Ramai ibu bapa beranggapan tidur bersama bayi dengan berkongsi katil atau tilam adalah cara paling selamat untuk melindungi si kecil, di samping dapat mengeratkan lagi ikatan antara kedua-dua pihak. Memang benar tidur bersama bayi atau istilahnya ‘co-sleeping’ membolehkan ibu bapa lebih rapat dengan si kecil kerana langkah itu memberi ibu bapa masa tambahan bersama bayi.
- Tidur dengan bayi juga membolehkan ibu bapa segera bertindak jika si kecil mula batuk atau menangis pada waktu malam.
- Malah, bayi yang tidur berkongsi katil dengan ibu mereka dikatakan cenderung untuk menyusu lebih kerap dan tempoh lebih lama berbanding bayi yang tidur bersendirian.
- Bayi yang tidur dengan ibu bapa juga dikatakan tidak kerap terbangun pada waktu malam dan berjaga dalam tempoh masa lebih pendek serta kurang menangis.
RISIKO SIDS
Namun, amalan ‘co-sleeping’ jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul dan selamat boleh membahayakan nyawa bayi kerana meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS). Sindrom ini berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang setahun dan kematian bayi yang tidak dapat diungkapkan puncanya ini biasa berlaku ketika si kecil tidur. Oleh itu, kematian sedemikan juga dikenali sebagai maut di tempat tidur (crib death).
SIDS dikaitkan dengan ketidaknormalan sebahagian otak bayi yang mengawal pernafasan dan bangkit tidur. Penyelidik menemui beberapa faktor yang meletakkan bayi pada risiko kematian terbabit. Kombinasi fizikal dan faktor persekitaran tidur boleh menyebabkan bayi mudah terdedah kepada SIDS. Namun demikian faktor risiko adalah berbeza bagi setiap bayi.
Faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS seperti kelainan otak bayi apabila ada bayi dilahirkan dengan masalah dalam kawalan pernafasan dan bangkit tidur, dilahirkan pra matang atau tidak cukup berat dan otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan kurang kawalan pada proses bernafas dan degup jantung. Jangkitan respiratori juga dikaitkan dengan SIDS apabila kebanyakan bayi yang maut secara tiba-tiba itu menghidap selesema yang menyumbang kepada masalah pernafasan.
Bagi faktor persekitaran tidur pula sama ada peralatan seperti bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur dan posisi bayi tidur juga meningkatkan risiko SIDS. Bayi yang ditidurkan meniarap mungkin berdepan masalah sukar bernafas berbanding tidur terlentang, malah tilam atau alas tidur lembut boleh menyekat pernafasan bayi kerana muka si kecil terbenam ketika tidur. Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga menyumbang kepada risiko SIDS kerana bila-bila masa si kecil boleh maut akibat lemas disebabkan tertindih atau terhimpit secara tidak sengaja.
AMALAN CO-SLEEPING
Tidak dinafikan tidur bersama bayi itu ada kebaikannya, tetapi pada masa sama ibu bapa perlu sedar risiko yang ada dan boleh menjejaskan keselamatan bayi termasuk mengancam nyawa. Amalan ‘co-sleeping’ mungkin sesuai bagi segelintir ibu bapa, namun beberapa aspek keselamatan perlu dipatuhi bagi ibu bapa yang tetap mahu melakukan amalan berkenaan atas alasan ingin mengukuhkan ikatan dengan si kecil.
- Ibu bapa perlu memastikan tempat tidur mereka sesuai untuk bayi dengan menggunakan katil, tilam, bantal dan selimut yang mesra bayi.
- Elak meletakkan banyak bantal, anak patung dan selimut tebal supaya bayi tidak lemas, gunakan tilam yang rata dan keras kerana tilam lembut menyebabkan muka bayi terbenam mengakibatkan sesak nafas.
- Lebih baik bayi tidur di katil berasingan yang dikhaskan untuk bayi kerana mempunyai penghadang keselamatan.
Bayi memerlukan sejumlah besar perhatian dan penjagaan yang penuh dengan kasih sayang terutama pada tahun pertama usia mereka. Persekitaran yang dipenuhi dengan emosi positif akan membantu bayi meningkatkan rasa selamat dan memberikan mereka suntikan emosi yang penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka.
Pada tahun pertama, bayi menambah berat badan mereka dua kali ganda dan pada masa sama otak mereka juga berkembang sehingga 60 peratus saiz dewasa membentuk pembangunan optimum intelektual, sosial dan kecerdasan emosi. Dalam tempoh 12 bulan ini juga bayi mula membentuk sikap, personaliti, tabiat atau kebolehan yang kekal sehingga dewasa dan keyakinan diri. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam membantu bayi mereka memupuk tingkah-laku berkenaan.
Sumber: Utusan & Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH), Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar