KelabMama

Peningkatan Ancaman Dalam Kalangan Wanita Muda dan Implikasi Kanser Payudara Awal Usia

kanser payudara

Kanser payudara kekal sebagai salah satu cabaran kesihatan paling menggerunkan yang dihadapi oleh wanita di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia merupakan kanser kedua paling lazim berlaku secara keseluruhan dan paling kerap didiagnosis di kalangan wanita.

Ia melibatkan lebih daripada 2.2 juta wanita pada tahun 20221 dan merupakan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia2.

Dr. Teoh Li Ying, Pakar Perunding Bedah
Onkoplastik Payudara

Walaupun secara tradisinya kanser payudara dikaitkan dengan wanita yang lebih tua, namun terdapat peningkatan yang membimbangkan di kalangan wanita muda, sekali gus menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal bagi memastikan kehidupan yang sihat dan sempurna.

Sempena Pinktober 2024, Dr. Teoh Li Ying, Pakar Perunding Bedah Onkoplastik Payudara, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, membincangkan isu kritikal ini dengan berkongsi faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes kanser payudara dalam kalangan wanita muda dan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran, mempromosikan pengesanan awal kepada orang awam, serta menekankan isu mengenai kepentingan penjagaan kesihatan payudara khas kepada kaum wanita.

Memahami Kanser Payudara Awal Usia

Dr. Teoh menjelaskan bahawa kanser payudara awal usia, atau kanser payudara golongan muda, biasanya merujuk kepada kes yang didiagnosis pada wanita yang berumur 40 tahun ke bawah, dan pada kebiasaannya bermula seawal usia 18 tahun. Klasifikasi ini penting kerana sifat kanser payudara pada wanita muda selalunya berbeza daripada wanita yang lebih tua.

“Ia biasanya lebih agresif dan mungkin lebih sukar untuk dirawat. Ciri-ciri biologi tumor pada wanita muda mungkin berbeza, selalunya berkaitan dengan kadar pertumbuhan kanser yang lebih cepat dengan risiko yang lebih tinggi untuk kanser berulang walaupun rawatan yang sesuai telah diberikan.”

“Salah satu mitos paling kerap disalahfahamkan tentang kanser payudara adalah berkaitan dengan umur. Ramai yang beranggapan bahawa cuma individu yang telah berusia lebih terdedah kepada kanser payudara, manakala kanser payudara jarang berlaku di kalangan orang muda,” kata Dr. Teoh. Kongsinya, walaupun kanser payudara masih lebih lazim dalam kalangan wanita berusia lebih 50 tahun, beliau juga mendapati terdapat peningkatan kes di kalangan wanita muda, baik di peringkat sedunia mahupun tempatan.

Corak peningkatan ini menekankan kepentingan untuk para doktor dan juga orang awam untuk meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah proaktif terhadap kumpulan umur ini yang mempunyai gejala-gejala awal kanser payudara.

Faktor Risiko dan Implikasinya

Terdapat pelbagai faktor risiko yang menyumbang kepada kanser payudara pada awal usia. Walaupun umur dan jantina adalah asbab utama, faktor lain termasuk sejarah keluarga, mutasi genetik seperti mutasi gen BRCA-1 dan BRCA-2, serta pilihan gaya hidup seperti pengambilan alkohol dan diet tinggi lemak.

Selain itu, masalah kesuburan, kehamilan lewat, tidak pernah menyusu, dan penggunaan pil perancang atau terapi penggantian hormon juga boleh meningkatkan risiko.

“Namun demikian, adalah penting untuk diingatkan bahawa lebih daripada separuh wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara tidak mempunyai faktor risiko yang boleh dikenal pasti selain daripada jantina dan umur, yang menunjukkan kepentingan melakukan pemeriksaan secara berkala dan pemeriksaan kendiri,” kata Dr. Teoh.

Diagnosis awal kanser payudara boleh memberi implikasi yang sangat mendalam. Wanita muda yang didiagnosis dengan kanser payudara sering berhadapan dengan cabaran unik yang berbeza daripada wanita yang lebih berusia.

“Ia boleh memberi kesan yang memudaratkan terhadap kesihatan, menjejaskan kesuburan, dan kesejahteraan secara keseluruhannya terhadap golongan wanita muda. Ramai wanita muda masih berada di puncak kerjaya, ramai yang masih dalam peringkat awal perancangan keluarga atau masih perlu membesarkan anak-anak kecil apabila mereka didiagnosis dengan penyakit ini. Oleh itu, kanser payudara ini memberi bebanan psikologi yang sangat besar kepada mereka, dan mereka kerap berasa tertekan dengan rawatan kanser yang diperlukan, ” jelas Dr Teoh.

Kepentingan Pengesanan Awal

Pengesanan awal adalah kunci untuk memerangi kanser payudara awal usia. Dr. Teoh sangat mengesyorkan memulakan saringan kanser payudara secara berkala pada usia yang lebih muda.

Beliau mencadangkan pemeriksaan payudara secara bulanan dilakukan seawal umur 18 tahun, dan pemeriksaan klinikal payudara sebanyak dua kali setahun bermula pada umur 25 tahun untuk golongan yang sangat berisiko tinggi.

Pemeriksaan kendiri memainkan peranan penting dalam pengesanan awal. Dr. Teoh menasihatkan golongan wanita untuk melakukan pemeriksaan kendiri secara berkala dan membiasakan diri dengan rupa dan keadaan normal payudara mereka bagi mengesan sebarang perubahan pada peringkat awal.

