KelabMama

Bukan Sekadar ‘Berat Badan Berlebihan’: Ancaman Senyap Masalah Obesiti di Malaysia

SMCV1_Obesiti

Di Malaysia, obesiti adalah salah satu kebimbangan kesihatan yang perlu diketengahkan, dengan hampir 20% daripada populasi negara ini diklasifikasikan sebagai obes1 .

Atlas Obesiti Dunia juga meramalkan bahawa jumlah ini boleh meningkat kepada 41% menjelang tahun 2035, dan menekankan keperluan penting untuk negara kita mempunyai strategi pencegahan dan rawatan yang komprehensif untuk memerangi masalah ini2.

Trend obesiti yang membimbangkan ini seiring dengan peningkatan penyakit kronik yang sememangnya sudah membimbangkan, dan berasal daripada tiga punca utama kepada pelbagai penyakit, iaitu gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi, di mana lebih setengah juta orang dewasa Malaysia kini hidup dengan keempat-empatnya.

Memahami Obesiti

Dr Lim Kim Piow

Obesiti bukan hanya mengenai isu fizikal berat badan berlebihan, ia juga boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosi seseorang lalu membawa kepada kemerosotan tahap kesihatan.

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Lim Kim Piow, “Obesiti sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kebimbangan, dan ia boleh menggalakkan tabiat makan berlebihan dan seterusnya membawa kepada gaya hidup yang tidak aktif, peningkatan berat badan dan memburukkan keadaan kesihatan.”

Obesiti, diklasifikasikan oleh Indeks Jisim Badan (BMI) 27.5 atau lebih, adalah salah satu faktor risiko yang menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes, strok, serangan jantung, penyakit buah pinggang kronik, gout, apnea tidur obstruktif (OSA), penyakit hati berlemak, batu karang, sindrom ovari polisistik (PCOS), masalah ketidaksuburan, osteoartritis, penyakit radang pelvis (PID), katarak, pankreatitis, kanser, trombosis vena dalam, kemurungan, kebimbangan dan lain-lain.

Dr Lim menjelaskan bahawa “Obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin, lalu memaksa pankreas bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi masalah ini dan mengakibatkan hyperinsulinemia (bacaan gula dalam darah melebihi tahap normal). Mekanisma ini akhirnya boleh bermanifestasi menjadi pradiabetes dan diabetes jenis 2”.

Malaysia mempunyai salah satu daripada kadar diabetes tertinggi di dunia, dengan lebih 3.6 juta rakyat Malaysia disahkan menghidap diabetes pada tahun 20193.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, angka ini diramalkan untuk meningkat dua kaliganda menjelang 2025, dan memberi kesan kepada kira-kira 7 juta rakyat Malaysia4.

Lebih membimbangkan, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes – statistik mendedahkan bahawa 2 daripada 5 orang dewasa dan 84% daripada golongan muda berumur 18-29 tahun tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini.

Selain kesannya terhadap gula dalam darah, obesiti juga boleh mengganggu keseimbangan hormon, terutamanya kepada wanita.

Mereka yang mempunyai sejarah atau menghidap diabetes jenis 2 berisiko lebih tinggi untuk menghidap PCOS, sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti dan menyebabkan simptom seperti haid tidak teratur dan bulu di muka atau badan berlebihan yang disebabkan oleh peningkatan paras hormon androgen (hormon lelaki) di dalam badan.

Selain itu, PCOS juga merupakan salah satu punca utama kepada masalah ketidaksuburan akibat ovulasi yang tidak teratur atau ketiadaan ovulasi.

Dr Lim menyatakan, “PCOS dan obesiti saling berkait melalui hyperinsulinemia dan proses metabolik dalam badan yang tidak berfungsi dengan baik, menyebabkan ovari berfungsi secara tidak normal dan pengeluaran hormon androgen yang berlebihan, lalu menyumbang kepada simptom PCOS. Jika dibiarkan tidak dirawat, ia juga boleh menyebabkan ketidaksuburan.”

Obesiti juga boleh meningkatkan risiko masalah kardiovaskular. Individu obes lebih berkemungkinan untuk mendapat serangan jantung dan mengalami simptom seperti sakit dada, ketidakselesaan badan, pedih ulu hati, rasa loya dan sesak nafas5.

Datuk Dr Foo Yoke Loong

Selain itu, obesiti boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular lain seperti kardiomiopati iskemia, di mana otot jantung menjadi rosak akibat bekalan darah yang tidak mencukupi, dan hipertrofi ventrikel kiri, keadaan di mana otot jantung menebal.

Kedua-dua keadaan ini boleh mengakibatkan kegagalan jantung, seperti yang dinyatakan oleh Datuk Dr Foo Yoke Loong, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV).

Strategi Pencegahan dan Pengurusan Obesiti

Langkah pertama dalam menguruskan obesiti dengan berkesan ialah memahami kesannya terhadap kesihatan individu secara keseluruhan.

Dr Lim menekankan kepentingan untuk mempunyai kesedaran diri, dan menekankan bahawa pesakit harus mempunyai kesedaran dan menerima kenyataan bahawa obesiti boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan yang boleh menjejaskan jantung, otak dan buah pinggang.

Beliau juga menekankan peranan penting genetik dalam obesiti dan masalah endokrin lain yang berkaitan, dan menggesa orang ramai untuk mengetahui risikonya serta mengambil langkah proaktif yang diperlukan untuk memerangi masalah obesiti.

