Rasa lesu, letih, tidak bertenaga, semput, pening, rasa berdebar, kulit pucat, dan tidak boleh berfikir dengan jelas, merupakan antara simptom-simptom seseorang itu menghidap anemia. Sering kali mereka yang mengalami simptom-simptom ini hanya mengandaikan tidak mendapat rehat yang cukup. Sesiapa sahaja boleh menghidap penyakit ini, tetapi golongan yang lebih kerap dikaitkan adalah ibu-ibu mengandung. Ye, ramai wanita mengalami anemia ketika hamil. Simptom-simptom ini dikatakan perkara biasa yang dialami wanita hamil, malah mereka seringkali dimaklumkan supaya mengabaikan gejala-gejala tersebut memandangkan semua itu disebabkan kesan perubahan hormon akibat hamil.
- Walaupun begitu, anda harus berhati-hati. Hal ini kerana mungkin menunjukkan anda menghidap anemia ketika hamil akibat kekurangan zat besi. Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup. Untuk ibu hamil yang menghidap anemia perlu menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Ini kerana katanya, antara komplikasi yang biasa dialami wanita hamil akibat kekurangan zat besi ialah keguguran.
- Disebabkan masalah ini semakin kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil hari ini, amat penting supaya perhatian ditumpukan kepada penjagaan pranatal yang sewajarnya. Kepentingan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan juga mustahak agar kesulitan atau masalah kesihatan untuk ibu dan anak yang lebih rumit dapat dielakkan.
- Sama seperti orang biasa, anemia ketika hamil berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat. Pada masa yang sama, badan turut tidak mempunyai zat besi yang mencukupi untuk menghasilkan hemoglobin iaitu bahagian sel darah merah yang membolehkan oksigen disampaikan ke seluruh badan. Kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk, dan kehamilan.
- Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan tumbesaran bayi. Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari. Malangnya hari ini ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya dan berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak. Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali, dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.
- Anemia yang teruk atau tidak dirawat semasa hamil dan selepas melahirkan anak boleh mengakibatkan masalah lain seperti keguguran, kelahiran pramatang, kekurangan berat badan, kemurungan selepas bersalin, kerencatan perkembangan dalam seseorang kanak-kanak, kerencatan semasa dilahirkan, dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia. Namun apa yang lebih malang, penyakit ini jika tidak dicegah serta dirawat boleh menyebabkan ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan bagi jangka masa panjang.
#Rawatan Anemia Ketika Hamil
Oleh itu, golongan wanita disaran menjalani ujian darah sebelum merancang hamil bagi mengetahui tahap hemoglobin masing-masing. Namun, senario yang lazim dilihat ialah kebanyakan wanita hanya berjumpa doktor selepas mereka disahkan mengandung dan pada masa itu, mereka sudah pun didapati mengalami anemia yang ringan. Pada masa yang sama, wanita-wanita hamil dinasihatkan agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan, dan tauhu.Bagi kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
Justeru, wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil serta empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak. Untuk mengekalkan kecergasan, pengambilan zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah turut digalakkan. Jadi, kepada wanita-wanita di luar sana, jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia terutama bagi wanita-wanita hamil.
Sumber: Utusan