Anak sembelit? Anak susah nak membuang sampai merah-merah muka? Mama Siti pasti ramai mama yang selalu alami masalah ni kan? Kadang-kadang tu kesian tengok anak duk teran tapi tak keluar-keluar juga. Ada tu sampai menangis! Allahu kesiannya.
Mesti mama-mama risaukan bila perkara ni jadi dekat anak-anak. Banyak juga soalan mengenai bayi sembelit yang Mama Siti terima. Rata-rata ingin tahu apa lagi perlu dilakukan untuk bantu anak supaya tak sembelit. Jadi, hari ini Mama Siti nak kongsikan dengan mama semua apa yang kita perlu buat bila anak kita kena sembelit. Semoga membantu!
Apa Itu Sembelit?
Sembelit ialah keadaan di mana seorang kanak-kanak atau bayi menghasilkan najis yang keras atau kurang kekerapan ke tandas membuang najis. Frekuensi pembuangan najis untuk pelbagai peringkat umur adalah seperti berikut :
- Bayi yang menyusu badan mungkin akan buang air besar selepas setiap penyusuan atau sekali dalam masa 7 hari.
- Bayi menyusu formula atau kanak-kanak mungkin membuang najis sekali setiap 2-3 hari.
Apa yang lebih penting ialah konsistensi najis daripada kekerapan membuang air besar. Masalah ini selalu terjadi di kalangan kanak-kanak yang sedang belajar mengawal pembuangan najis dan selepas keadaan yang menyakitkan atau menakutkan sewaktu pembuangan najis.
Sembelit boleh menyebabkan :
- Sakit perut yang datang dan pergi (“abdominal cramps”).
- Rasa tidak selesa.
- Luka di dubur (“anal fissure”) yang boleh menyebabkan kesakitan dan pendarahan sewaktu membuang najis.
- Sering terjadi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah ini cuba menahan pembuangan najis untuk mengelakkan rasa sakit. Contohnya, mereka mungkin mencangkung (“squatting”), duduk sambil menyilangkan kaki atau enggan untuk duduk di mangkuk tandas.
- Kadang-kala ketulan najis yang keras boleh dirasa di abdomen (perut).
Masalah sembelit berpanjangan boleh menyebabkan :
- Enkoparesis atau keadaan di mana najis keluar tanpa sedar. Selalunya dilaporkan oleh ibu bapa sebagai tompokan najis cair di seluar dalam anak mereka.
Sebab terjadinya sembelit :
- Semula jadi iaitu sesetengah kanak-kanak mengalami keadaan di mana usus besar mereka kurang aktif daripada biasa (slow colonic transit).
- Boleh terjadi bila kanak-kanak tak mengendahkan rasa (urge) untuk membuang air besar kerana terlalu sibuk bermain atau mungkin tak mahu menggunakan tandas yang tak biasa mereka gunakan contohnya sewaktu di sekolah.
- Akibat menahan pembuangan najis untuk mengelakkan rasa sakit. Ini akan memburukkan lagi masalah sembelit yang dialami.
- Ianya boleh diburukkan lagi dengan tabiat pemakanan yang kurang serat, kurang air atau terlampau banyak produk tenusu.
- Jarang berlaku di mana sembelit disebabkan oleh penyakit seperti ketiadaan saraf di usus besar (Hirschprung’s disease), masalah saraf tunjang (spinal cord defect), masalah kurang hormon tiroid (hypothyroidism) dan masalah metabolik seperti tinggi tahap kalsium di dalam darah (hypercalcaemia).
Rawatan :
- Latihan pembuangan najis : Selalunya dilakukan selepas waktu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Biasanya, seseorang akan mengalami rasa untuk membuang najis selepas makan kerana “gastrocolic reflex”. Kanak-kanak digalakkan duduk di mangkuk tandas yang bersesuaian saiznya dengan saiz kanak-kanak tersebut (penggunaan potty amat digalakkan jika perlu). Mereka perlu duduk di mangkuk tandas selama 2-3 minit walaupun telah membuang najis sebelum itu. Gunakan“sticker” yang dilekatkan di diari atau carta yang direka dengan kreatif untuk memberikan motivasi pada si comel yang berjaya melakukan potty training.
- Penggunaan mangkuk tandas yang bersesuaian atau “potty” boleh mengelakkan rasa takut untuk jatuh apabila menggunakan tandas biasa. Ubat julap boleh membantu mengelakkan rasa sakit apabila membuang najis yang keras.
- Pengambilan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran adalah digalakkan. Hadkan pengambilan susu lembu kepada 500ml sehari (untuk kanak-kanak lebih daripada 18 bulan) mungkin boleh membantu terutamanya pada kanak-kanak yang banyak mengambil produk tenusu.
- Untuk bayi yang mengalami sembelit, sila hubungi doktor kerana ada di antara mereka mungkin mengalami masalah alahan kepada susu lembu dan perlu intervensi khas. Untuk bayi berumur 6 bulan ke atas, mama-mama boleh mencuba tambahkan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet anak-anak.
- Penggunaan ubat-ubatan (laxatives) di bolehkan atas nasihat doktor.
Kesimpulannya, masalah ini boleh kita atasi kalau guna teknik atau strategi rawatan yang betul. Kes yang betul-betul serius baru boleh guna ubat-ubatan. Mama boleh dapatkan nasihat dari doktor bila masalah ni makin serius. Yang penting, mesti sentiasa sabar dan tenang bila menghadap masalah ni.
Semoga Bermanfaat 🙂
Sumber: MyHealth Portal
Baca Juga: BAYI SELALU SEMBELIT & MUAK SUSU? MAMA BOLEH CUBA TEKNIK URUTAN NI
Pesan Mama Siti
Mama dan papa tak boleh ambil mudah bila anak-anak kena sembelit. Ajar mereka untuk selalu minum air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari dan bagi juga mereka makan buah dan sayur. Kerapkan makan pisang dan betik supaya proses pembuangan air besar tu berjalan lancar.