanya kerana perbezaan yang mereka miliki.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan informasi tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.