KelabMama

Angin Pasang Bukan Sekadar Kembung! Ini Penjelasan Pakar

penyakit angin pasang dalam kalangan budak perempuan

Ramai Mama Papa mungkin menyangka benjolan kecil di perut atau ari-ari anak mereka hanyalah kembung biasa. Namun, tahukah Mama Papa ia boleh menjadi tanda hernia atau lebih dikenali sebagai angin pasang?

Dr. Ng Ruey Terng,
Pakar Pediatrik

Keadaan ini lebih kerap dikaitkan dengan bayi lelaki, tetapi ia juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Namun, adakah semua kes angin pasang memerlukan pembedahan? Bagaimana Mama Papa boleh mengenal pasti tanda-tandanya? Dan apakah faktor yang menyebabkan hernia ini berlaku?

Untuk merungkai segala persoalan ini, Mama Siti menemu bual Dr. Ng Ruey Terng, Pakar Pediatrik dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC), yang akan berkongsi penjelasannya mengenai simptom, rawatan dan komplikasi penyakit ini.

Teruskan membaca untuk ketahui apa yang perlu Mama Papa lakukan sebelum keadaan menjadi lebih serius!

1. Boleh doktor terangkan, apakah penyakit angin pasang atau hernia?

Hernia atau angin pasang bukan sejenis penyakit tetapi disebabkan oleh kelemahan otot serta tekanan tinggi dari bahagian abdomen membentuk satu bukaan/ lubang dan membenarkan tisu lemak, selaput atau membran, atau sekeratan usus terjulur keluar melaluinya.

Gejala ini boleh berlaku secara semulajadi (congenital) atau akibat gejala lain seperti batuk yang berpanjangan, bahagian lepas pembedahan, kesukaran untuk kencing (urinary retention) terutamanya pada lelaki, batuk-batuk yang berpanjangan, atau takungan cecair pada bahagian abdomen (ascites).

2. Apakah perbezaan antara kanak-kanak perempuan dan lelaki yang mengalami hernia?

Tiada perbezaan yang sangat ketara antara kanak-kanak perempuan dan lelaki melainkan isi kandungan hernia mungkin terjulur ke dalam skrotum.

3. Apakah tanda-tanda atau simptom awal hernia yang Mama Papa perlu perhatikan pada anak perempuan mereka? Adakah simptomnya sama dengan anak lelaki?

Tanda atau simptom penting yang perlu Mama Papa perhatikan pada anak-anak adalah benjolan yang disebabkan oleh hernia ini tidak dapat ditolak-kembalikan ke tempat asal dan pada masa yang sama anak berada dalam kesakitan.

Pertukaran warna benjolan jadi kemerahan atau kebiruan juga merupakan gejala yang memerlukan pemeriksaan perubatan yang serta-merta. Gejala -gejala tersebut tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan.

4. Adakah benjolan yang kelihatan di kawasan perut/pangkal paha itu hernia atau boleh jadi sesuatu yang lain?

Benjolan yang disebabkan oleh hernia biasanya kelihatan pada bahagian perineum atau tepi tempat kemaluan (inguinal region), atau pada bahagian yang lepas menjalani pembedahan.

5. Apakah pilihan rawatan yang tersedia untuk angin pasang, dan adakah pembedahan satu-satunya cara untuk merawatnya?

Pembedahan adalah satu-satunya cara untuk merawat angin pasang. Walaubagaimanapun, angin pasang yang berlaku pada tempat tali pusat bayi tidak perlu dirawat sebab ia akan hilang sendiri apabila otot pada abdomen bayi semakin kuat. 

6. Berapa lama masa pemulihan selepas rawatan atau pembedahan untuk budak perempuan yang mengalami hernia?

Pesakit biasanya akan pulih lebih kurang seminggu selepas pembedahan.

7. Adakah terdapat risiko komplikasi jika angin pasang tidak dirawat dengan segera?

Komplikasinya termasuk kecederaan pada keratan usus yang boleh menyebabkan nekrosis jika keratan usus terperangkap pada lubang angin pasang dan menjejaskan penyaliran darah.

8. Bagaimana cara untuk menjaga anak perempuan selepas melakukan rawatan bagi memastikan mereka pulih sepenuhnya?

Penjagaan luka lepas pembedahan supaya mengelakkan jangkitan kuman adalah langkah yang paling penting untuk memastikan pemulihan dengan sepenuhnya. 

9. Adakah angin pasang boleh berulang selepas rawatan? Bagaimana Mama Papa boleh mencegahnya daripada berulang?

Angin pasang jarang berulang selepas rawatan secara pembedahan pada kalangan pesakit kanak-kanak, tetapi lebih berlaku pada pesakit dewasa.

Mama Papa perlu memastikan luka pembedahan menyembuh dengan sempurna, dan faktor penyebab angin pasang yang dikenalpasti telah selesai dikendalikan. 


Bolehkah anak-anak Mama melakukan ear irrigation? Ketahui jawapannya di SINI!