Bukan Mama Siti yang kata, tapi memang ada hadis yang suruh kita asingkan tempat tidur anak ketika mereka mencapai suatu usia.
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.”
(Riwayat al-Hakim dan Abu Daud)
Kalau ada dalil, mestilah ada kepentingannya kan. Tentang tanda sudah boleh mula asingkan tempat tidur dan cara asingkan tempat tidur ada Mama Siti kongsikan dalam artikel ini.
Kepentingan Asingkan Tempat Tidur Anak
- Menjaga keharmonian dan maruah ahli keluarga
- Melatih anak berdikari
- Anak tidak takutkan cabaran
- Anak bijak bersosial/bergaul dengan rakan
- Anak lebih bertanggungjawab
- Menjaga barang dengan baik
- Boleh mempertahankan diri dan orang lain
- Pandai bawa diri
- Bijak membezakan yang baik dan buruk
Tanda Mama Boleh Mula Asingkan Tempat Tidur Anak
#1 Boleh Buat Aktiviti Dengan Kawalan Minimum
Salah satu petunjuk paling ketara bahawa sudah sampai masa asingkan tempat tidur anak ialah ketika kita lepaskan anak bermain tanpa kawalan ketat.
Ini bermakna ana Mama sudah mampu bermain bersendirian dan mengelak daripada melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan bahaya.
Ciri ini penting kerana anak tahu apa yang perlu dilakukan jika terbangun pada tengah malam dan takut atau tidak selesa.
#2 Ada Rutin Tidur
Mendapatkan rutin tidur anak akan memudahkan proses asingkan tempat tidur anak.
Lakukan aktiviti menenangkan sebelum tidur, contohnya, membaca buku cerita dan berdoa.
Ini akan membuatkan anak Mama berasa lebih selamat dan mengurangkan ketidakselesaan apabila tertidur.
Sebaliknya, jika anak Mama masih kerap bangun pada waktu malam dan tidur pada waktu yang berbeza setiap hari, mereka mungkin tidak bersedia untuk tidur di katil mereka sendiri.
#3 Bila Anak Mula Tanya Tentang Bilik/ Katil Sendiri
Ambil peluang untuk latih asingkan tempat tidur anak ketika mereka mula bertanya tentang bilik atau katil sendiri.
ini menandakan bahawa mereka sudah bersedia dan boleh diajar untuk tidur sendiri.
Ia mungkin membuat anak menangis pada mulanya, tetapi semuanya mungkin jika Mama gigih mencuba cara yang selamat dan menyeronokkan untuk asingkan tempat tidur anak.
#4 Telah Bercerai Susu Badan
Di Malaysia, ramai ibu bapa memilih untuk tidur bersama anak-anak mereka kerana masih menyusukan anak.
Jika anak sudah mula bercerai susu badan, Mama sudah boleh mula menanggalkan lampin dan asingkan katil.
Walau bagaimanapun, jangan buat perubahan ini sekaligus atau dalam tempoh yang singkat kerana ia mungkin terlalu sukar untuk kanak-kanak kecil.
#5 Dah Pandai Tiru Mama & Papa
Kanak-kanak yang dah pandai tiru tindakan dan perbuatan Mama dan Papa menandakan otak mereka sedang berkembang.
Segala maklumat akan diserap dengan cepat, tetapi di usia ini mereka masih belum dapat memprosesnya.
Kita mungkin rasa yang anak-anak tak tahu apa-apa jika terlihat adegan yang tidak sesuai di dalam bilik tidur. Sebenarnya, mereka akan ingat dan kesannya amatlah berbahaya.
Ingat bahawa anak-anak kita bukan seperti komputer di mana Mama boleh menghapus maklumat dengan mudah dengan menekan butang padam.
7 Cara Asingkan Tempat Tidur Anak
#1 Biarkan Anak Buat Pilihan
Libatkan anak ketika menyiapkan atau menyediakan bilik tidur mereka. Biarkan mereka pilih peralatan tempat tidur, warna cat bilik, lampu malam dan baju tidur.
Walau bagaimanapun, sebagai Mama dan Papa, kita juga harus mempertimbangkan sama ada ia sesuai untuk anak-anak kita.
#2 Masa Untuk Bersedia
Beritahu anak Mama bahawa mereka akan tidur di dalam biliknya beberapa hari sebelum supaya anak-anak bersedia dari segi mental dan emosi.
Anak-anak pun sudah tahu bahawa dia mesti tidur sendirian di dalam biliknya pada hari yang disebutkan.
#3 Kongsikan Kelebihan Ada Bilik Sendiri
Beritahu anak Mama bahawa mereka sangat “hebat” untuk tidur bersendirian di dalam bilik sendiri.
Kaitkan dengan watak kartun seperti Upin dan Ipin yang selalu tidur dalam bilik sendiri. Barulah semangat!
#4 Temankan Anak
Pada peringkat awal, Mama dibenarkan untuk tidur sekali di dalam bilik dengan anak.
Kemudian, keluar dari bilik anak apabila dia sudah tertidur.
Selain itu, beritahu anak Mama untuk tidak menutup pintu bilik mereka dan pintu Mama dan Papa
Sebab mudah nak panggil atau pergi ke bilik tidur jika mereka bangun di tengah malam.
#5 Lawan Rasa Takut
Jika anak menangis di tengah malam dan berkeras untuk tidur bersama-sama Mama dan Papa, apa yang Mama perlu lakukan ialah temankan anak tidur dalam bilik mereka.
Jika anak masih takut, teruskan untuk asingkan tempat tidur anak kerana mereka mesti belajar bagaimana untuk melawan ketakutan.
#6 Puji Keberaniannya
Setiap kali anak bangun pada waktu pagi, puji keberaniannya kerana boleh tidur di biliknya sendiri.
Mesti anak akan berbangga dengan diri sendiri melalui pujian dari Mama dan Papa dan mungkin juga mereka akan tak sabar menantikan malam berikutnya.
#7 Beri Kebebasan
Buat dia berasa seperti ruang itu miliknya seperti menukar pakaian, bermain, belajar atau melakukan apa sahaja di dalam bilik.
Sekali-sekali, ajak rakan-rakan anak Mama bermalam (sleepover) di bilik itu. Waktu-waktu macam ni lah kita kena jadi kawan baik (bestfriend) dengan anak-anak.
Nabi Muhammad SAW suruh kita asingkan tempat tidur anak kerana kepentingannya kepada anak itu sendiri dan kepada ibu bapanya.
Diharap perkongsian kali ini membantu Mama melatih asingkan tempat tidur anak supaya mereka tidak lagi tidur dengan ibu dan bapanya.
Dapatkan pelbagai info mengenai perkembangan anak-anak Mama dan Papa di SINI!