“Memberi perhatian kepada kedua-dua tabiat peribadi dan faktor genetik, boleh membantu untuk memupuk keazaman dan kecekalan seseorang dalam perjalanan penurunan berat badan mereka, serta mengubah rasa bersalah dan kekecewaan kepada strategi penjagaan kesihatan yang lebih berkesan” jelas Dr Lim.

Datuk Dr Foo juga menekankan kepentingan untuk berwaspada terhadap tanda-tanda awal isu kardiovaskular yang berkaitan dengan obesiti.

Datuk Dr Foo menerangkan bahawa sakit di bahagian tengah dada yang mungkin merebak ke bahagian tubuh yang lain seperti tangan kiri, belakang atau leher, merupakan simptom awal penyakit jantung.

Satu lagi strategi utama yang disyorkan oleh Dr Lim ialah pengurusan makanan.

Beliau menggalakkan mereka yang obes untuk mengikuti diet rendah kalori, rendah karbohidrat dan juga menjalankan pemantauan kendiri dengan merekod pengambilan makanan melalui jurnal atau dengan menggunakan aplikasi telefon mudah alih kesihatan dan kesejahteraan yang dipercayai, kerana inisiatif ini sememangnya dapat membantu untuk mengekalkan kesedaran tentang tabiat pemakanan.

Datuk Dr Foo juga menyokong pendekatan ini dan menasihati orang ramai untuk mendapatkan nasihat daripada pakar diet untuk mengenal pasti kekurangan atau lebihan dalam diet semasa.

Perubahan tabiat yang mudah seperti mengurangkan pengambilan gula dengan memesan minuman yang kurang atau tiada gula dan mengelakkan makanan berproses yang tinggi gula seperti donat, gula-gula dan aiskrim, boleh mengurangkan paras gula darah dengan ketara dan mencegah kemerosotan kesihatan.

Selain itu, perubahan gaya hidup tidak akan lengkap tanpa senaman yang kerap dan konsisten. Datuk Dr Foo menggalakkan pesakit yang obes untuk menjalani sebarang bentuk senaman yang sesuai dengan keadaan mereka, manakala Dr Lim mengesyorkan untuk menetapkan matlamat yang realistik dan menyertai senaman berkumpulan untuk kekal bermotivasi.

Senaman kardio seperti berjoging, berenang dan berbasikal sangat berkesan dalam meningkatkan kesihatan jantung dan menguruskan obesiti. “Berenang adalah senaman universal yang sangat baik, terutamanya bagi individu yang mengalami masalah lutut, kerana ia mengurangkan impak dan tekanan pada sendi berbanding berlari,” kata Datuk Dr Foo.

Beliau juga menambah bahawa bagi pesakit yang mempunyai penyakit seperti paras gula dalam darah dan kolesterol yang tinggi, menggabungkan perubahan gaya hidup sihat dengan rawatan perubatan adalah penting untuk proses pemulihan yang lebih cepat.

Pemeriksaan kesihatan rutin juga penting untuk mendapatkan diagnosis awal dan mencegah sebarang penyakit.

Dr Lim berkongsi bahawa kekerapan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah berdasarkan tahap BMI individu, keadaan kesihatan terkini dan sejarah keluarga, serta perlu dilakukan antara setiap tiga bulan hingga setiap tahun.

Selain itu, Datuk Dr Foo menekankan kepentingan untuk mendapatkan diagnosis awal, sambil menyatakan bahawa kelewatan dalam menerima rawatan boleh membawa kepada pelbagai komplikasi dan kemungkinan untuk mendapat kerosakan jantung kekal.

Secara keseluruhannya, diagnosis awal membolehkan pesakit untuk mendapatkan pilihan rawatan yang kurang invasif, mengurangkan risiko komplikasi, dan meningkatkan kemungkinan untuk mendapatkan hasil rawatan yang lebih baik.

Memandangkan penyakit ‘Empat Tinggi’ – paras gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti terus meningkat di kalangan rakyat Malaysia, dengan ramalan peningkatan statistik yang membimbangkan di masa hadapan.

Oleh itu, tindakan segera amat diperlukan kerana masalah obesiti boleh dicegah dan diuruskan untuk mengurangkan risiko mendapat pelbagai penyakit.

Strategi utama untuk menangani isu ini termasuk meningkatkan kesedaran diri, menguruskan pemakanan, bersenaman dengan kerap, mendapatkan bimbingan profesional serta mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).

Rujukan

  1. https://obesityopen.org/open-malaysia/#:~:text=Malaysia%20is%20one%20of%20the,with%20obesity%20in%20Malaysia2
  2. https://codeblue.galencentre.org/2023/03/03/report-41-of-malaysias-adults-will-be-obese-by-2035/#:~:text=Malaysia%20is%20set%20to%20experience,or%20USD20%20billion%20by%202035
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8794132/
  4. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2024/04/19/as-sugar-linked-diseases-take-root-experts-urge-greater-drive-to-putrajayas-kurang-manis-campaign/129572#:~:text=%E2%80%9CAccording%20to%20a%20national%20survey,2022)%2C%E2%80%9D%20she%20said
  5. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-attack/symptoms-causes/syc-20373106

Mama Papa dapatkan berita dan acara yang trending sekarang di SINI.