“Jika terdapat sebarang kelainan, adalah penting untuk merujuk kepada pengamal perubatan profesional dengan segera. Pengesanan awal boleh memberikan impak yang besar terhadap rawatan,” katanya.

Selain itu, Dr. Teoh turut menyangkal mitos bahawa ujian darah boleh mengesan kanser payudara. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penanda tumor tidak digunakan untuk mengesan kanser payudara, kerana ujian tersebut mempunyai sensitiviti dan spesifik yang rendah.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa imbasan ultrabunyi sahaja tidak boleh mendiagnosis kanser payudara, kerana secara dasarnya ia tidak dapat mengesan mikrokalsifikasi dan kerap berfungsi sebagai pelengkap kepada mammogram di dalam kes-kes tertentu.

“Mamogram dianggap sebagai piawaian emas untuk diagnosis kanser payudara. Dalam kes yang memerlukan susulan, terutamanya bagi wanita muda yang mempunyai tisu payudara yang lebih padat, imbasan ultrabunyi tambahan mungkin disyorkan untuk penilaian dan pengesahan lanjut,” jelasnya.

Jalani Rawatan Kanser Payudara Awal Usia dengan Optimis

“Pengesanan awal boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan hasil rawatan yang ketara, menjadikannya faktor utama dalam rawatan penyakit ini,” kata Dr. Teoh.

Beliau turut berkongsi bahawa ramai pesakit takut untuk merawat kanser payudara lebih awal kerana khuatir terhadap rawatan yang perlu dijalani. Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa rawatannya bukan hanya terbatas kepada kemoterapi dan radioterapi sahaja.

Kanser payudara pada peringkat awal biasanya boleh dirawat dengan pembedahan. Selain itu, kadar kelangsungan hidup adalah jauh lebih tinggi apabila kanser payudara dikesan lebih awal.

Dr. Teoh menggunakan teknik invasif minimum untuk mastektomi yang dikenali sebagai pembedahan payudara endoskopik. Kaedah ini melibatkan potongan kecil, biasanya di ketiak atau sekitar puting, yang melaluinya endoskop dan instrumen pembedahan dimasukkan.

Ia menawarkan kelebihan seperti parut yang lebih kecil, pengurangan kesakitan selepas pembedahan, tempoh tinggal di hospital yang lebih singkat, dan pemulihan yang lebih cepat3.  

Pada masa yang sama, ia dapat membuang tumor dan membina semula payudara dengan serentak, sekali gus memberikan manfaat kosmetik yang ketara, terutamanya bagi pesakit di peringkat awal kanser yang bimbang tentang kesan estetik pembedahan tradisional.

Selain daripada merawat kanser payudara, Dr. Teoh juga pakar dalam pembedahan pembinaan semula payudara. Beliau meyakinkan pesakit kanser payudara yang masih muda – “Jangan takut merawat kanser payudara atau menjalani lumpektomi atau mastektomi, iaitu pembedahan untuk membuang tisu kanser di bahagian payudara atau membuang keseluruhan payudara.”

Ia boleh dilakukan beserta dengan pembinaan semula payudara anda semasa pembedahan yang sama atau dijalankan selepas tempoh tertentu dengan menggunakan pilihan seperti meletakkan implan silikon atau pembinaan semula menggunakan kulit, lemak atau otot daripada pesakit itu sendiri untuk membentuk payudara.

Pemerkasaan Wanita Melalui Pengetahuan dan Sokongan

Diagnosis kanser payudara boleh memberi kesan emosi yang mendalam yang mungkin melebihi implikasi terhadap kesihatan fizikal, terutamanya bagi wanita muda.

“Wanita muda yang didiagnosis dengan kanser payudara sering mengalami kebimbangan, kemurungan, dan berasa terasing. Oleh itu, doktor, ahli keluarga dan sahabat handai pesakit memainkan peranan yang penting untuk memberi sokongan psikologi yang mereka perlukan untuk mengharungi masa yang mencabar ini,” kata Dr Teoh.

Pusat Perubatan Sunway menyediakan pelbagai sistem sokongan untuk pesakit kanser payudara, termasuk perkhidmatan kaunseling, program rakan kanser dan akses kepada sumber untuk menguruskan aspek emosi dan psikologi diagnosis mereka.

“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan wanita dengan pengetahuan, sumber dan sokongan yang diperlukan dalam menghadapi diagnosis mereka dengan yakin dan berdaya tahan,” jelas Dr Teoh. “Kami mahu memastikan mereka mendapat sokongan dari segi fizikal dan psikologi sepanjang menjalani rawatan.”

Pusat Kanser Sunway di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia. Ia merupakan hospital pertama di negara ini yang memperoleh tiga akreditasi utama bagi seluruh hospital, termasuk Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

SMC telah memperoleh pelbagai anugerah, termasuk disenaraikan sebagai antara 250 hospital teratas di dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024. Ia juga mengekalkan tempat tertinggi di Malaysia dan menempah tempat sebagai antara 75 hospital terbaik bagi kategori Onkologi dalam APAC.

Rujukan

  1. https://www.wcrf.org/cancer-trends/breast-cancer-statistics/
  2. https://nci.moh.gov.my/images/pdf_folder/SUMMARY-OF-MALAYSIA-NATIONAL-CANCER-REGISTRY-REPORT-2017-2021.pdf 
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5351487/ 

Dapatkan lebih banyak berita dan acara yang trending sekarang di SINI.