Tanya pendapat kawan boleh tapi seeloknya untuk dapatkan kepastian lebih baik mama rujuk kepada yang pakar. Jangan sebab percaya kata kawan, anak dalam kandungan nyaris maut. Inilah salah satu perkara yang ditakutkan, terlilit tali pusat. Sebab tu pentingnya kiraan pergerakan bayi dalam kandungan walaupun sudah di penghujung trimester.
Semoga kisah benar yang dikongsi bersama mama semua menjadi pengajaran dan jangan sewenang-wenangnya percaya kata kawan kerana kita tak tahu apa yang berlaku dalam kandungan kita. Jika mama rasa ada sesuatu yang tak kena dengan kandungan mama, teruslah ke hospital.
KISAH BENAR – CORD AROUND NECK X 3
Setiap hari oncall, sudah biasa dengan ibu-ibu mengandung datang mengadu baby kurang gerak. Dan selalunya ibu-ibu ni, jarang yang datang lepas pukul 12 tengah malam.
Tapi, ada satu malam (awal pagi pukul 2), baru tengah tengok last round dalam labour suite sebelum nak masuk merehatkan mata. Staff nurse triage panggil, “CTG ada decel la doktor.”
Houseman present case, …….postdate…. reduced fetal movement…. last fetal kick at 5pm….no labour symptoms…..CTG memang ada longkang yang besar.
Saya check bukaan pintu rahim, belum buka. Call boss, post for ceaserean section.
Bila dibuka rahimnya, nampak air ketuban kehijauan. Baby dah berak di dalam. “Meconium stain!” Saya inform Paediatric team yang sedang standby. Karung ketuban dipecahkan, dan saya cuba keluarkan baby. Ternampak tali pusatnya melilit 3 pusingan dengan ketat dileher baby. Ya Allah, entah apa akan jadi kalau ibu ini terlewat datang tadi.
Satu je soalan saya kat ibu tu. Kenapa lambat datang puan?
“Kawan saya kata memang normal baby kurang gerak bila dah cukup bulan, sebab ruang kat dalam sempit untuk dia gerak.”
Kata-kata kawan lebih dipercayai daripada nasihat professional.
Anyhow, ibu dan anak selamat. And that is our aim.
p/s: Jangan plak malam ni gi banjirkan semua labour room untuk scan tali pusat anak.
5 Perkara Yang Mama Kena Alert Kalau Bayi Kurang Gerak
1) Bila kena kira gerakan bayi
Kalau mama selalu buat check up di klinik kerajaan, mesti nurse akan suruh mama mula kira gerakan bayi bermula sekitar minggu ke-28 kehamilan. Pergerakan bayi yang baik menandakan bayi dalam keadaan yang sihat. Manakala kalau bayi kurang gerak ia mungkin tanda-tanda awal bayi kurang sihat. Sekiranya ini berlaku baik mama terus jumpa doktor.
2) Bayi bergerak berapa kali dalam sehari?
Setiap bayi corak tidur dan keaktifannya berbeza jadi tiada ketetapan dalam jumlah tendangan bayi mama. Tapi proses menandakan carta sedikit sebanyak dapat membantu mama untuk faham corak gerakan bayi. Pada awalnya memang agak kekok untuk rasa pergerakan bayi tapi lama kelamaan mama sendiri boleh agak bila waktu bayi mama aktif bergerak.
3) Cara kira gerakan bayi dalam kandungan
Selalunya nurse di Klinik Kerajaan mencadangkan agar kiraan sehingga 10 kali pergerakan yang mama kena catat setiap hari bermula jam 9 pagi. Gerakan ni tak kiralah tendangan, gulungan, tumbukan atau pergerakan dalam tempoh 12 jam.
Untuk pengetahun mama, semua pergerakan bayi akan dikira sebagai satu gerakan apabila bayi bergerak dalam jangka masa yang agak lama atau terhenti-henti. Maksudnya, kalau bayi mula bergerak, kemudian berhenti selama beberapa saat dan bergerak kembali, itu masih dikira satu pergerakan sahaja tau. Pergerakan seterusnya hanya akan dikira jika ia berlakuselepas 30 minit berikutnya.
4) Macam mana kalau mama terlupa kira gerakan bayi?
Cuba mama buat beberapa rangsangan ni untuk rasa pergerakan bayi mama.
- Angkat kaki ke atas dan relaks. Bayi lebih mudah terjaga apabila anda duduk diam kerana semasa anda sibuk bergerak bayi mungkin tertidur kerana terasa seperti dibuai.
- Berbaring mengiring.
- Minum air / air yang sangat sejuk. Bayi anda mungkin dapat merasakan perubahan suhu dalam badan anda dan cuba untuk mengelak daripadanya.
- Buat bunyi bising, mainkan muzik, zikir, dan sebagainya. Cuba lihat tindak balas daripadanya.
5) Risiko bayi kurang gerak
Lepas dari tempoh 28 minggu, jika bayi kurang gerak itu perkara serius yang mama kena ‘alert’. Bayi mama mungkin mengalami beberapa masalah seperti :
- air ketuban bocor
- bayi dalam kandungan mengalami hipoksia (tali plasenta tak dapat mengalirkan darah yang penuh oksigen dan nutrien)
- bayi berhenti membesar
- bayi meninggal dalam kandungan
BACA LAGI : KEMATIAN JANIN DALAM KANDUNGAN MIMPI SEDIH YANG SUKAR DIHADAPI SEORANG IBU
Sumber : Dr Ummu
Pesan Mama Siti
Nak tanya pendapat kawan tu boleh tapi jangan terus percaya dan tak buat tindakan apa-apa. Lepas ni kalau ada yang tak kena dengan pergerakan bayi dalam kandungan mama lebih baik dapatkan penjelasan dari yang pakar ye.