KelabMama

Apendiks Tak Kenal Siapa! Betul ke Biji Cili, Biji Buah Punca Sebenar?

apendiks

Mama Papa mesti selalu dengar org sebut apendiks, tapi apakah ia sebenarnya? Sebenarnya, ia merupakan satu radang yang membengkak yang menyakitkan pada apendiks kita. Ianya merupakan kantung kecil dan nipis kira-kira 5 hingga 10cm (2 hingga 4 inci) panjang. Ia disambungkan ke usus besar, tempat kotoran terbentuk.

Kredit gambar: Britannica

Ia adalah satu penyakit yang amat perit bagi penghidap dan mampu mengancam nyawa. Tidak kira umur atau bangsa, sekiranya terkena, satu-satunya cara yang perlu dibuat adalah dengan membuang organ apendiks tersebut.

“Mi segera boleh menyebabkan apendiks!”

Mama Siti selalu dengar mitos ini oleh masyarakat sekeliling. Persoalannya, adakah benar mi segera, biji cili, biji jambu batu boleh jadi punca apendiks yang sebenar?

Untuk mengetahui jawapannya, jom sama-sama baca artikel ini sampai habis!

Simptom Radang Apendiks (Appendicitis)

Radang apendiks biasanya bermula dengan sakit di bahagian tengah perut yang mungkin datang dan hilang. Dalam beberapa jam, rasa sakit merebak ke bahagian bawah sebelah kanan, di mana organ ini biasanya terletak, dan menjadi berterusan dan semakin teruk.

Sekiranya Mama menekan kawasan ini, batuk atau berjalan boleh memburukkan lagi kesakitan. Mama juga mungkin kehilangan selera makan, berasa sakit dan mengalami sembelit atau cirit-birit.

Punca Masalah Apendiks

Sehingga kini para pengkaji hanya dapat “menjangka” punca kepada masalah ini, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang perkaitan diantara pemakanan dengan masalah radang apendiks.

Hal ini adalah kerana, makanan yang keras seperti biji cili, tembikai, dan buahan serta sayuran lain akan hancur dan terhadam dalam perut dan tidak akan tersangkut dalam apendiks.

Namun yang pasti, antara punca mengapa apendisitis berlaku adalah kerana jangkitan kuman dan apendiks tersumbat.

Kredit gambar: hellodoktor

Sebagai contoh, ia boleh disekat oleh seketul kecil tahi, atau jangkitan saluran pernafasan boleh menyebabkan nodus limfa di dalam dinding usus menjadi bengkak.

Jika objek tersebut menyebabkan keradangan dan bengkak, ia boleh menyebabkan peningkatan tekanan dalam apendiks, yang kemudiannya boleh pecah sehingga boleh mengancam nyawa.

Cara Mengatasi & Rawatan

Memandangkan punca radang apendiks tidak difahami sepenuhnya, tiada cara yang terjamin untuk mencegahnya. Namun ianya biasa terjadi kepada golongan berusia 10-30 tahun, jadi jangan Mama Papa beranggapan muda-muda mesti sihat.

Yang penting Mama Papa sentiasa memeriksa keadaan kesihatan diri dan anak-anak. Sekiranya anak-anak menunjukkan simptom-simptom seperti yang dinyatakan, segera bawa mereka berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Apendiks juga merupakan satu keadaan kesihatan yang sukar untuk dikesan pada peringkat awalnya. Jadi, ambillah langkah berjaga-jaga.

Walaupun menurut sains, tiada kaitan antara penyakit apendiks dengan pemakanan, tak salah kalau ambil langkah berjaga-jaga.

Makanan seperti mi segera juga, memang amat digalakkan untuk dikurangkan dalam pemakanan demi kesihatan secara menyeluruh dan bukan sahaja apendiks.


Untuk lebih banyak perkongsian kesihatan dari Mama Siti klik SINI.